Wednesday, May 20, 2009

Jualan kereta Honda meningkat



KELEMBAPAN ekonomi dunia tidak menghalang Honda Malaysia Sdn Bhd mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 55 peratus atau 3,905 kenderaan dijual sepanjang bulan lalu.

Peningkatan itu dibantu jualan 2,342 Honda City baru iaitu 60 peratus daripada jualan keseluruhan Honda bulan ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Sdn Bhd, Toru Takahashi, berkata pencapaian itu membolehkan Honda menguasai 10 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi kenderaan penumpang seperti dilaporkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA), baru-baru ini.

"Honda berpegang kepada prinsip menyediakan produk berkualiti tinggi pada harga berpatutan, menjadikan produk kami relevan setiap masa.

"Kami berbangga dengan kepercayaan pelanggan terhadap jenama Honda dan meneruskan kecemerlangan ini pada masa akan datang," katanya.

Katanya, selain City, model lain turut mencatatkan jualan memberangsangkan seperti Accord dan Civic masing-masing terjual sebanyak 471 unit, dan 346 unit bagi model CR-V.

"Walaupun pasaran automotif tidak menentu dengan penyusutan sebanyak 10.5 peratus, Honda mencatatkan pertumbuhan 46 peratus berdasarkan perbandingan suku ke suku.

"Model City misalnya mempunyai tempahan kira-kira 4,000 unit pada masa ini," katanya.

Takahashi berkata, Honda berharap pengenalan generasi kelapan Civic bulan lalu boleh membantu meningkatkan jualan pada masa hadapan.

"Setakat ini pesanan bagi model itu ialah 1,500 buah dalam tempoh sebulan dan bagi memenuhi permintaan pasaran, Honda terus meningkatkan pengeluaran model City dan Civic," katanya.

Langkah itu mampu memendekkan waktu menunggu pelanggan dan menjadi sebahagian daripada usaha berterusan Honda untuk berada di kedudukan nombor satu.

No comments: