Saturday, September 26, 2009

Ubah landskap automotif tempatan



JIKA mengikut perancangan, Dasar Automotif Nasional (DAN) baru akan diumumkan pada akhir bulan ini. Ketika pengenalannya kali pertama tiga tahun lalu, DAN memberi impak yang bukan sedikit.

Pertahanan yang selama ini diberikan kepada pembuat kereta tempatan, Proton dan Perodua mula dihakis sedikit demi sedikit. Perancangan yang tidak tepat menyebabkan Proton hampir tumbang. Kesannya, industri automotif menjadi kucar-kacir buat seketika.

Industri kereta terpakai menerima impak terus dengan kemerosotan jualan dan nilai kereta yang jatuh mendadak. Di mana silapnya tidak pasti.

Kesan positifnya juga samar-samar biarpun selepas tiga tahun ia dilaksanakan. DAN belum berupaya menarik pelabur atau pengeluar kereta antarabangsa untuk terus meneroka tapak pengeluarannya di sini.

Meskipun Malaysia kekal mencatat jualan kereta tertinggi di Asia Tenggara, namun secara keseluruhannya hasrat menjadikan negara ini sebagai hab pengeluaran kenderaan asing masih jauh daripada jangkauan.

Dasar itu digubal setelah mengambil kira kemajuan industri automotif yang dikecapi oleh negara jiran, Thailand. Walaupun kita telah memulakan industri itu lebih awal, namun penangguhan pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas Asia (AFTA) membuatkan banyak pengeluar tertanya-tanya tentang polisi dan masa depan yang ingin Malaysia rangka terhadap sektor automotif.


BIARPUN telah menjadi milik Volkswagen, Porsche tetap mampu mengekalkan jenamanya.

Pada satu ketika, perlindungan terhadap sektor automotif tempatan secara berlebihan menyebabkan pengeluar asing sukar mencipta jenama mereka di sini. Akhirnya, mereka berhijrah ke Thailand yang menawarkan polisi yang lebih mesra pelabur dalam sektor automotif mereka.

Rayong boleh menjadi contoh Detroit of Asia yang berjaya. Ia merupakan sebuah pusat pelaburan yang dibangunkan bersama dengan pembekal dan vendor yang saling bekerjasama rapat.

Secara umum, DAN merupakan polisi yang dijangka mampu menghasilkan skala ekonomi automotif yang mapan dan berkembang pesat. Jika dipetik teras matlamat dasar itu, ia memang kelihatan bakal memberi sesuatu yang positif terhadap masa depan ekonomi negara. Antaranya ialah:

1. Menggalakkan industri automotif tempatan yang kompetitif dan berdaya tahan terutamanya bagi pengeluar kereta nasional.

2. Membangunkan Malaysia sebagai pusat atau hab automotif serantau dalam bidang-bidang khusus.

3. Menggalakkan peningkatan nilai tambah secara mapan serta pembinaan keupayaan tempatan.

4. Menggalakkan peningkatan tahap eksport kenderaan dan komponen yang kompetitif ke pasaran dunia.

5. Menggalakkan penyertaan Bumiputera yang kompetitif dan menyeluruh dalam sektor automotif tempatan.

6. Menjaga kepentingan pengguna dengan menawarkan produk yang selamat dan berkualiti pada harga berpatutan.

Namun, jika dilihat pada matlamat yang diberi, tiada satu pun yang boleh dijustifikasikan sebagai berjaya. Oleh sebab itu juga, dasar kedua perlu dilaksana segera bagi memperbaiki kelemahan dan lompong yang menyebabkan perkembangan automotif kita mendatar. Tiada syarikat baru yang membuka kilang pelaburan di Malaysia secara besar-besaran.

Jika ada sekali pun, perkembangan kemasukan pengedar bertukar tangan mengedar sesuatu jenama. Itu satu perkara biasa, hatta tanpa DAN sekali pun.

Mesra pelabur

Sedangkan pada masa yang sama, Thailand terus menerima penghijrahan industri dengan positif. Tidak terkecuali, Indonesia menerima Volkswagen untuk membuka kilang terbarunya bernilai AS$140 juta (RM490 juta).

Justeru, kerajaan perlu merangka polisi yang mesra pelabur. Kita telah membuktikannya dalam sektor elektronik pada era 1980-an dahulu. Cuba kira berapa ramai pelabur sektor industri itu berbanding dengan negara jiran lain.


MALAYSIA sebenarnya memiliki pakej yang menarik untuk menarik pelabur kereta antarabangsa melabur di Malaysia.

Malaysia memiliki tenaga kerja yang cukup, berkemahiran, berpengetahuan dan mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik. Lebih penting lagi, politik dan ekonomi negara jauh lebih stabil berbanding negara jiran. Pakej itu seharusnya menjadi rangsangan, sedangkan ia tidak dimiliki Thailand.

Perlu diingat, kita tidak boleh selamanya berharap untuk menjadi negara konsumer automotif. Banyak kereta dijual tidak bermakna kita maju dari sudut automotif. Mahu atau tidak, banyak lagi perlu dibelanjakan untuk menampung keperluan prasarana jalan raya. Akhirnya, ia menyebabkan 'ruang' semakin mengecil akibat lambakan kenderaan yang bertambah setiap tahun.

Pelaksanaan dasar automotif yang lebih terbuka menjanjikan persaingan sengit yang memberi banyak kesan positif. Itu pun jika kita melihat sektor automotif tempatan sebagai aset yang tidak perlu dilindungi selamanya. Jika lihat hari ini, Proton dan Perodua sudah mampu berdiri dalam arena yang penuh mencabar.

Banyak pihak berpandangan bahawa dasar sedia ada masih meletakkan satu halangan terhadap industri yang benar-benar terbuka. Tiada satu pun industri di sesebuah negara yang tidak mempertahankan produk tempatannya.

Persoalannya, corak pertahanan bagaimana harus dilaksanakan agar persaingan masih di liga yang adil dan tidak mengecilkan hati tetamu lain. Persaingan dan kemampuan bertahan adalah sesuatu yang bukan asing dalam industri automotif. Ia perlu dicorak kembali mengikut apa yang kita inginkan. GM dan Chrysler pun boleh tumbang. Itulah lumrah perniagaan.

Lihat dari perspektif yang lebih luas, pembelian Porsche oleh kumpulan Volkswagen misalnya tidak sekali-kali menyebabkan logo Porsche hilang. Mereka masih membuat kereta dan terus menghasilkan produksi yang lebih ekonomikal. Banyak platform yang boleh dikongsi dan kemahiran yang boleh ditukar sesama dua jenama itu.

Akhirnya, Proton akan terpaksa mencari rakan kongsi strategik yang tepat. Tidak selamanya mereka mampu mengharapkan jualan domestik untuk menampung kos pembinaan model baru sepenuhnya.

Kemasukan rakan baru bakal memberi peluang kepada Proton agar berupaya menembusi pasaran besar yang sedang berkembang seperti China dan India. Bukan sekadar bercakap tentang teknologi, kita juga perlu melihat dari segi rangkaian pengeluaran dan pemasaran agresif yang tidak dimiliki Proton buat masa sekarang.

Perodua? Syarikat itu sudah terlalu banyak menikmati keistimewaan, hanya kerana statusnya sebagai kereta 'nasional'. Walaupun 100 peratus teknologinya datang daripada Toyota dan Daihatsu, Perodua tidak akan goyang tanpa bantuan kerajaan sekali pun.

Asalkan keterbukaan terhadap sektor itu diselaraskan pada semua jenama dan pengeluar, Perodua akan terus menghasilkan lebih banyak model jika dasar automotif yang baru mencabar mereka. Andainya persaingan itu benar-benar terjadi, maka sudah pasti Myvi perlu memikirkan cara untuk bersaing dengan Honda Jazz, Toyota Yaris, Suzuki Swift dan Mazda 2. Itulah hakikatnya.

Keterbukaan dalam dasar automotif juga dikhuatiri menyebabkan harga kereta menjadi murah sekali gus melambakkan lagi jumlah kenderaan yang sedia ada.

Pinjaman

Tetapi jika diukur kejayaan pasaran kereta penumpang di Malaysia hari ini, ia banyak didorong oleh sistem perbankan semasa. Polisi pinjaman kenderaan selama sembilan tahun mewujudkan peluang pembeli untuk berhutang lebih lama. Sedangkan, kadangkala mereka tidak perlu. Kembalikan semula pada pasaran sewaktu era 1990-an dahulu. Pinjaman maksimum hanya lima tahun.


KERJASAMA dengan rakan strategik yang tepat amat diperlukan oleh Proton bagi memastikan produk keluarannya kekal kompetitif di pasaran antarabangsa.

Menjadi hab automotif memang menjadi hasrat Malaysia sejak sekian lama. Namun penangguhan demi penangguhan, penggubalan polisi dan dasar yang salah menyebabkan kejayaan sukar dicapai. Terlalu banyak keuntungan telah dinikmati Thailand hari ini. Mereka berjaya mewujudkan lebih suku juta peluang pekerjaan daripada hampir 20 pengeluar kereta dan motosikal di sana.

Terdapat lebih 700 kilang berkaitan automotif di Thailand dengan jumlah pengeluaran hampir 1.3 juta unit setahun. Malah lebih separuh daripada jumlah tersebut adalah untuk pasaran eksport.

Vendor dan sektor pembuatan automotif tempatan seperti Aapico dan Able Sanoh berkembang lebih cepat berbanding APM Automotive di sini. Realitinya memang begitu. Memang perit untuk kita terima kenyataan bahawa Thailand yang 10 tahun lalu jauh ketinggalan dalam industri automotif, kini jauh meninggalkan Malaysia.

Dasar Automotif Nasional yang baru juga perlu memperincikan dengan lebih jelas. Setiap instrumen dalam dasar sebelum ini perlu dikaji semula termasuk Struktur Duti Eksais, pewartaan nilai kenderaan import (masalah pengisytiharan cukai yang di bawah nilai), Dana Penyesuaian Industri, Permit Kelulusan (AP), Kelulusan Jenis Kenderaan dan CEPT Duti Import antara negara ASEAN. Jangan hanya bergantung pada kertas kerja yang enak didengar, tetapi hasilnya kosong.

No comments: