Saturday, September 26, 2009

Nasihat Plus elak sesak

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang akan pulang ke Kuala Lumpur dari kampung halaman masing-masing selepas cuti Aidilfitri dinasihatkan bersabar sekiranya terpaksa menempuhi kesesakan sekiranya enggan mengikut cadangan waktu perjalanan (TTA) yang disediakan Plus Expressways Berhad (Plus).

Pengurus Besar Komunikasi Korporat Plus, Khalilah Mohd Talha, berkata setakat ini pihaknya belum mendapat maklumat terperinci berkaitan jumlah pengguna yang mengikut TTA.

“Secara kasarnya kami dapat melihat banyak kenderaan berada di lebuh raya pada tempoh yang sama menjadikan keadaan trafik agak sesak,” katanya.

Menurutnya, jumlah kenderaan lebih banyak berada di lebuh raya selepas jam 6 petang hingga tengah malam dan ini menjadikan keadaan di lebuh raya sedikit sesak walaupun Plus memberikan panduan bagi mengelak kesesakan.





“Mengikut TTA disediakan, pengguna disaran memulakan perjalanan mengikut destinasi masing-masing pada waktu siang antara jam 12 tengah hari dan 5 petang.


“Namun, jumlah kenderaan di lebuh raya pada waktu berkenaan agak berkurangan kerana kebanyakan pengguna memilih waktu perjalanan sendiri,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Khalilah berkata, Plus menjangkakan jumlah kenderaan yang menuju ke Kuala Lumpur akan bertambah bermula hari ini dan esok memandangkan sekolah dibuka Isnin ini.

“Oleh itu, orang ramai diminta bersabar sekiranya keadaan sedikit sesak kerana jumlah kenderaan bertambah 40 peratus pada musim perayaan,” katanya.

Khalilah berkata, Plus masih mengamalkan langkah persediaan sama seperti sebelum ini dengan memastikan semua lorong bayaran tol dibuka dan perkhidmatan kaunter tambah nilai Touch n’ Go.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Kawalan Trafik Plus di talian 1-800-88-0000 untuk mengetahui maklumat lalu lintas dalam usaha merancang perjalanan dan mengelakkan tersekat dalam kesesakan,” katanya.

Dalam pada itu Khalilah berkata, pemandu dinasihat mendapat rehat mencukupi sebelum memulakan perjalanan dan berhenti seketika di hentian disediakan sekiranya keletihan atau mengantuk.

No comments: