Saturday, October 24, 2009

Civic 2.0 versi Modulo



Sejak kemunculan pertamanya pada 1972, Honda Civic terus kekal sebagai model Honda paling berjaya dalam pasaran segmen penumpang sehingga hari ini.

Model yang mulanya dibina sebagai sebuah kereta asas kini telah mengalami revolusi yang besar. Di kebanyakan negara Asia, Civic telah diangkat statusnya menjadi sedan premium buatan Jepun.

Seperti juga pengaruh BMW 3 series terhadap pasaran Audi A4 dan Mercedes C Class, Civic juga telah mencorak standard baru bagi pasaran segmennya sekali gus memaksa pesaingnya menaiktaraf kereta asas kepada sebuah model premium. Corolla muncul dengan Altis, Nissan dengan Sylphy, Mazda dengan model Mazda3 manakala Mitsubishi dibarisi oleh model Lancer.

Pengaruh Civic di Malaysia lebih kuat. Seingat saya, ketika masih menuntut di sekolah menengah dahulu, Civic dianggap ikon bagi mereka yang berjaya. Maknanya, kalau anda bekerja di Kuala Lumpur dan pulang ke kampung memandu Proton Wira, anda dianggap seorang yang stabil dan bekerjaya tetapi dipandang sebagai 'biasa' sahaja tetapi jika anda memandu Civic, mungkin kanak-kanak penuh di muka pintu untuk datang beraya dengan harapan dapat duit raya lebih.

Lambang status

Civic bukan sahaja melambangkan status dan jenama. Setelah lapan generasi dihasilkan, Civic yang dijual di sini menikmati hampir semuanya yang boleh dipadankan padanya. Ironinya begini, walaupun kita berkongsi kerangka dengan Civic di Amerika Syarikat, Thailand dan Indonesia, model tempatan telah disaring menjadi hanya dua model penuh iaitu 1.8 dan 2.0. Kedua-duanya bertransmisi automatik dan lengkap dengan aksesori lain sedangkan di pasaran lain, Civic diperkenalkan dengan model bertransmisi manual tanpa aksesori dan bodykit tetapi dijual pada harga lebih murah.

Baru-baru ini, saya berpeluang memandu uji Honda Civic 2.0 versi Modulo. Dengan kata lain, ia adalah model paling premium dalam kalangan Civic yang dijual di sini.

Pada harga RM134,000 (tambahan RM5,000 untuk bodykit Modulo), tidak dapat disangkal lagi bahawa harga itu paling tinggi dalam kereta yang satu kelas dengannya.

Sebagai perbandingan, Mitsubishi Lancer GT (2.0) berharga RM124,000, Sylphy dan Altis di bawah harga RM120,000. Mungkin yang paling hampir adalah Mazda3 Sport 2.0 iaitu sebuah model aksesori penuh yang diimport dari Jepun dan dijual pada tangga harga sekitar RM130,000.

Walaupun begitu, di kalangan pembeli Civic, perbezaan harga lazimnya dikontrakan dengan kualiti binaan dan nilai jualan balik Honda yang memang sukar ditandingi. Teknologinya terbukti tahan lasak dan alat gantinya mudah diperoleh.

Apatah lagi dengan pakej jaminan dan penyelenggaraan yang ditawarkan oleh Honda Malaysia Sdn. Bhd. yang sukar untuk diketepikan. Seorang teman saya bukan sahaja berbelah bahagi untuk memilih antara Civic dan Lancer, malah beliau sukar membuat keputusan untuk membeli Civic premium atau sebuah Accord yang asas. Harga kedua-duanya tidak jauh berbeza.

Dipadankan dengan enjin K20A, model 2.0 itu bukanlah sebuah enjin yang baru. Enjin itu pada asasnya telah digunakan dalam banyak model Honda sebelum ini seperti CRV dan Accord termasuk variasi versi perlumbaan Type R seperti Integra DC5, Civic EP3 dan FD2.

Transmisi manual

Di Amerika Syarikat pula, Civic 2.0 itu didatangkan dengan transmisi manual dengan enjin yang sama iaitu K20A. Tetapi ia tidak pula dipanggil Type R, sebaliknya dikenali sebagai model SiR. Ia ditala lebih rendah daripada FD2 Type R, tetapi lebih tinggi daripada Civic 2.0 yang saya pandu uji itu.


Dipadankan dengan enjin K20A.

Walaupun tanpa teknologi klac berkembar yang mempercepatkan penukaran gear secara semi automatik, ia masih mampu memecut lancar tanpa perlu dipaksa.

Kebetulan pula, saya terpaksa pergi ke Genting Highlands untuk satu tugasan. Jadi, saya mengujinya dengan mendaki bukit di Banjaran Titiwangsa. Memang jentera itu mampu memecut lancar. Selain itu, bersama saya ialah tiga orang penumpang dan ruang bagasi yang hampir penuh dengan majalah. Bagi sebuah kereta yang dibebani dengan muatan seperti itu, pasti sukar untuk ia bergerak lancar di kawasan berbukit. Namun, kereta itu masih mampu mendaki dengan lancar, walaupun dalam kebanyakan situasi, saya hanya menggunakan transmisi D.

Jika anda seorang yang sensitif terhadap keselesaan, maka kereta itu mungkin memberi sedikit kesan. Dengan salutan tayar 215/45 pada roda 17 inci, mengharapkan keselesaaan maksimum memang sesuatu yang mustahil.

Namun itulah Civic, ia tidak direka untuk anda yang hanya mahu selesa dan bergaya, ia direka untuk ke pejabat pada hari biasa dan berseronok pada hujung minggu. Suspensinya yang jitu membantu anda mengambil selekoh dengan penuh yakin walaupun kereta dipenuhi dengan penumpang.

Tahap NVH (Noise Vibration Harshness) juga masih boleh diklasifikasi bagus. Untuk sebuah kereta yang direka dengan titik graviti 150mm, ditambah dengan aloi 17 inci dan tayar senipis 45 siri, maka kemasukan bunyi desiran angin dari roda memang sukar untuk dielakkan. Kereta berimej sport memang bersifat begitu.

Ferrari dan Lamboghini juga tidak senyap jika dipecut laju. Pasti selesa dan senyap adalah Rolls Roys Phantom. Keterlaluan?

Jika dibandingkan dengan model 1.8 yang saya pandu uji beberapa bulan lalu, model 2.0 ini 'melahap' minyak lebih banyak. Ada orang kata, ia mampu bertahan sehingga 450 hingga 480 kilometer (km) untuk setangki penuh, tetapi saya terkial-kial mencari stesen petrol tatkala meter baru mencecah 380km. Sekali lagi ia dikaitkan dengan corak pemanduan dan bebanan yang dibawa.

Seorang kawan saya berjaya mencatat 1000km ketika menguji Prius.


salutan tayar 215/45 pada roda 17 inci.

Sedangkan, rata-rata kami yang lahir pada tahun 70-an hanya mampu mencatat kelajuan di antara 600 hingga 800km sahaja. Corak pemanduan memang sangat penting. Tiada gunanya anda terpengaruh dengan iklan bahan api yang menjanjikan penjimatan petrol jika anda memandu macam 'pelesit'.

Civic 2.0S versi itu adalah model yang telah siap dipasang dengan aksesori kit badan Modulo. Syarikat Modulo adalah sayap penting yang bertanggungjawab mencipta kit badan untuk kereta-kereta Honda.

Mereka melakukan ujian aerodinamik sebelum mengesyorkan kepada jurutera Honda kit badan yang sesuai untuk sesebuah kereta. Ia bukannya dibina dengan teknologi bawah pokok atau tempelan gentian kaca biasa. Selain memiliki kualiti binaan yang bagus, versi Modula ini lebih mahal kerana disiapkan dengan pemasangan dan pelarasan warna badan. Jika anda tidak kisah dengan tambahan RM5,000 untuk sebuah kereta yang nampak lebih rugged, teruskan membeli. Tetapi jika anda bercadang hendak mengubahsuai sendiri dengan kit badan lain yang dijual di pasaran, itupun boleh. Hari ini, membeli sebuah kereta memang satu perkara yang rumit kerana terdapat pilihan yang pelbagai. Berbanding 10 tahun dahulu, kita mungkin hanya ada beberapa model yang khusus dijamin pengeluar.

Kini, bukan sahaja pengedar sah atau pemasang sahaja yang berani memberi jaminan panjang, malah pengedar kereta import terpakai juga telah meluaskan skop perkhidmatan iaitu daripada hanya menjual, mereka juga menyediakan khidmat selepas jualan yang menarik.

Justeru pilihan akhirnya kembali kepada pembeli. Kepada anda yang tertanya-tanya apa bagusnya kereta ini, saya syorkan supaya anda pandu uji dan buat keputusan. Cita rasa anda dan saya mungkin berbeza!

No comments: