Saturday, May 23, 2009

HICOM-Chevrolet jangka jualan baik Captiva



Seorang model sedang bergaya di samping kereta Chevrolet Captiva yang dipertingkatkan bertempat di lobi pusat membeli-belah Sunway Pyramid, di Petaling Jaya, semalam.

PETALING JAYA 22 Mei - HICOM-Chevrolet Sdn Bhd, pengedar kereta Chevrolet di Malaysia, menjangka menjual 800 hingga 1,000 unit kereta yang baru dilancarnya, versi diperbaharui Chevrolet Captiva, dalam tahun kewangannya yang berakhir pada Mac 2010.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sanjeev Garg berkata, syarikat itu sentiasa mencari kualiti dan nilai yang akan memenuhi keperluan pelanggannya.

"Teknologi berkembang. Kami perlu membina sesuatu yang pelanggan sentiasa perlukan kerana kebanyakan pelanggan yang berminat dengan segmen Captiva berusia antara 35 hingga 45 tahun dengan pendapatan isi rumah lebih RM7,000.

"Mereka adalah pelanggan yang benar-benar celik teknologi dan mereka mahukan sesuatu," katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran model baharu itu.

Sanjeev berkata, 20 tempahan telah pun diterima bagi Captiva.

Dilancarkan pada 2007, Captiva merupakan taruhan pertama HICOM-Chevrolet untuk industri automotif Malaysia.

Antara ciri-ciri yang diperbaharui termasuklah sistem audio CD/MP3 dengan lapan pembesar suara yang dilengkapi Bluetooth bagi Captiva 2.0L Diesel.

Captiva yang ditambah baik ini turut disempurnakan dengan rekaan dalaman kulit mewah berwarna kuning air, butang tekan naik/turun ekspres dengan perlindungan keselamatan untuk tingkap kuasa di bahagian pemandu dan cekera brek ventilasi di bahagian sisi.

Ciri-ciri dan fungsi lain Captiva termasuklah antara lainnya, Kawalan Kestabilan Elektronik, Kawalan Untuk Pemanduan Berbukit, Sistem Kawalan Penjejak, Bantuan Brek Hidraulik, kawalan pemanduan dan kawalan lampu automatik.

Sanjeev berkata, syarikat itu akan meneruskan perancangannya bagi pertumbuhan di Malaysia.

"Kami masih melihat peluang pertumbuhan dalam pasaran Malaysia, yang menjadi satu daripada pasaran kenderaan terbesar di Asia Tenggara," katanya.

Beliau berkata, syarikat itu akan memperkenalkan lebih banyak model pada bulan-bulan akan datang, selain kempen agresif untuk meningkatkan bilangan kenderaan Chevrolet di jalan raya Malaysia.

Bagi memastikan pelanggan mudah mendapatkan pusat servis Chevrolet di seluruh negara, HICOM-Chevrolet merancang menambah empat pusat 3S (jualan, servis dan alat-alat ganti) tambahan dalam tempoh dua bulan akan datang di Alor Setar, Langkawi, Kuching dan Jalan Ipoh di Kuala Lumpur.

"Kami yakin dapat mencapai sasaran 15 pusat 3S pada akhir tahun ini," katanya.

Ketika ini, syarikat itu mempunyai tujuh pusat 3S di seluruh negara.

Ditanya sama ada jualan kereta syarikat itu merosot berikutan kadar faedah tinggi yang dikenakan bagi pinjaman kereta, beliau berkata: "Sudah pastinya kami melihat kesannya bulan lepas. Jualan bulan lepas turun bagi semua orang,".

No comments: