Saturday, October 24, 2009

Nissan Sylphy garang bersama Impul


Nissan Sylphy





SEKALI lagi, Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) memperkenalkan versi talaan Impul pada satu model kereta Nissan. Kali ini Nissan Sylphy. ETCM sebagai pemegang francais kereta Jepun ini, menunjukkan pegangan inovasi dan kreativiti yang tinggi bagi meningkatkan populariti dan jualan kereta Nissan.

ETCM tahu apa selera rakyat Malaysia. Apatah lagi, secara umumnya hanya di Malaysia, pasaran aksesori menjadi industri hiliran kedua terpenting dalam rantaian industri automotif negara ini. Pantang ada duit sedikit, pasti ada yang mahu menambah spoiler atau sekurang-kurangnya menukar rim aloi bersaiz lebih besar.

Lantaran itu, pengenalan Sylphy talaan Impul memenuhi kehendak pelanggan Malaysia. Sylphy adalah model ketiga yang dibangunkan dengan kepakaran motorsports Jepun yang terkenal di dunia dan pakar penalaan khusus Nissan Impul Motor Racing Development. Ia adalah varian talaan yang lebih fokus, agresif dan berprestasi untuk model Nissan yang telah memenangi pelbagai anugerah ini.

Pelancaran Nissan Sylphy talaan Impul serba baru ditetapkan bersempena dengan Pusingan Ke-4 Super GT Jepun di Litar F1 Antarabangsa Sepang pada Jun lalu, sebagai komitmen untuk menyokong Team Impul dan memberikan peminat sukan permotoran Nissan peluang pertama untuk melihat varian model baru ini di Malaysia.

Adalah jelas ia dibangunkan untuk pelanggan Nissan arif yang akan memilih sedan eksekutif dengan prestasi di hati yang memaparkan imej sporty eksklusif.

Malah usaha ETCM mendapat kerjasama rapat daripada Impul. Co. Ltd. yang berpusat di Jepun dalam membangunkan aksesori yang bersesuaian, mengikut spesifikasi pembuatan dan juga syarat kerajaan Malaysia.

Menurut Presiden Hoshino Impul Co., Ltd., Kazuyoshi Hoshino, pelancaran Sylphy talaan Impul terus mengukuhkan perkongsian perniagaan mereka yang kukuh dengan ETCM dan pihaknya yakin untuk terus menikmati kejayaan besar dalam pasaran Malaysia.

''Tatkala jualan bagi model kami sebelum ini dengan bantuan ETCM iaitu Impul Latio dan Grand Livina masih mencatat jualan yang bagus, Impul gembira untuk melancarkan model terbaru ini. Kami telah mengambil masa lebih setahun untuk mengeluarkan Impul Sylphy.

''Kami memang berharap untuk melihat kereta Impul terbaru ini di atas jalan raya Malaysia. Kami juga amat menghargai usaha ETCM dalam membantu kami terus meningkatkan jenama Impul di Asia Tenggara," kata Hoshino.

Nissan Sylphy talaan Impul secara ekslusif dilengkapi dengan bahagian UMPUL seperti berikut:

l Impul Aerokit Penuh

Aerokit penuh ini memaparkan jeriji depan yang agresif, spoiler bamper depan dan belakang dan spoiler sayap belakang yang memberikan model ini rupa tanda dagang Impul yang mewujudkan reka bentuk yang ternyata baru.

l Sistem Gantungan Sports Impul

Sistem Gantungan Sports Impul untuk Sylphy akan menambah pengalaman pemanduan dengan meningkatkan cengkaman dan menambah baik respon stering dengan rizab keselamatan yang tinggi untuk dinamik pemanduan yang superior.

Sistem itu merangkumi absorber hentak yang dipertingkatkan dan spring yang merendahkan paras pemanduan sebanyak 25mm.

l Peredam Bunyi Ekzos Impul Blast II

Peredam bunyi ekzos besi keluli yang berkilat dan dipadankan dengan logo Impul terukir pada muncung paip ekzos memenuhi penampilan menyerlahnya secara keseluruhan dan menawarkan respon enjin yang lebih jitu dengan sentuhan sporty.

l Rim Roda Aloi Berwarna Hitam atau Berkilat 17" Impul Aura SX-10 dengan Tayar Dunlop Formula D-01 205/45 R17

Rim roda aloi premium Impul Aura SX-10 yang bergaya adalah reka bentuk terkini dalam teknologi rekaan roda dengan komitmen yang teguh terhadap kualiti dan keselamatan, dan didatangkan dengan warna hitam atau berkilat bagi menambahkan rupa garang yang baru Impul Sylphy.

l Kerusi Kulit Hitam, Karpet Sepadan dengan logo Impul

Kerusi unik berbentuk kerang Sylphy disalut dalam kulit hitam eksklusif dengan padanan karpet hitam Impul bagi menyokong rupa luaran sporty Impul.

Terdapat dua varian Sylphy talaan Impul yang ditawarkan iaitu 2.0 X-CVT (Comfort) dijual pada harga RM123,800.00 dan 2.0 X-CVT (Luxury) RM127,800.00.

Kedua-duanya adalah harga atas jalan dalam warna metalik (termasuk insurans, cukai jalan, fi pendaftaran dan fi tuntutan pemilikan) yang sah di Semenanjung Malaysia dan ditawarkan bersama jaminan tiga tahun atau 100,000 km (yang mana dulu).

Jualan bagi bahagian atau alat ganti Impul Performance juga ditawarkan kepada pemilik Nissan Sylphy sedia ada.

Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh TCMH, merupakan sayap jualan dan pemasaran kenderaan Nissan di Malaysia. Pada 1957, Tan Chong Motors dilantik sebagai pemegang francais bagi kenderaan Nissan/Datsun di Malaysia dan Nissan/Datsun menjadi jenama terlaris di negara ini pada 1970.

Tan Chong Motor Holdings Berhad (TCMH) disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur pada 1974. Teras aktiviti kumpulan ini ialah dalam pemasangan dan pengedaran automobil. Bagi menyokong perniagaan auto TCMH, ia menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti perkhidmatan selepas jualan, pembiayaan pembelian kenderaan, pajakan, insurans, pinjaman peribadi dan tukaran wang bagi menghargai pelanggan-pelanggan ASEAN TCMH.

No comments: