Saturday, November 7, 2009

Pakej serba baru Picanto

Dikenali sebagai Kia Morning di tanah kelahirannya Korea Selatan, Naza Kia Sdn. Bhd. kini mengetengahkan model terbaru Picanto yang sarat dengan pelbagai pembaharuan.



HARUS diakui pasaran kereta kompak di mana-mana negara pun di dunia ini jarang sekali gagal. Sedia maklum bahawa penerimaan pengguna terhadap jentera sebegitu banyak disumbang oleh praktikalitinya dari segi penjimatan bahan api dan saiznya yang kecil.

Sebab itulah apabila Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) memperkenalkan kereta kompak pertamanya Kancil pada tahun 1994, ia sangat berjaya. Ia kemudian diikuti oleh beberapa model lain seperti Kelisa dan terkini, Viva.


METER analog yang turut disertai dengan paparan maklumat digital.

Menyedari potensi tersebut, ramai pihak ingin turut serta. Namun, berikutan pelbagai kekangan dan syarat yang semua sudah sedia maklum, jenama dari Jepun lain yang juga ada menghasilkan jentera kompak tidak boleh dipasarkan di sini. Kalau boleh pun, ia akan ditawarkan pada harga yang kompetitif dan mustahil.

Alternatifnya, pengguna mula mengalihkan perhatian kepada beberapa pemain kecil lain seperti Chery dari China. Malah, Chevrolet serta Hyundai juga pernah mencuba nasib menerusi model masing-masing iaitu Spark dan Atos (kini, i10).


MENYEDIAKAN ruang meletak botol minuman untuk kegunaan pemandu.

Namun, tiada satu pun yang benar-benar dapat menggugat populariti model keluaran Perodua. Malah, Proton melalui model Savvy pun nampaknya kecundang dalam perlumbaan tersebut.

Keadaan itu bagaimanapun sedikit berubah pada tahun 2004 apabila model yang dikenali sebagai Picanto menjengah pasaran. Sejak itu, model yang dibina berasaskan model Hyundai Getz (dipendekkan) mendapat sambutan positif oleh mereka yang inginkan sebuah kereta kompak bukan keluaran tempatan.


MENGAMBIL warna hitam sebagai latar utama ruang dalaman.

Buktinya, sebanyak 12,000 unit berjaya dijual di Malaysia. Dua tahun kemudian, nama Picanto ditukar kepada Naza Suria. Ternyata langkah pihak Naza Kia Sdn. Bhd. (NKSB) memperkenalkan model terlaris Kia itu satu tindakan yang bijak. Ia mungkin bersandarkan kepada angka jualan Picanto yang mencecah lebih 900,000 unit di seluruh dunia.

Kini, ia hadir dalam pakej serba baru. Mahu menarik minat lebih ramai pembeli, model yang mengambil kembali nama Picanto itu menerima perubahan dari aspek dalaman dan luarannya.

Paling ketara adalah bahagian hadapan dengan rekaan lampu utama, bumper dan gril radiator yang baru. Tidak terkecuali, lampu belakangnya juga telah ditukar dan dipadankan bersama spoiler pada bahagian atasnya. Cermin sisinya juga menjadi perumah kepada lampu isyarat untuk membelok.



Picanto menggunakan warna hitam untuk bahagian kokpitnya. Menggunakan material yang lebih berkualiti, ruang dalamnya tidak mengecewakan. Meter analognya dilatari dengan lampu berwarna oren. Ia turut dilengkapi dengan paparan ikon yang akan menyala sekiranya pintu tidak ditutup kemas dan sebagainya.

Unit audio 1 DIN berjenama Clarion itu bukan sekadar boleh memainkan cakera padat. Dengan ciri pemacu USB binaan dalam, anda hanya perlu mengisi slot itu dengan pemain MP3 atau pemacu storan (thumb drive) untuk mendengar semua lagu kegemaran.


NKSB yakin Picanto berupaya menarik minat para pengguna terutama golongan wanita muda yang berkerjaya.

Keselamatan pemandu dan penumpang tidak diabaikan. Picanto dilengkapi dengan beg udara berkembar. Sistem keselamatan aktif pula terdiri daripada brek cakera pada roda hadapan dan brek jenis gelendong pada roda belakang yang hadir sebagai ciri standard.

Ketua Pegawai Eksekutif Naza Kia Sdn. Bhd., SM Nasarudin SM Nasimuddin menyatakan, pihaknya mensasarkan jualan sebanyak 500 unit Picanto sebulan dan 6,000 unit pada tahun 2010.

"Picanto merupakan alternatif yang menarik dalam segmen A. Menggunakan enjin bersesaran 1.1 liter dan dipadankan dengan transmisi automatik empat kelajuan, ia pasti memenuhi keperluan pemanduan di bandar.

"Bagi mengukuhkan lagi jenama Kia di Malaysia, kami akan memperkenalkan lebih banyak model lain termasuk Forte," katanya.

Harga yang ditawarkan untuk model LS adalah RM44,500 seunit dan RM46,800 bagi model EX dengan spesifikasi lebih tinggi. Anda boleh memilih empat warna iaitu putih, hitam, merah dan perak.

Picanto yang dipasang tempatan (CKD) di kilang Naza di Gurun, Kedah itu turut dieksport ke Thailand dan Indonesia.

No comments: