Tuesday, November 10, 2009

Pejuang enjin Campro

Menerusi perlumbaan kelajuan dan daya pecutan pada trek lurus sejauh 400 meter, para pemerhati boleh melihat kemampuan kereta berenjin Campro.



DI bawah terik matahari, seramai 21 pemandu kereta enjin Campro menunggu giliran menguji keupayaan pecutan masing-masing pada MUSC Drag Challenge 2009 di Cyberjaya, baru-baru ini. Semuanya dengan satu tujuan mahu memperjuangkan enjin tempatan.

Enjin Campro yang direka bentuk dan dibina sepenuhnya oleh anak tempatan di bawah jenama Proton kini boleh didapati pada beberapa model termasuklah Proton Waja, Gen2, Satria Neo dan Persona.

Unit enjin Campro yang mula dipasang pada model Gen2 pada tahun 2004 membolehkan jentera itu mencecah kelajuan sehingga 190 kilometer sejam (km/j) dan dianggap paling berkuasa dalam kelasnya.

Ingin membuktikan kemampuan enjin tersebut, komuniti sukan pemotoran telah mewujudkan satu kategori khas dalam perlumbaan drag iaitu kategori enjin Campro.

Pengubahsuaian

Jika ramai yang berbangga dengan enjin keluaran syarikat luar negara, bagi beberapa orang anak muda yang memperjuangkan enjin Campro mereka beranggapan tiada salahnya memandu kenderaan berenjin tempatan. Apatah lagi ia dikatakan mampu menyaingi enjin handalan lain selepas menjalani sedikit pengubahsuaian.

Dalam acara drag iaitu perlumbaan kelajuan dan daya pecutan pada trek lurus sejauh 400 meter, para pemerhati boleh melihat sendiri kemampuan kereta berenjin Campro.

Perlumbaan drag kategori Campro diperkenalkan pada tahun 2006 di Jempol Drag Race, Negeri Sembilan, sebelum diteruskan di Litar Antarabangsa Sepang. Ketika itu ramai pemilik kereta berenjin Campro (terutama Gen2) mula mencuba kemampuan kereta dan skil pemanduan masing-masing.


NORAZMAN (kiri) dan Mohd. Faizal menjadikan sukan drag sebagai satu hobi.

Bagi Norazam Mohd. Adnan, 30, dan Mohd. Faizal Yusof, 32, yang memandu kereta Gen2, ia adalah sesuatu yang baru untuk dicuba. Ia umpama mencabar kemampuan enjin yang baru setahun jagung.

Kata Norazam yang sememangnya terlibat dalam sukan pemotoran, komuniti pemilik kereta berenjin Campro sangat besar. Perlumbaan seperti itu sememangnya merapatkan lagi hubungan antara mereka.

"Walaupun kami berasal dari kelab yang berlainan tetapi tujuannya satu iaitu memperjuangkan enjin Campro. Kami akan berbincang bersama dan memperbaiki apa-apa kekurangan yang ada pada enjin.

"Tidak dinafikan, pemilik awal kereta berenjin Campro mengalami sedikit masalah. Tetapi percaya atau tidak, kemampuannya hampir menyamai enjin V-Tec daripada Honda," katanya bersungguh-sungguh.

Sekadar hobi

Norazam bukan sahaja minat pada perlumbaan kereta, dia juga pernah mewakili Selangor dalam lumba basikal. Selain itu aktif berlumba motosikal di litar. Kini dia mencuba sesuatu yang baru dengan kereta Gen2 miliknya.

Mohd. Faizal pula baru menyertai perlumbaan drag pada tahun ini. Minatnya bermula sejak menonton perlumbaan drag yang diadakan di Sepang. Apabila mengetahui ada kategori untuk enjin Campro, dia berhasrat menyertainya.

Memang tidak dinafikan bahawa sukan pemotoran memerlukan kos yang tinggi, terutama apabila melibatkan proses pengubahsuaian dan mengalami kerosakan.


PEMERIKSAAN enjin bagi memastikan kenderaan mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.

"Penglibatan dalam sukan drag ialah kerana hobi semata-mata. Setiap hobi sudah tentu memerlukan modal. Apa yang penting untuk menyertai sukan seperti ini ialah minat. Jika ada minat, semangat ingin belajar akan timbul.

"Lagi satu, jangan malu bertanya kepada mereka yang berpengalaman. Tidak ada guna kita menyombong jika kita inginkan ilmu," katanya yang menjadikan rakan-rakan yang berpengalaman sebagai guru.


KOMUNITI sukan pemotoran mewujudkan satu kategori khas untuk kereta berenjin Campro.

Adakah mereka mengaplikasikan pecutan drag di atas jalan raya sebenar? Norazam menjelaskan, kereta yang berlumba drag tidak sesuai dipandu laju pada jarak yang jauh.

"Kereta yang digunakan untuk berlumba drag mempunyai nisbah gear yang pendek. Jadi, ia tidak boleh dipandu laju pada jarak yang jauh. Cuma boleh pecut pada jarak pendek sahaja," katanya.





No comments: