Wednesday, May 20, 2009

Pertunjukan Auto Shanghai 2009

BERKUNJUNG ke Shanghai, bandar raya terbesar dan kota perdagangan China dengan penduduk 20 juta orang, menyedarkan kita mengapa Pertunjukan Auto Shanghai 2009 bulan lalu, menjadi antara lima pertunjukan auto terbesar dunia.

BERKUNJUNG ke Shanghai, bandar raya terbesar dan kota perdagangan China dengan penduduk 20 juta orang, menyedarkan kita mengapa Pertunjukan Auto Shanghai 2009 bulan lalu, menjadi antara lima pertunjukan auto terbesar dunia.

Hampir kebanyakan pengeluar kereta dan kenderaan utama dunia mahu menyertai pameran itu.


Pembaharuan ekonomi China pada 1990 membawa kepada ledakan industri serta gaya hidup bagi negara berpenduduk lebih satu bilion itu.

Negara itu kini muncul sebagai kuasa ekonomi dunia dan pasaran terbesar hampir semua perniagaan termasuk automotif.

Syarikat pengeluar kereta Jepun, Amerika dan Eropah berlumba-lumba menjalin kerjasama dengan syarikat tempatan bagi memasarkan kenderaan mereka di negara itu.

Pertunjukan auto itu menyaksikan pengeluar kereta tempatan serta asing mempamerkan lebih 900 model serta melancarkan puluhan model baru.

Porsche, ikon kereta sport Jerman memilih melancarkan Panamera, sedan empat pintu pertamanya di pertunjukan itu, begitu juga Rools-Royce manakala pengeluar tempatan, Cherry, melancarkan 26 model baru. Bekas pengeluar kereta terbesar dunia, General Motors (GM), melancarkan Chevrolet Cruze yang bakal memasuki pasaran Malaysia seawal bulan depan serta model Buick dan Cadillac.

Penyertaan besar-besaran pengeluar kereta seluruh dunia itu menggambarkan China sebagai pusat automotif penting dunia kerana selain sebagai pasaran terbesar pada masa ini.

Ini berdasarkan pertumbuhan pesat China dalam industri itu dan dijangka muncul negara pengeluar terbesar menjelang akhir tahun ini.

Walaupun industri automotif besar-besaran China bermula kira-kira 10 tahun lalu, ia mempunyai puluhan syarikat pengeluar kenderaan sendiri, seperti Chery Automobile, Lifan, Dongfeng, BYD dan Hawtai.

Jumlah jualan kenderaan di China mencecah 2.68 juta unit bagi tiga bulan pertama tahun lalu, dengan pertumbuhan 3.8 peratus. Jika kadar itu kekal, China bakal mengatasi Amerika.

Persatuan Pengeluar Automobil China menjangka jualan tahun ini meningkat sehingga sembilan peratus, mencapai 10.2 juta unit dan kerajaan juga memainkan peranan dengan mengurangkan cukai jualan kepada satu peratus bagi kereta baru bawah 1.6 liter.

Tidak hairanlah jika GM yang memasarkan model Chevrolet di Malaysia melalui Hicom-Chevrolet Sdn Bhd, dengan rakan kongsinya di China, Shanghai Automobiles Industry Corporations (SAIC), berusaha menampilkan diri sebagai peserta paling menonjol di Pertunjukan Auto Shanghai.

Selain Chevrolet Cruze yang bakal menjadi model pasaran globalnya, GM melancarkan model baru Buick iaitu LaCrosse Rls dan Regal Turbo Rls serta dua model Cadillac iaitu Escalade Hybrid Rls dan SRX Rls dan menampilkan Chevrolet Camaro yang digunakan dalam filem Transformer serta dengan bangga mempamerkan kereta elektrik Chevrolet Volt Rls yang bakal muncul dalam sambungan filem Transformer bagi menggambarkan kemajuan teknologi automotif GM.

Ketika ini, GM melalui jenama Chevrolet, Buick, Cadillac dan Saab mendahului penguasaan pasaran China.

Walaupun pada hari pertama dan kedua, pameran itu hanya dibuka untuk peserta industri dan wakil media dari seluruh dunia termasuk dari Malaysia yang dibawa Hicom-Chevrolet, namun tapak tapak ekspo antarabangsa di Pudong, Shanghai, sesak dengan pengunjung.

Jika dilihat pada jumlah kenderaan dipamerkan serta pengunjung, seolah-olah China tidak terjejas langsung dengan kemelesetan ekonomi global.

Sebanyak 10 dewan pameran mempamerkan hampir semua jenama kenderaan di dunia selain peserta mempamer aksesori kenderaan serta kenderaan berat termasuk lori, trak dan bas di luar dewan yang sebahagian besarnya buatan China.

Banyak pengeluar menampilkan model konsep mesra alam, sama ada kereta elektrik, hibrid atau bahan api hidrogen, termasuk GM yang menampilkan kereta elektriknya Chevrolet Volt, yang bakal memasuki pasaran China pada 2011 serta kenderaan SUV menggunakan bahan api hidrogen.

Peugeot juga menampilkan model hibridnya RC Hybrid 4, Mazda pula mempamerkan model konsepnya Kiyora dan hatchback Mazda 2, Subaru dengan G4e konsep, Mitsubisi menampilkan Lancer Sport Back, Volvo dengan S60 konsep, model konsep Mercedese Blue Zero E-Cell manakala Nissan mempamerkan model mini konsep Nuvu.

Bagi pembuat kereta China pula, pameran ini menjadi pentas meraih perhatian potensi jualan yang sebahagian besar modelnya imitasi model popular dunia.

BYD memperkenalkan model M6, yang secara zahirnya kelihatan seperti Toyota Estima, Lifan memperkenalkan kereta kompak mirip Mini Cooper manakala model Geely GE menyerupai model Rolls Royce.

Melihat kepesatan industri automotif China yang digambarkan melalui Pertunjukan Auto Shanghai itu, mungkin ada perkara boleh kita pelajari dan jadikan contoh bagi memajukan industri automtif Malaysia, seperti dasar baru automotif misalnya atau sistem percukaiannya.

No comments: