JIKA sedang mencari-cari kenderaan yang sesuai, Perodua Myvi edisi khas yang dikeluarkan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) minggu lalu adalah pilihan terbaik.
Perodua Myvi Edisi Eksklusif 1.3L hanya dikeluarkan 5,000 unit dan menawarkan pelbagai perubahan luaran dan dalaman menarik.
Pengarah Urusan Perodua, Datuk Syed Abdull Hafiz Syed Abu Bakar, berkata jentera itu dikeluarkan khas sebagai penghargaan kepada orang ramai yang memberi sokongan sehingga ia model itu paling laris di pasaran selama lima tahun berturut-turut.
"Edisi Eksklusif Myvi ini dikeluarkan untuk peminat model Myvi yang mahukan gaya dan kemewahan, tanpa harga premium yang dikaitkan dengan kereta eksklusif.
"Hanya 5,000 unit ditawarkan berdasarkan kepada siapa cepat dia dapat," katanya.
Edisi Eksklusif Myvi ditawarkan dengan tiga warna menarik iaitu hitam ebony, putih ivory dan kelabu medallion.
Model berkenaan didatangkan dengan rim aloi 14 inci, skirt sisi, pemegang pintu krom manakala ruang dalamannya disaluti tempat duduk, panel sisi dan stereng daripada kulit hitam sporty dan pemain cakera 'Double Din' bersama pemain USB.
Malah, sistem audio dibekalkan dengan teknologi Bluetooth sebagai kit alternatif bebas tangan telefon bimbit.
Perodua Myvi Edisi Eksklusif dijana enjin 1.3L DVVT DOHC 16 injap yang menghamburkan kuasa maksimum setinggi 89 hp pada 6,000 rpm manakala tork maksimum sekuat 116Nm pada 3,200rpm.
Model Myvi terjual sebanyak 354,000 unit sejak dilancarkan pada tahun 2005 manakala jualan bulanan tertinggi dicatatkan pada Julai lalu iaitu sebanyak 9,370 unit.
Perodua Myvi Model Eksklusif dijual pada harga antara RM51,000 hingga RM51,500.
No comments:
Post a Comment