Sunday, September 27, 2009

Tekanan angin tayar


TEKANAN angin tayar yang kurang boleh meningkatkan risiko kemalangan. - Gambar hiasan

RAMAI dalam kalangan kita menggunakan kereta saban hari tanpa memberikan tumpuan kepada elemen keselamatan yang paling penting iaitu tayar.

Kajian menunjukkan bahawa 80 peratus daripada pemandu kereta tidak tahu atau tidak mengambil peduli mengenai tekanan angin tayar mereka.

Hanya segelintir daripada kita yang memberi perhatian serius terhadap tekanan tayar sebelum ditimpa kemalangan yang berpunca daripada tayar.

Anda tentu pernah melihat belon yang diisi penuh dengan angin menjadi kempis secara semula jadi dalam tempoh beberapa hari.

Tayar juga mempunyai sifat yang sama seperti belon, tekanan angin dalam tayar akan berkurangan sebanyak 10 hingga 20 kPa dengan sendirinya setiap bulan.

Pengurangan 10 kPa adalah bersamaan dengan berat seorang penumpang seberat 70 kilogram (kg).

Secara tidak langsung, kereta kita dibebankan tanpa disedari. Ia bukan sahaja membahayakan pemandu dan penumpang, malah meningkatkan kos penyelenggaraan dan merosakkan tayar.

Pengabaian tekanan tayar oleh pengguna sering berlaku akibat kurangnya pengetahuan mengenai kelebihan menggunakan tayar bertekanan sesuai.


SIVARAO menunjukkan alat ATPC yang diciptanya.

Kurang arif

Ditambah pula, pemilik kereta sering memberi alasan susah hendak ke kios angin dan kurang arif mengenai nilai tekanan tayar yang patut diisi.

Menyedari masalah itu, pensyarah Fakulti Kejuruteraan Pembuatan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Ir. S. Sivarao telah mereka cipta sebuah peralatan yang diberi nama Pengehad Tekanan Tayar Automatik (ATPC).

ATPC mampu menghadkan tekanan angin yang sesuai ke dalam tayar tanpa pengguna perlu tahu tekanan yang sesuai atau tekanan yang perlu ditetap pada kios angin.

Sivarao memberitahu, idea mereka cipta alat berkenaan muncul apabila melihat tayar kereta isterinya sering kekurangan angin.

Ketika ditanya mengapa tayar tidak diisi angin, alasan yang diberi oleh isterinya ialah tidak tahu tekanan angin sesuai.

"Masalah yang dihadapi oleh isteri saya ini dipercayai juga berlaku pada kebanyakan pemilik kereta.

"Terpanggil untuk menangani masalah ini, saya cuba mereka cipta peralatan yang dapat menghadkan tekanan angin secara automatik dan lahirlah ATPC," katanya ketiak ditemui Kosmo! di UTeM baru-baru ini.

Bunyi

Menurut Sivarao, ATPC akan mengeluarkan bunyi bagi memberitahu pengguna apabila tekanan yang sesuai telah dicapai.

"Pengguna tidak perlu tahu berapa nilai yang mereka perlu tetapkan di kios angin.


ATPC akan mengeluarkan bunyi apabila tekanan yang sesuai dicapai.

"Mereka boleh menetapkan sebarang nilai yang dikehendaki misalnya 500 kPa," katanya.

Selain itu katanya, ATPC ini juga mampu mengeluarkan tekanan berlebihan dalam tayar ke nilai sepatutnya secara automatik tanpa sebarang alat bantuan yang lain sekiranya berlaku over inflation.

"Selain digunakan di kios angin, ia juga boleh digunakan bersama kompresor angin atau pam manual yang biasa kita gunakan di rumah," katanya.

Pada masa ini, ATPC dikeluarkan dalam beberapa model iaitu PVC based single preset, aluminium made three presets dan multiple robast presets.



ATPC turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi pingat perak di Pameran Antarabangsa Reka Cipta, Produk dan Teknik Baru ke-36 di Geneva, Switzerland.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UTeM, Prof. Madya Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan sebuah syarikat bagi mengkomersialkan ATPC.

"ATPC dijangka akan berada dalam pasaran dalam tempoh sebulan dua lagi pada harga kurang RM50.

"Saya percaya ATPC akan mendapat sambutan hangat kerana ia mudah digunakan," katanya.

No comments: