SEJAK diperkenalkan buat pertama kalinya pada 2003, Honda Jazz telah mengubah cara setiap individu berfikir tentang sebuah kereta bandar. Kereta untuk kegunaan sekitar bandar atau urban car sering dikaitkan dengan keutamaan perekanya untuk mencipta sebuah mesin yang mudah dikendalikan, jimat penggunaan bahan api dan rendah kos penyelenggaraannya.
Matlamat asal kenderaan itu dicipta cukup mudah. Ia direka untuk individu yang sering bergerak dalam trafik berhenti-jalan (stop go traffic).
Justeru, talaan pengendaliannya tidak begitu diambil kira dan keselesaan bukan berada di tahap nombor satu. Namun, jika anda memang dikenali kerana menghasilkan kereta berkualiti dalam satu pakej, mengapa tidak lahirkan semula kereta untuk kegunaan bandar yang lebih premium?
Mungkin Jazz tidak setaraf dengan A Class atau BMW Siri 1. Namun hakikatnya, kereta itu direka bijak bagi memastikan pemandunya tidak sedar bahawa mereka sedang memandu sebuah kereta kecil.
Ya, dalam terminologi segmentasi kereta, Jazz tergolong dalam segmen B, satu tangga di bawah Civic, sekelas dengan Vios, MyVi dan Swift sebagai contoh.
Honda Jazz generasi pertama mula memasuki pasaran pada 2003, ketika itu ia direka dengan transmisi CVT dan enjin kecil bersesaran 1.4 liter i-DSI.
Liputannya meluas, pujian mencurah-curah tiba terhadap rekaan hatchback kecilnya itu. Walaupun ia merupakan versi hatchback bagi Honda City generasi kedua, ia tidak langsung dirujuk sebagai dua varian yang sama. Sekurang-kurangnya di Malaysia.
Di benua Asia, kereta itu sangat laris bak goreng pisang panas. Di Thailand dan Filipina, Jazz ialah kereta kompak pilihan yang jauh meninggalkan Yaris. Di Indonesia pula ia dikenali sebagai 'Mobil Sejuta Umat' sebagai menggambarkan dambaan setiap warga di sana untuk memiliki kereta itu.
Apakah yang menjadikan Honda Jazz istimewa? Rekabentuk. Sejak daripada model pertamanya, Jazz memiliki kontur badan yang memukau. Comel untuk saiznya dan sporty
untuk rekaannya.
Anda tidak dapat mencari hatta satu garis kesilapan pada pembikinan kereta tersebut. Model pertamanya masih cantik kalau dibandingkan dengan model pesaingnya yang mungkin telah digantikan beberapa kali.
Generasi kedua
Persoalan tentu timbul mengenai bentuk rekaan model terbarunya? Futuristik. Apabila generasi kedua itu hendak dibina, bukan sedikit golongan yang skeptik bagaimana rupa Jazz gantiannya nanti.
Sedangkan model terdahulu (atau GD3) itu sudah kelihatan sempurna, bagaimana untuk menjadi lebih baik dan nampak berbeza? Ia nyata sukar untuk digambarkan dengan hanya bergantung pada foto dan model tanah liat.
Apabila model GE3 diperkenalkan, nyata ia berbeza dengan model lama, namun prinsip dan konsepnya masih kekal. Ia sebuah produk penting Honda yang telah menggantikan posisi Civic sebagai cash cow mereka.
Membina identiti amat penting bagi memastikan masyarakat terus ingat model itu untuk generasi seterusnya.
Ia seperti BMW Mini. Secara tidak sedar, model generasi Mini dari BMW telah memasuki generasi kedua. Maksudnya dua kerangka yang berbeza. Namun Mini kelihatan sukar untuk dibezakan antara dua generasi tersebut, sedangkan identikal pada Jazz adalah lebih mudah.
Jazz dipasang dengan enjin 1.5 liter i-VTEC generasi terbaru dan transmisi lima kelajuan. Seperti yang dicadangkan oleh juruteranya, enjin itu langsung tiada masalah merentasi trafik bandar dan sekali-sekala di lebuh raya.
Kuasa mendakinya cepat. Putaran enjinnya ringan, susunan gearnya amat bijak dan sempurna. Pusingan sterengnya memang tipikal Jazz/City yang mana radiusnya amat cemerlang untuk kereta kompak pacuan hadapan.
Saya memandu kereta itu ke Kuantan, Pahang untuk satu tugasan. Jujur saya katakan, sebelum ini saya kerap memandu Jazz GD model pertama. Kelemahan Jazz adalah kerana kelebihannya di bandar. Masuk sahaja ke lebuh raya anda akan berasa betapa ia amat ringan dan konsistensi kawalan lebih diperlukan berbanding memandu Civic dalam kelajuan yang sama.
Namun, perbezaaan nyata antara model pertama dan model ini ialah pengendaliannya mudah dijangka. Bagaimanapun, anda masih boleh rasakan bahawa Jazz masih ringan. Namun disebabkan bentuknya yang aerodinamik dan enjin yang dipertingkatkan, ia menjadi antara kereta yang mudah dijangka dalam kelajuan tinggi.
Selain pengendalian yang ditingkatkan, bahagian dalamannya kelihatan futuristik. Terima kasih kepada fabrik dan vinyl hitam yang menjadi bahan balutannya.
Rekaan papan pemuka dan kelongsong meternya cukup sporty dan kompleks. Suis penghawa dingin boleh dicapai mudah, cukup hampir dengan tangan kiri pemandu. Audionya tiada sebarang masalah, suis di stereng yang dipinjam daripada Civic nyata amat berguna.
Kerusinya memiliki kontur yang memeluk pemandu. Namun spannya saya rasakan sedikit keras. Tempat duduk belakang yang boleh dilipat itu juga agak keras untuk perjalanan jauh. Satu kekurangan yang saya kenal pasti, ia tiada perehat tangan bagi penumpang hadapan. Model sebelumnya langsung tiada perehat tangan untuk versi tempatan.
Jika selama ini Jazz versi lama dirasakan sudah cukup luas ruang letak kakinya, Jazz model terbaru menawarkan keluasan yang lebih. Anda tidak akan rasa 'tersepit' apabila berada di dalamnya kerana ilusi ruang dan pandangan cermin lebarnya menjadikan seolah-olah berada dalam sebuah sedan bersaiz penuh.
Model yang saya pandu uji ialah versi Modulo. Dilihat dengan teliti, model itu dipasangkan dengan skirting sisi, sepasang lampu sorot hadapan dan sebuah spoiler pembias angin kecil atas bumbung tailgate belakang. Warna putih (tafetta white) membuatkan ia kelihatan lebih besar berbanding saiz sebenarnya.
Harga? RM112,800 seunit. Mahal? Tak syak lagi memang mahal kerana hanya dengan lebih RM1,000 anda sudah boleh membeli Honda Civic 1.8!
Saya percaya HMSB telah membuat satu percaturan salah untuk Jazz. Kini, semua varian model itu terletak pada tangga harga lebih RM100,000 dan sukar untuk mencapai jualan memberangsangkan dalam pasaran yang diketahui kecil.
Lihat sahaja Mitsubishi Colt dahulu dan Suzuki Swift hari ini. Dalam pasaran, banyak pilihan lain untuk harga sebegitu, sama ada sebuah sedan segmen C ataupun kompak segmen B. Jadi saya kira, pembeli Jazz ini memang benar-benar berduit atau pun peminat tegar Jazz!
No comments:
Post a Comment