PUTRAJAYA 5 Nov. - Permintaan terhadap kenderaan pelbagai guna (MPV) pertama keluaran Perodua yang bakal dilancar 23 November ini, dijangka mencecah 5,000 buah dalam masa 10 hari selepas tempahan mula dibuka pada 13 November ini.
Pengarah Urusan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) Datuk Syed Abdull Hafiz Syed Abu Bakar (gambar) berkata, MPV itu yang berupa 'MPV-kereta' dikenali dengan kod D46T, bakal turut menyaksikan mereka yang menempah MyVi dan Viva akan beralih kepada produk berkenaan.
"Saya yakin tempahan akan melonjak selepas pelancarannya nanti dan ketika ini, 180 buah cawangan Perodua di seluruh negara sudah mula menerima tempahan dengan jumlah deposit yang ditetapkan RM500," kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena majlis pandu uji MPV Perodua terbaru yang menggunakan 88 peratus komponen tempatan, di sini hari ini.
Abdull Hafiz juga menyifatkan MPV yang dibangunkan dengan kos RM300 juta dan bakal memperoleh pulang modal dalam tempoh dua tahun, sebagai pelengkap kepada rangkaian produk Perodua sebelum ini iaitu kereta Viva dan juga MyVi..
Kenderaan D46T merupakan gabungan model kereta Toyota Passo Sette dan Daihatsu Luminas itu dijangka memperoleh jualan sehingga 4,000 buah sebulan dan didatangkan dengan pemanduan manual dan automatik.
Dengan harga jualan antara RM56,000 hingga RM65,000, MPV itu dijangka menjadi pemacu kepada jualan keseluruhan Perodua untuk tahun 2010.
Kenderaan D46T yang sporty pula akan mula berada di pasaran menjelang Mac tahun depan dan harganya pula RM6,000 lebih mahal berbanding harga model lain.
Menurut Abdull Hafiz, pihaknya telah mempertingkatkan jumlah pengeluaran semasa dalam usaha memenuhi tempahan model terbaru itu dan berharap para pembeli tidak perlu menunggu begitu lama untuk mendapatkan kenderaan mereka.
Beliau berkata, kenderaan itu amat sesuai untuk golongan berkeluarga dan mereka yang masih bujang tetapi mahukan kelainan dalam mendapatkan kenderaan mampu milik serta bergaya dan nilai untuk wang.
Abdull Hafiz berkata, kenderaan keluaran Perodua kini turut menjadi pilihan bukan sahaja kaum lelaki tetapi juga kaum wanita.
Apa yang lebih memeranjatkan katanya, pemilik wanita merupakan pembeli dan pembayar ansuran yang setia berbanding lelaki selain kenderaan yang dikeluarkan oleh Perodua amat praktikal untuk kaum hawa.
"Apa yang lebih penting ketika ini ialah mengeluarkan kenderaan yang memberi nilai kepada pemiliknya serta kurang kebergantungan terhadap kos selenggaraan,"kata Abdull Hafiz.
No comments:
Post a Comment