Saturday, May 23, 2009

Chery Tiggo

Ramai yang skeptikal dengan jentera buatan China tetapi pada harga yang berpatutan, prestasi jentera seperti Tiggo tidaklah terlalu mengecewakan.




APA yang ada dalam fikiran anda jika ditanya tentang kereta buatan China? Skeptikal atau teruja? Apa pun, kereta buatan gergasi ekonomi Asia itu bukan lagi asing kepada pengguna Malaysia.

Sama ada ia dipasarkan setelah diberi nama baru atau mengekal namanya sendiri, produk dari China semakin diterima oleh mereka yang mungkin sudah bosan dengan jenama sedia ada di pasaran.

Boleh dikatakan pemilihan kenderaan dari China banyak disumbang oleh faktor harga, di samping lambakan pelbagai ciri menarik di dalamnya.

Perbandingannya mudah. Sebagai contoh, sebuah kereta kompak dari China yang harganya hampir sama dengan kereta (dalam segmen sama) buatan tempatan hadir dengan beg udara, cermin dan stereng kuasa.

Kalau dinilai pada sebuah MPV, MPV buatan China yang mempunyai enjin bersesaran 2.4 liter hanya berharga sekitar RM85,000.







Jika hendak membeli MPV dengan kuasa enjin hampir sama buatan Jepun atau Eropah, harganya mungkin lebih sekali ganda.

Biarpun masih ramai yang ragu-ragu dengan kualitinya, anda perlu tahu bahawa kereta dari China sudah banyak menerima penambahbaikan dari semua aspek. Jika tidak, bagaimana ada model buatan China sudah berjaya menembusi pasaran Eropah yang cukup ketat.

Buat pertama kalinya, penulis berpeluang memandu uji sebuah SUV yang diimport dari tanah besar China, Chery Tiggo 1.6 liter. Fakta yang menyatakan bahawa Tiggo merupakan model paling popular keluaran Chery di pasaran antarabangsa dan dijual di lebih 60 buah negara membuatkan rasa ingin tahu saya semakin bertambah.

Sejak tiga tahun lalu, Chery banyak melabur untuk menjadikan model keluarannya menepati standard antarabangsa.

Maka, salah satu produknya ialah Chery Tiggo, SUV yang digerak menggunakan enjin yang dibangunkan sendiri oleh pihak Chery.

Diberi nama ACTECO, enjin aluminium berkod SQR481F itu dilengkapi dengan sistem Variable Valve Timing (VVT) dan kawalan kadar pembakaran bahan api (controllable burn rate).

Sebenarnya, enjin ACTECO dibangunkan untuk beberapa sesaran kuasa iaitu 1.6, 1.8, 2.0 dan 2.4 liter. Ia sekali gus digunakan dalam kesemua jentera keluaran Chery.

Chery turut memiliki kemampuan menghasilkan sehingga 400,000 unit enjin itu setahun. Bukan itu sahaja, enjin ACTECO berjaya melepasi standard enjin Eropah dan disifatkan sebagai enjin berprestasi terbaik dalam kelasnya.

Bagi merealisasikan matlamat penjimatan penggunaan petrol, Tiggo dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan, selain konfigurasi pacuan roda hadapan sahaja.

Dengan kemampuan menjana kuasa sehingga 87.5 kW @ 6,150 rpm dan tork maksimum 147 Nm @ 4,300 rpm, Tiggo memerlukan anda untuk lebih rajin menukar ke gear lebih rendah untuk mendapatkan henjutan kuasanya.

Mujurlah, klacnya lembut dan senggukan minimum ketika gear ditukar membuatkan Tiggo sebuah SUV yang seronok untuk dipandu. Apatah lagi ketika bunyi enjinnya juga kurang ketara walaupun jarum rpm mula merangkak ke angka melebihi 5,000 rpm.

Anda boleh merasai kestabilan mengemudikan Tiggo di atas apa jua bentuk jalan raya. Keadaan ini banyak disumbangkan oleh kerangka jenis unitary, selain penggunaan suspensi topang MacPherson untuk roda hadapan dan penyerap hentak multi-link pada roda belakangnya.

Tidak berkompromi dengan aspek keselamatan, Tiggo dilengkapi dengan sistem brek ABS dan EBD yang menawarkan kuasa membrek lebih berkesan.

Keselamatan setiap penumpang pula dititikberatkan menerusi aplikasi kerangka yang teguh selain ciri penyerap impak sisi pada keempat-empat pintunya.




Maaf, jika dikatakan bahawa ruang kokpit Tiggo nampak murah. Plastik keras berwarna kelabu berada di setiap inci papan pemuka, stereng, panel sisi, brek tangan dan tombol gearnya.

Mujurlah tempat duduk yang ada cukup selesa, di samping kedudukan pemandu yang boleh dikategorikan sebagai ergonomik untuk mereka yang bersaiz sederhana.

Sistem audio double DIN Tiggo juga mudah untuk dikendalikan. Disokong oleh empat pembesar suara, anda pasti berpuas hati dengan kualiti bunyi yang dihasilkan.

Paparan meter dengan latar berwarna putih, bagaimana pun tidak menarik perhatian saya tetapi ia tetap membolehkan pemandu mendapatkan maklumat pemanduan dengan jelas.

Bentuk fizikal Tiggo tidak kalah andai dibandingkan dengan model SUV yang dihasilkan oleh syarikat gergasi automotif lain. Penampilannya tetap maskulin dengan reka bentuk keseluruhan yang kemas dan bergaya.

Diimport oleh Chery Alado Automobile Sdn. Bhd., Chery Tiggo ditawarkan pada harga RM78,888 seunit. Lebih menarik, anda boleh memilih daripada enam warna yang disediakan termasuklah putih, hitam, kelabu, perak, biru dan merah.

Setiap pembelian Tiggo hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan 100,000 kilometer.

Karnival Ferrari Shell


ORANG ramai tidak melepaskan peluang untuk menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disediakan oleh Shell di Taman Melati, Kuala Lumpur.


SHELL meneruskan karnival ke seluruh negara untuk meraikan jualan kereta model Shell-Ferrari yang mendapat sambutan hangat.

Sabtu lalu, orang ramai berpeluang merasai kemeriahan karnival tersebut apabila stesen Zeff Serve Shell di Taman Melati, Kuala Lumpur menjadi penganjur karnival.

Berhasrat memberi sumbangan kepada masyarakat menerusi karnival ini, Shell telah menjemput seramai 30 orang penghuni rumah Persatuan Ehsan Wanita dan Anak-anak Kuala Lumpur (Pewanida) ke karnival yang berlangsung sepanjang hari.

Ditubuhkan pada tahun 2004, Pewanida berperanan membantu golongan ibu tunggal dan anak-anak yatim dengan memberi bantuan untuk membolehkan mereka lebih berdikari.

Pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik dan permainan interaktif yang menyeronokkan. Antaranya ialah cabaran Playmat, iaitu kereta model Shell-Ferrari yang menampilkan ciri navigasi pintar, peraduan mewarna dan menulis kaligrafi.

Selain itu, pelanggan Shell turut dijemput menyertai Cabaran Tangki Penuh Shell V-Power Racing dan Cabaran Nintendo Wii.

"Karnival ini merupakan peluang terbaik dalam menunjukkan sokongan Shell kepada golongan kurang bernasib baik. Kami mahu berkongsi keseronokan bermain kereta model Shell-Ferrari dengan semua pengunjung dan seronok melihat wajah gembira kanak-kanak," jelas Pengurus Kanan Runcit Wilayah Tengah, Fong Lai Pong.

Pengasas Pewanida, Puan Seri Saidatul Akmar memberitahu, pihaknya sangat gembira apabila mendapat jemputan daripada Shell. Ia menjadi peluang terbaik buat warga Pewanida untuk menghadiri karnival masyarakat dan menyertai banyak aktiviti menarik yang disediakan.

Pada masa yang sama, Shell menyampaikan sumbangan kelengkapan sekolah dan barangan keperluan harian bernilai RM3,000 kepada Pewanida. Selain itu, setiap warga Pewanida juga menerima beg yang mengandungi kereta model Shell-Ferrari sebagai cenderamata.

Karnival itu dilaksanakan sempena pelancaran kempen kereta model Shell-Farrari. Kereta edisi terhad Ferrari F2008, Enzo Ferrari, 430 Scuderia, FXX Evoluzione, 599 GTB Fiorano, 612 Scaglietti dan 360 GTC kini boleh didapati di stesen minyak Shell seluruh negara sehingga 11 Mei nanti.

Kereta model ini boleh diperoleh dengan pembelian minimum RM40 minyak Shell V-Power Racing, Shell Super, Shell Regular atau Shell Diesel.

Pelanggan yang mengisi tangki dengan minyak Shell V-Power Racing boleh membeli kereta model pada harga istimewa RM6.90, selain mendapat sehingga tiga kali ganda mata ganjaran BonusLink.

Bagi mereka yang membeli minyak Shell Super, Shell Regular atau Shell Diesel, kereta model itu boleh dibeli pada harga RM8.90 seunit.

HICOM-Chevrolet jangka jualan baik Captiva



Seorang model sedang bergaya di samping kereta Chevrolet Captiva yang dipertingkatkan bertempat di lobi pusat membeli-belah Sunway Pyramid, di Petaling Jaya, semalam.

PETALING JAYA 22 Mei - HICOM-Chevrolet Sdn Bhd, pengedar kereta Chevrolet di Malaysia, menjangka menjual 800 hingga 1,000 unit kereta yang baru dilancarnya, versi diperbaharui Chevrolet Captiva, dalam tahun kewangannya yang berakhir pada Mac 2010.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sanjeev Garg berkata, syarikat itu sentiasa mencari kualiti dan nilai yang akan memenuhi keperluan pelanggannya.

"Teknologi berkembang. Kami perlu membina sesuatu yang pelanggan sentiasa perlukan kerana kebanyakan pelanggan yang berminat dengan segmen Captiva berusia antara 35 hingga 45 tahun dengan pendapatan isi rumah lebih RM7,000.

"Mereka adalah pelanggan yang benar-benar celik teknologi dan mereka mahukan sesuatu," katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran model baharu itu.

Sanjeev berkata, 20 tempahan telah pun diterima bagi Captiva.

Dilancarkan pada 2007, Captiva merupakan taruhan pertama HICOM-Chevrolet untuk industri automotif Malaysia.

Antara ciri-ciri yang diperbaharui termasuklah sistem audio CD/MP3 dengan lapan pembesar suara yang dilengkapi Bluetooth bagi Captiva 2.0L Diesel.

Captiva yang ditambah baik ini turut disempurnakan dengan rekaan dalaman kulit mewah berwarna kuning air, butang tekan naik/turun ekspres dengan perlindungan keselamatan untuk tingkap kuasa di bahagian pemandu dan cekera brek ventilasi di bahagian sisi.

Ciri-ciri dan fungsi lain Captiva termasuklah antara lainnya, Kawalan Kestabilan Elektronik, Kawalan Untuk Pemanduan Berbukit, Sistem Kawalan Penjejak, Bantuan Brek Hidraulik, kawalan pemanduan dan kawalan lampu automatik.

Sanjeev berkata, syarikat itu akan meneruskan perancangannya bagi pertumbuhan di Malaysia.

"Kami masih melihat peluang pertumbuhan dalam pasaran Malaysia, yang menjadi satu daripada pasaran kenderaan terbesar di Asia Tenggara," katanya.

Beliau berkata, syarikat itu akan memperkenalkan lebih banyak model pada bulan-bulan akan datang, selain kempen agresif untuk meningkatkan bilangan kenderaan Chevrolet di jalan raya Malaysia.

Bagi memastikan pelanggan mudah mendapatkan pusat servis Chevrolet di seluruh negara, HICOM-Chevrolet merancang menambah empat pusat 3S (jualan, servis dan alat-alat ganti) tambahan dalam tempoh dua bulan akan datang di Alor Setar, Langkawi, Kuching dan Jalan Ipoh di Kuala Lumpur.

"Kami yakin dapat mencapai sasaran 15 pusat 3S pada akhir tahun ini," katanya.

Ketika ini, syarikat itu mempunyai tujuh pusat 3S di seluruh negara.

Ditanya sama ada jualan kereta syarikat itu merosot berikutan kadar faedah tinggi yang dikenakan bagi pinjaman kereta, beliau berkata: "Sudah pastinya kami melihat kesannya bulan lepas. Jualan bulan lepas turun bagi semua orang,".

Wednesday, May 20, 2009

Lexus IS250 cabar pesaing


JENAMA Lexus sering dikaitkan dengan Kenderaan Sport Utiliti (SUV) di negara ini dan jarang sekali kelibat jentera sedan kelihatan di jalan raya.
Lexus, jenama mewah bagi kenderaan Toyota diperkenalkan di negara ini menerusi model LS460 dan GS300 sebelum UMW Toyota membawa masuk versi lebih kecil iaitu IS250, tahun lalu.

JENAMA Lexus sering dikaitkan dengan Kenderaan Sport Utiliti (SUV) di negara ini dan jarang sekali kelibat jentera sedan kelihatan di jalan raya.

Lexus, jenama mewah bagi kenderaan Toyota diperkenalkan di negara ini menerusi model LS460 dan GS300 sebelum UMW Toyota membawa masuk versi lebih kecil iaitu IS250, tahun lalu.


Bagi model SUV RX atau lebih dikenali sebagai Harrier, Lexus baru melancarkan model berkenaan yang dikenali sebagai RX350 bulan lalu.

Penulis mengakui model IS250 adalah sedan terkecil bagi keluarga Lexus tapi ia tidak bermakna jentera berkenaan dianaktirikan.

Pandu uji model berkenaan mendapati IS250 bukan sahaja mampu menggugat jentera berjenama mewah dari Jerman, malah beberapa teknologinya dianggap lebih maju daripada pesaingnya.

Daripada sudut luaran, IS250 kelihatan lebih maskulin dengan ruang bonet hadapan lebih lebar, menjadikan ia kelihatan setanding dengan BMW 3 Siries dan Audi.

Malah, alunan kontur pada bahagian bonet hadapan dan sekeliling tubuhnya seakan otot seorang jaguh bina badan menyerlahkan kuasa yang tersimpan di dalamnya.

Lampu hadapan projektor dengan HID membolehkan tahap penglihatan malam lebih selamat manakala penggunaan lampu brek dan isyarat membelok pada cermin sisi daripada LED menambah ciri keselamatan sedia ada.

Paling menarik, ekzos berkembar memberikan pandangan berbeza dan kelihatan sporty di jalan raya.

Melihat kepada nadinya, IS250 dijana enjin 2.5L enam silinder (V6) DOHC Dual DVVT-i dengan transmisi automatik AI Shift enam kelajuan.

Transmisi berkenaan boleh dikawal secara manual melalui tombol di belakang stereng seumpama jentera Formula Satu (F1).

IS250 menyimpan 205 kuasa kuda (hp) pada 6,400 rpm dan tork setinggi 252 Nm pada 4,800 rpm dan pecutan dari kedudukan pegun ke 100 km/j ialah 8.4 saat manakala kelajuan maksimum direkodkan adalah 225 km/j.

Sesuatu yang menarik mengenai jentera ini adalah sistem berkunci terkini yang tidak memerlukan pemandu memasukkan kunci pada lubang kunci seperti kebiasaan.

Cukup sekadar meletakkannya di dalam poket pemandu dan IS250 boleh dibuka atau dikunci dengan hanya menekan butang pada tombol pintu.

Cara sama turut digunakan untuk menghidupkan enjin di mana penulis tidak perlu bersusah payah memasukkan kunci, hanya memijak pedal brek dan menekan punat 'start'.

Kerusi kulit empuk berkualiti tinggi yang turut mengalirkan udara dingin menjadikan pemaduan lebih selesa, ditambah pula sistem audio mewah 14 pembesar daripada Mark Levinson.

Susunan ruang kokpit kemas dan unit penyaman udara penumpang belakang membolehkan IS250 mengatasi pesaingnya.

Sukar digambarkan keseronokan memandu jentera mewah dari Jepun ini dan penurunan harga diumumkan UMW Toyota, baru-baru ini adalah peluang terbaik untuk memilikinya.

Lexus IS250 dilengkapi ciri keselamatan seperti lapan beg udara, sistem brek Anti Lock Braking System (ABS), Brake Assist (BA) dan Traction Control (TRC).

Lexus IS 250 dikemaskan dengan Pengedaran Kuasa Brek Elektronik (EBD) yang menjamin kuasa brek optimum pada setiap roda, manakala Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) meningkatkan lagi kestabilan kereta semasa membuat selekoh menerusi tindakan kawalan komputer pada kedua-dua brek dan kuasa enjin.

Berharga RM313,166.20 termasuk insurans, Lexus IS250 ditawarkan dengan 10 warna pilihan dan tiga warna dalaman menarik.

Selepas memandu uji, benarlah Lexus berjaya menempah nama antara kereta mewah terbaik dunia di Eropah walaupun baru 'dilahirkan' kira-kira 20 tahun lalu.



SPESIFIKASI

Lexus IS250


ENJIN: GSE20R-AETLHW 2,499cc V6 DOHC 24 injap Dual VVT-i

KUASA MAKSIMUM: 205 bhp pada 6,400rpm

TORK MAKSIMUM: 252Nm pada 4,800rpm

TRANSMISI: Enam kelajuan automatik AI dengan paddle shift

CIRI KESELAMATAN: Lapan beg udara, ABS, BA, EBD, VSC dan TRC.

HARGA: RM313,166.20 termasuk insurans

Tayar dicadangkan:

ContiSportContact3

225/45 ZR17 91Y

Jualan kereta Honda meningkat



KELEMBAPAN ekonomi dunia tidak menghalang Honda Malaysia Sdn Bhd mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 55 peratus atau 3,905 kenderaan dijual sepanjang bulan lalu.

Peningkatan itu dibantu jualan 2,342 Honda City baru iaitu 60 peratus daripada jualan keseluruhan Honda bulan ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Sdn Bhd, Toru Takahashi, berkata pencapaian itu membolehkan Honda menguasai 10 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi kenderaan penumpang seperti dilaporkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA), baru-baru ini.

"Honda berpegang kepada prinsip menyediakan produk berkualiti tinggi pada harga berpatutan, menjadikan produk kami relevan setiap masa.

"Kami berbangga dengan kepercayaan pelanggan terhadap jenama Honda dan meneruskan kecemerlangan ini pada masa akan datang," katanya.

Katanya, selain City, model lain turut mencatatkan jualan memberangsangkan seperti Accord dan Civic masing-masing terjual sebanyak 471 unit, dan 346 unit bagi model CR-V.

"Walaupun pasaran automotif tidak menentu dengan penyusutan sebanyak 10.5 peratus, Honda mencatatkan pertumbuhan 46 peratus berdasarkan perbandingan suku ke suku.

"Model City misalnya mempunyai tempahan kira-kira 4,000 unit pada masa ini," katanya.

Takahashi berkata, Honda berharap pengenalan generasi kelapan Civic bulan lalu boleh membantu meningkatkan jualan pada masa hadapan.

"Setakat ini pesanan bagi model itu ialah 1,500 buah dalam tempoh sebulan dan bagi memenuhi permintaan pasaran, Honda terus meningkatkan pengeluaran model City dan Civic," katanya.

Langkah itu mampu memendekkan waktu menunggu pelanggan dan menjadi sebahagian daripada usaha berterusan Honda untuk berada di kedudukan nombor satu.

Pertunjukan Auto Shanghai 2009

BERKUNJUNG ke Shanghai, bandar raya terbesar dan kota perdagangan China dengan penduduk 20 juta orang, menyedarkan kita mengapa Pertunjukan Auto Shanghai 2009 bulan lalu, menjadi antara lima pertunjukan auto terbesar dunia.

BERKUNJUNG ke Shanghai, bandar raya terbesar dan kota perdagangan China dengan penduduk 20 juta orang, menyedarkan kita mengapa Pertunjukan Auto Shanghai 2009 bulan lalu, menjadi antara lima pertunjukan auto terbesar dunia.

Hampir kebanyakan pengeluar kereta dan kenderaan utama dunia mahu menyertai pameran itu.


Pembaharuan ekonomi China pada 1990 membawa kepada ledakan industri serta gaya hidup bagi negara berpenduduk lebih satu bilion itu.

Negara itu kini muncul sebagai kuasa ekonomi dunia dan pasaran terbesar hampir semua perniagaan termasuk automotif.

Syarikat pengeluar kereta Jepun, Amerika dan Eropah berlumba-lumba menjalin kerjasama dengan syarikat tempatan bagi memasarkan kenderaan mereka di negara itu.

Pertunjukan auto itu menyaksikan pengeluar kereta tempatan serta asing mempamerkan lebih 900 model serta melancarkan puluhan model baru.

Porsche, ikon kereta sport Jerman memilih melancarkan Panamera, sedan empat pintu pertamanya di pertunjukan itu, begitu juga Rools-Royce manakala pengeluar tempatan, Cherry, melancarkan 26 model baru. Bekas pengeluar kereta terbesar dunia, General Motors (GM), melancarkan Chevrolet Cruze yang bakal memasuki pasaran Malaysia seawal bulan depan serta model Buick dan Cadillac.

Penyertaan besar-besaran pengeluar kereta seluruh dunia itu menggambarkan China sebagai pusat automotif penting dunia kerana selain sebagai pasaran terbesar pada masa ini.

Ini berdasarkan pertumbuhan pesat China dalam industri itu dan dijangka muncul negara pengeluar terbesar menjelang akhir tahun ini.

Walaupun industri automotif besar-besaran China bermula kira-kira 10 tahun lalu, ia mempunyai puluhan syarikat pengeluar kenderaan sendiri, seperti Chery Automobile, Lifan, Dongfeng, BYD dan Hawtai.

Jumlah jualan kenderaan di China mencecah 2.68 juta unit bagi tiga bulan pertama tahun lalu, dengan pertumbuhan 3.8 peratus. Jika kadar itu kekal, China bakal mengatasi Amerika.

Persatuan Pengeluar Automobil China menjangka jualan tahun ini meningkat sehingga sembilan peratus, mencapai 10.2 juta unit dan kerajaan juga memainkan peranan dengan mengurangkan cukai jualan kepada satu peratus bagi kereta baru bawah 1.6 liter.

Tidak hairanlah jika GM yang memasarkan model Chevrolet di Malaysia melalui Hicom-Chevrolet Sdn Bhd, dengan rakan kongsinya di China, Shanghai Automobiles Industry Corporations (SAIC), berusaha menampilkan diri sebagai peserta paling menonjol di Pertunjukan Auto Shanghai.

Selain Chevrolet Cruze yang bakal menjadi model pasaran globalnya, GM melancarkan model baru Buick iaitu LaCrosse Rls dan Regal Turbo Rls serta dua model Cadillac iaitu Escalade Hybrid Rls dan SRX Rls dan menampilkan Chevrolet Camaro yang digunakan dalam filem Transformer serta dengan bangga mempamerkan kereta elektrik Chevrolet Volt Rls yang bakal muncul dalam sambungan filem Transformer bagi menggambarkan kemajuan teknologi automotif GM.

Ketika ini, GM melalui jenama Chevrolet, Buick, Cadillac dan Saab mendahului penguasaan pasaran China.

Walaupun pada hari pertama dan kedua, pameran itu hanya dibuka untuk peserta industri dan wakil media dari seluruh dunia termasuk dari Malaysia yang dibawa Hicom-Chevrolet, namun tapak tapak ekspo antarabangsa di Pudong, Shanghai, sesak dengan pengunjung.

Jika dilihat pada jumlah kenderaan dipamerkan serta pengunjung, seolah-olah China tidak terjejas langsung dengan kemelesetan ekonomi global.

Sebanyak 10 dewan pameran mempamerkan hampir semua jenama kenderaan di dunia selain peserta mempamer aksesori kenderaan serta kenderaan berat termasuk lori, trak dan bas di luar dewan yang sebahagian besarnya buatan China.

Banyak pengeluar menampilkan model konsep mesra alam, sama ada kereta elektrik, hibrid atau bahan api hidrogen, termasuk GM yang menampilkan kereta elektriknya Chevrolet Volt, yang bakal memasuki pasaran China pada 2011 serta kenderaan SUV menggunakan bahan api hidrogen.

Peugeot juga menampilkan model hibridnya RC Hybrid 4, Mazda pula mempamerkan model konsepnya Kiyora dan hatchback Mazda 2, Subaru dengan G4e konsep, Mitsubisi menampilkan Lancer Sport Back, Volvo dengan S60 konsep, model konsep Mercedese Blue Zero E-Cell manakala Nissan mempamerkan model mini konsep Nuvu.

Bagi pembuat kereta China pula, pameran ini menjadi pentas meraih perhatian potensi jualan yang sebahagian besar modelnya imitasi model popular dunia.

BYD memperkenalkan model M6, yang secara zahirnya kelihatan seperti Toyota Estima, Lifan memperkenalkan kereta kompak mirip Mini Cooper manakala model Geely GE menyerupai model Rolls Royce.

Melihat kepesatan industri automotif China yang digambarkan melalui Pertunjukan Auto Shanghai itu, mungkin ada perkara boleh kita pelajari dan jadikan contoh bagi memajukan industri automtif Malaysia, seperti dasar baru automotif misalnya atau sistem percukaiannya.

Sunday, May 10, 2009

Hari Ibu

Hari ini genap lah 8 tahun
Ibu aku meninggalkan aku sekeluarga,
tika waktu ini ramai menyambut hari Ibu,
aku hanya mengenangkan Ibu
yang kembali ke Rahmatullah...
alfatihah...

Kepada sesiapa yang masih mempunyai Ibu,
hargai Ibu dan kasihilah mereka,
jangan terlambat untuk mengasihi Ibu anda.
Nabi juga bersabda kasihi Ibu kamu
dan barulah ayah kamu!!
begitulah perlunya kita menghormati Ibu
yang disaran oleh agama Islam...
Kepada Ibu mertua aku,
terima kasih kerana membenarkan
aku mengahwini anaknya dan
Selamat Hari Ibu