Wednesday, October 14, 2009

Perang rebut pembeli kereta


PERSAINGAN di antara pengeluar kereta dalam melariskan jualan kereta masing-masing menguntungkan pengguna. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR - Jika anda berhasrat membeli kereta baru, sekarang ialah masa terbaik untuk membuat pelaburan tersebut. Alasannya ialah selain harga kereta yang lebih murah, anda juga mungkin ditawarkan pakej pelancongan, komputer riba, rebat tunai, cukai jalan percuma dan rebat petrol atau diesel.

Tidak terhad kepada pengeluar kereta nasional, jenama luar juga bersaing memberi tawaran terbaik dengan trend ini dilihat berterusan sejak awal tahun ini.

Promosi sensasi terbaru turut ditawarkan oleh pengedar kereta dari China, Chery.

Beli sahaja mana-mana model kereta Chery sama ada Tiggo, Eastar atau A520, anda berpeluang mendapat pakej percutian ke Bali, Phuket dan destinasi pelancongan dalam negara termasuklah Langkawi, Port Dickson serta Pulau Perhentian. Tidak cukup itu anda juga boleh menginap di hotel lima bintang di Lembah Klang.

Bagi mereka yang mahukan keuntungan jangka panjang, tawaran pelan pembayaran fleksibel menjadi pilihan. Nasim Sdn. Bhd. yang bertanggungjawab menjual Peugeot memperkenalkan Step Ahead Flexi-Plan.

Pelan itu menawarkan bayaran bulanan yang rendah untuk model 308 VTi, sedan 407 dan model 207cc. Buktinya, dengan hanya RM899 sebulan pengguna boleh membawa pulang Peugeot 308 VTi 1.6 liter.

Mitsubishi Motors Malaysia pernah menawarkan komputer riba Sony Vaio P23 Pocket PC bernilai RM3,500 percuma untuk setiap pembelian trak pikap Triton 4x4 2.5.

Jurucakap Nasim memberitahu, kempen promosi yang kian rancak sempena musim perayaan dibuat bagi mengekalkan momentum jualan.

No comments: