Monday, September 7, 2009

Penantian Fisichella berakhir


DETIK gemilang Fisichella ketika meraikan kejayaannya di podium selepas menduduki tempat kedua pada perlumbaan GP Belgium minggu lalu.

PEMANDU Itali, Giancarlo Fisichella telah memulakan kariernya sebagai pemandu Formula Satu (F1) pada tahun 1996 bersama pasukan Minardi.

Ketika itu usianya baru 23 tahun dan pastinya menjadi impian seseorang pemandu dari Itali untuk cuba mempamerkan prestasi terbaik supaya dipikat pasukan ternama dari negara tersebut iaitu Ferrari.

Namun, Fisichella langsung tidak berkesempatan mencapai impiannya itu kerana selepas semusim bersama Minardi, dia berhijrah ke pasukan Jordan (1997), Benetton (1998-2001), Jordan (2002-2003), Sauber (2004), Renault (2005-2007) dan Force India (2008-2009).

Bagaimanapun, nasib Fisichella berubah sekelip mata setelah berjaya meraih petak utama pada perlumbaan Grand Prix (GP) Belgium dua minggu lalu disusuli kejayaan menduduki tempat kedua di belakang pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen pada perlumbaan sebenar sehari kemudian.

Ia sekali gus memberikan mata sulung buat pasukan Force India dalam sejarah F1 dan pada masa yang sama membuka mata Ferrari untuk menagih khidmatnya.

Ferrari begitu terdesak mencari pemandu kedua berkualiti untuk digandingkan dengan Raikkonen pada baki saingan musim ini selepas Luca Badoer yang menggantikan Felipe Massa yang cedera gagal memenuhi kehendak pasukan.

Akhirnya minggu lalu, Ferrari mengumumkan Fisichella sebagai pemandu kedua mereka untuk baki saingan musim ini menggantikan Badoer dan dia turut menjadi pemandu simpanan Ferrari untuk musim 2010.

Pada masa yang sama, Force India bersetuju untuk melepaskan Fisichella meskipun kontraknya belum berakhir.

Bagi Fisichella, dia langsung tidak menjangka untuk melalui satu transformasi besar pada ketika usianya yang kini sudah mencecah 36 tahun.

"Peluang ini akhirnya hadir juga selepas 14 tahun. Saya pernah menguji jentera Ferrari 412 T2 di Fiorano pada 27 September 1995.

"Saya masih tidak percaya bahawa peluang untuk menyertai Ferrari masih terbuka. Saya rasa seperti mimpi menjadi kenyataan kerana setiap pelumba Itali pasti mempunyai cita-cita untuk memandu jentera F1 Ferrari.

"Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pasukan Ferrari dan juga pengerusinya, Luca di Montezemolo kerana merealisasikan impian saya ini.

"Sepanjang minggu lalu, beberapa perkara menarik telah berlaku dalam hidup saya termasuk berjaya meraih petak utama dan juga mendapat tempat kedua di Litar Spa.

"Kini saya dipanggil pula oleh Ferrari untuk memandu jentera mereka pada baki lima perlumbaan musim ini bermula dengan GP Itali di Litar Monza pada 13 September ini," kata Fisichella selepas diumumkan sebagai pemandu Ferrari minggu lalu.

Bagi ketua pasukan Ferrari, Stefano Domenicali, pemilihan Fisichella itu dibuat selepas dia berfikir panjang lebar dan akhir- nya mahu pemandu Itali tersebut menjalin- kan hubungan jangka panjang dengan pasu- kannya.

"Kami memilih Fisichella kerana berpendapat dia mampu memberikan sumbangan bermakna dari segi kutipan mata pada baki perlumbaan musim ini," kata Domenicali.

Pemilihan Fisichella itu sekali gus mengu- burkan terus impian Badoer, juga seorang pemandu Itali yang terpaksa diketepikan selepas dia gagal menyinar dalam dua perlumbaan yang dilaluinya.

"Saya hanya mahu katakan, saya minta maaf kepada Badoer. Saya tahu betapa anda juga mengintai peluang berlumba di Litar Monza dengan menggunakan jentera Ferrari."

Mengimbas pencapaiannya sepanjang 14 tahun berlumba dalam perlumbaan F1, Fisichella sebenarnya hanya berjaya memena- ngi tiga perlumbaan iaitu di GP Brazil 2003, GP Australia 2005 dan GP Malaysia pada 2006.

Dia juga telah menjejak podium sebanyak 19 kali dan empat kali menduduki petak utama selepas beraksi dalam 226 perlumbaan.

Sepanjang 14 tahun itu juga, prestasi terbaiknya hadir ketika Fisichella memandu untuk pasukan Renault apabila berjaya menduduki tempat kelima keseluruhan pada musim 2005 dan tempat keempat keseluruhan pada musim 2006.

Fisichella mempunyai dua cahaya mata iaitu Carlotta dan Christopher hasil perkongsian hidup dengan pasangannya, Luna Castellani.

No comments: