Saturday, September 5, 2009

Nissan 370Z

Kurang setahun sejak pengenalannya kepada dunia, Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. kini memperkenalkan model kebanggaan Nissan, Nissan 370Z ke pasaran tempatan.

PENGARAH Eksekutif Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM), Datuk Dr. Ang Bon Bang menyimpan satu rasa sentimental yang cukup tinggi terhadap model sport keluaran Nissan ini. Sebabnya, pada tahun 1960, Ang yang ketika itu seorang jurujual kenderaan Nissan berjaya menjual model sport 240Z yang pertama.

Sejak itu, memiliki jentera berkuasa tinggi siri Z menjadi impian semua peminat tegarnya. Biarpun tiada satu pun model daripada variannya dibawa masuk bermula dari tahun 1970 hingga 2003, popularitinya tidak pernah luntur.

Memahami masih wujud keghairahan terhadap model Z, pihak ETCM mengambil keputusan untuk kembali membawa masuk jentera tersebut pada 2004. Menjadi antara model pilihan para drifter, dalam tempoh lima tahun (sehingga 2009), sebanyak 11 unit 350Z Coupe telah terjual.


ANG di samping model terbaru yang ditawarkan oleh ETCM.

Saya tidak berkesempatan untuk memandu uji 350Z Coupe. Lebih membuatkan saya berasa sayu ialah apabila mendapat tahu dua orang rakan telah dijemput ke Jepun untuk memandu uji model terbarunya, 370Z. Namun, perasaan itu sedikit terubat apabila pada majlis pelancaran 370Z dan Nissan Murano baru-baru ini, pihak ETCM memberitahu bahawa mereka ada menyediakan kedua-dua unit tersebut untuk dipandu uji.

Untuk makluman, 370Z dikenali sebagai Fairlady Z di Jepun. Tidak dapat dinafikan bahawa generasi keenam itu sememangnya antara model yang menjadi indikator kepada kemajuan teknologi automotif Nissan.


RUANG kokpit 370Z kemas dengan deretan meter yang berfungsi bagi memberi panduan kepada pemandu.

Menjangkau usia 40 tahun, model Z sememangnya sudah menjadi ikon para peminat jentera berkuasa tinggi di seluruh dunia. Ini terbukti apabila 1.7 juta unit telah terjual sejak generasi pertamanya, model S30 membuat debut pada tahun 1969.

Justeru, penampilan Nissan 370Z serba baru itu meneruskan falsafah reka bentuk, prestasi, inovasi teknikal dan pengendalian yang optimum. Model itu juga dikatakan dibina daripada ciri-ciri terbaik yang diambil daripada generasi pertama dan terakhir model Z.


REKA bentuk luaran jentera ini tidak menerima perubahan yang terlalu ketara.




"Jentera ini diadun dengan elemen retro, ringkas tetapi sofistikated. Ia pastinya sebuah Z," kata Ang.

Karekteristik prestasi 370Z terhasil daripada titik roda (wheelbase) yang telah dipendekkan, dikurangkan berat fizikalnya (32 kilogram lebih ringan berbanding model sebelumnya), di samping penggunaan enjin lebih berkuasa berkod VQ37VHR.

Enjin V6 bersesaran 3.7 liter dengan aplikasi sistem VVEL (Variable Valve Event and Lift) itu merupakan manifestasi terbaru daripada siri enjin VQ yang telah banyak mendapat pengiktirafan.

Diletakkan dalam kelompok 10 enjin terbaik di dunia, VQ37VHR didakwa mampu menjana sehingga 333PS dan tork maksimum 363Nm. Penghantaran kuasa menerusi kotak gear automatik tujuh kelajuan atau manual enam kelajuan dikatakan amat lancar.

Enjin itu juga menjanjikan tindak balas pendikit (throttle response) yang lebih baik, penjimatan penggunaan bahan api dan kurang emisi.

Bagi yang lebih gemar memandu jentera itu dengan transmisi manual, mereka pasti tersenyum apabila menyedari 370Z dilengkapi dengan sistem kawalan SyncroRev Match. Sistem itu membolehkan putaran enjin (rpm revving) kekal tinggi secara automatik walaupun ketika klac ditekan untuk menukar gear. Bagi kumpulan pertama, hanya tiga buah 370Z dibawa masuk dan semuanya telah pun dimiliki. Jadi, jika anda teringin memakir jentera tersebut di dalam garaj dan tidak mahu menunggu terlalu lama, silalah berkunjung ke bilik pameran Nissan terdekat.

Kereta sport itu ditawarkan pada harga RM354,400 seunit tanpa insurans. Ia didatangkan dalam tiga warna pilihan iaitu kelabu, hitam dan putih. Anda juga boleh memilih warna material kulit dalamannya sama ada oren atau hitam.

No comments: