Ramai yang skeptikal dengan jentera buatan China tetapi pada harga yang berpatutan, prestasi jentera seperti Tiggo tidaklah terlalu mengecewakan.
APA yang ada dalam fikiran anda jika ditanya tentang kereta buatan China? Skeptikal atau teruja? Apa pun, kereta buatan gergasi ekonomi Asia itu bukan lagi asing kepada pengguna Malaysia.
Sama ada ia dipasarkan setelah diberi nama baru atau mengekal namanya sendiri, produk dari China semakin diterima oleh mereka yang mungkin sudah bosan dengan jenama sedia ada di pasaran.
Boleh dikatakan pemilihan kenderaan dari China banyak disumbang oleh faktor harga, di samping lambakan pelbagai ciri menarik di dalamnya.
Perbandingannya mudah. Sebagai contoh, sebuah kereta kompak dari China yang harganya hampir sama dengan kereta (dalam segmen sama) buatan tempatan hadir dengan beg udara, cermin dan stereng kuasa.
Kalau dinilai pada sebuah MPV, MPV buatan China yang mempunyai enjin bersesaran 2.4 liter hanya berharga sekitar RM85,000.
|
|
Jika hendak membeli MPV dengan kuasa enjin hampir sama buatan Jepun atau Eropah, harganya mungkin lebih sekali ganda.
Biarpun masih ramai yang ragu-ragu dengan kualitinya, anda perlu tahu bahawa kereta dari China sudah banyak menerima penambahbaikan dari semua aspek. Jika tidak, bagaimana ada model buatan China sudah berjaya menembusi pasaran Eropah yang cukup ketat.
Buat pertama kalinya, penulis berpeluang memandu uji sebuah SUV yang diimport dari tanah besar China, Chery Tiggo 1.6 liter. Fakta yang menyatakan bahawa Tiggo merupakan model paling popular keluaran Chery di pasaran antarabangsa dan dijual di lebih 60 buah negara membuatkan rasa ingin tahu saya semakin bertambah.
Sejak tiga tahun lalu, Chery banyak melabur untuk menjadikan model keluarannya menepati standard antarabangsa.
Maka, salah satu produknya ialah Chery Tiggo, SUV yang digerak menggunakan enjin yang dibangunkan sendiri oleh pihak Chery.
Diberi nama ACTECO, enjin aluminium berkod SQR481F itu dilengkapi dengan sistem Variable Valve Timing (VVT) dan kawalan kadar pembakaran bahan api (controllable burn rate).
Sebenarnya, enjin ACTECO dibangunkan untuk beberapa sesaran kuasa iaitu 1.6, 1.8, 2.0 dan 2.4 liter. Ia sekali gus digunakan dalam kesemua jentera keluaran Chery.
Chery turut memiliki kemampuan menghasilkan sehingga 400,000 unit enjin itu setahun. Bukan itu sahaja, enjin ACTECO berjaya melepasi standard enjin Eropah dan disifatkan sebagai enjin berprestasi terbaik dalam kelasnya.
Bagi merealisasikan matlamat penjimatan penggunaan petrol, Tiggo dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan, selain konfigurasi pacuan roda hadapan sahaja.
Dengan kemampuan menjana kuasa sehingga 87.5 kW @ 6,150 rpm dan tork maksimum 147 Nm @ 4,300 rpm, Tiggo memerlukan anda untuk lebih rajin menukar ke gear lebih rendah untuk mendapatkan henjutan kuasanya.
Mujurlah, klacnya lembut dan senggukan minimum ketika gear ditukar membuatkan Tiggo sebuah SUV yang seronok untuk dipandu. Apatah lagi ketika bunyi enjinnya juga kurang ketara walaupun jarum rpm mula merangkak ke angka melebihi 5,000 rpm.
Anda boleh merasai kestabilan mengemudikan Tiggo di atas apa jua bentuk jalan raya. Keadaan ini banyak disumbangkan oleh kerangka jenis unitary, selain penggunaan suspensi topang MacPherson untuk roda hadapan dan penyerap hentak multi-link pada roda belakangnya.
Tidak berkompromi dengan aspek keselamatan, Tiggo dilengkapi dengan sistem brek ABS dan EBD yang menawarkan kuasa membrek lebih berkesan.
Keselamatan setiap penumpang pula dititikberatkan menerusi aplikasi kerangka yang teguh selain ciri penyerap impak sisi pada keempat-empat pintunya.
Maaf, jika dikatakan bahawa ruang kokpit Tiggo nampak murah. Plastik keras berwarna kelabu berada di setiap inci papan pemuka, stereng, panel sisi, brek tangan dan tombol gearnya.
Mujurlah tempat duduk yang ada cukup selesa, di samping kedudukan pemandu yang boleh dikategorikan sebagai ergonomik untuk mereka yang bersaiz sederhana.
Sistem audio double DIN Tiggo juga mudah untuk dikendalikan. Disokong oleh empat pembesar suara, anda pasti berpuas hati dengan kualiti bunyi yang dihasilkan.
Paparan meter dengan latar berwarna putih, bagaimana pun tidak menarik perhatian saya tetapi ia tetap membolehkan pemandu mendapatkan maklumat pemanduan dengan jelas.
Bentuk fizikal Tiggo tidak kalah andai dibandingkan dengan model SUV yang dihasilkan oleh syarikat gergasi automotif lain. Penampilannya tetap maskulin dengan reka bentuk keseluruhan yang kemas dan bergaya.
Diimport oleh Chery Alado Automobile Sdn. Bhd., Chery Tiggo ditawarkan pada harga RM78,888 seunit. Lebih menarik, anda boleh memilih daripada enam warna yang disediakan termasuklah putih, hitam, kelabu, perak, biru dan merah.
Setiap pembelian Tiggo hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan 100,000 kilometer.
No comments:
Post a Comment