Saturday, November 7, 2009

‘Teknologi hijau’ mula melanda

PENGURANGAN sumber asli dunia menyedarkan manusia kepada keperluan sumber tenaga pengganti yang lebih praktikal untuk kegunaan seharian, khususnya dalam kegunaannya pada kenderaan.

Bahkan jika tidak mengambil kira soal bekalan sumber yang semakin terhad sekalipun, penggunaan petrol dan diesel telah lama mencetuskan pertikaian ekoran pencemaran alam sekitar.

Menyedari hakikat itu, pengeluar kenderaan kini berusaha untuk tidak bergantung kepada petrol dan diesel malah mereka kini berlumba-lumba menghasilkan jentera dengan teknologi yang lebih ‘hijau’. Kenderaan hibrid dan elektrik kini bukan lagi sekadar realiti malah semakin hampir untuk dikomersialkan secara besar-besaran.

Pada Pameran Motor Tokyo di Jepun baru-baru ini, perhatian peminat dalam bidang automobil juga tertumpu pada model-model konsep yang futuristik, boleh dicaj dengan tenaga elektrik, berkuasa hidrogen, solar dan tidak lagi membebaskan karbon ke udara.


FT-EV II yang dijana bateri litium ion.

Toyota

Sebagai pengeluar kenderaan nombor satu di dunia, Toyota mengetengahkan FT-EV II, kereta konsep elektrik versi terbaru dan juga hibrid berpencucuh, Prius.

FT-EV II yang dijana dengan bateri litium ion mampu membawa penumpang pada kelajuan sederhana sehingga 90 kilometer (km) bagi setiap caj. Kelajuan maksimum kereta ini pula adalah 100 km sejam.

Toyota turut memperkenalkan model konsep sport ringan iaitu Toyota FT-86 yang diilhamkan daripada rekaan coupe dengan sentuhan gaya 80-an.

Kereta yang mempunyai pusat graviti rendah dengan enjin boxer dua liter itu dibangunkan bersama rakan kongsi, Subaru. Kereta pacuan belakang itu dilengkapi ciri-ciri kereta lumba yang mempunyai kesan minimum terhadap alam sekitar.

Presiden Toyota Motor, Akio Toyoda berkata, kenderaan masa depan tidak akan lagi bergantung sepenuhnya kepada sumber asli sebaliknya akan memiliki enjin petrol dan juga motor elektrik.

“Kedua-duanya (gabungan enjin dan motor) akan menjadi syarat utama dalam penghasilan setiap kenderaan pada masa akan datang,” ujarnya yang mengakui dunia pemotoran kini memasuki fasa baru.

Toyota juga dijangka memperkenalkan kenderaan bertenaga hidrogen menjelang 2015.


KERETA konsep elektrik Mitsubishi PX-MiEV.

Mitsubishi

PX-MiEV merupakan generasi terbaru kenderaan rangkaian silang (CUV) dengan sokongan pacuan empat roda yang menyimpan kuasa selepas dicaj.

Penjimatan tenaga berlaku setiap kali kelajuan dikurangkan di mana sistem pemanduan ditukar kepada mod pembangunan semula dan pengagihan kuasa pada roda mengikut keperluan.


PX-MiEV adalah kenderaan hibrid pertama yang mengimbangi prestasi yang pada masa sama mengurangkan kesan pencemaran alam.

No comments: