Friday, February 19, 2010

Lotus mampu mencabar – Fairuz


PEMANDU negara, Fairuz Fauzy menguji jentera baru Lotus F1, T127 buat kali pertama di Litar Jerez, Sepanyol kelmarin. – Lotus F1




















KUALA LUMPUR – Walaupun berdepan beberapa masalah kecil pada hari pertama sesi ujian di Litar Jerez kelmarin, namun pasukan Formula Satu negara, Lotus F1 yakin mereka mampu memberi cabaran kompetitif.

Pemandu negara, Fairuz Fauzy, yang menguji jentera Lotus Cosworth T127 buat kali pertama percaya, kereta mereka memerlukan sedikit masa lagi untuk ditingkatkan.

“Selepas menguji jentera Lotus F1 semalam, maklum balas yang saya peroleh.. kereta kami mampu menyerlah dan meningkat sedikit masa lagi.



“Saya melihat Lotus F1 punya potensi dan mampu menjadi salah satu pasukan yang kompetitif pada persaingan nanti," kata Fairuz, yang juga pemandu uji pasukan ketika dihubungi Utusan Malaysia di London, semalam.

Menurut Fauzi lagi, perlumbaan musim ini, yang akan bermula di Bahrain pada 12 Mac depan berbeza dengan perlumbaan sebelumnya kerana sebahagian besar pasukan membariskan pemandu baru.

"Perlumbaan kali ini nyata berbeza kerana saya melihat semua pasukan mampu memberikan persaingan. Insya-Allah, kami juga mampu berada di tahap yang diingini kerana usaha untuk mempertingkatkan jentera Lotus F1 akan dilakukan sedikit masa lagi," jelasnya.

Begitupun Fauzi mengakui, untuk menjadi sebuah pasukan yang disegani ia tidak datang dengan pakej yang singkat dan cepat.

“Anda tidak boleh menang dengan hanya turun sekali, ia memerlukan masa. Masa untuk menambah keyakinan kepada pasukan dan masa untuk menambah kelebihan yang ada pada pasukan,” jelasnya.

Dalam sesi ujian kelmarin, Fairuz melengkapkan pemanduan sejauh 300 kilometer untuk memperoleh Lesen Super daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA). ).

Ujian awal berdepan masalah kecil seperti ketiadaan stereng berkuasa elektronik, Fairuz mampu menyudahkan 76 pusingan pemanduan.

“Pemanduan semalam agar sukar memandangkan jentera kita masih belum mempunyai power steering (stereng berkuasa elektronik).

“Saya fikir kalau ada alat tersebut, pemanduan akan menjadi lebih lancar dan jentera akan lebih ringan

“Walaupun pemanduan agar sukar secara fizikal, namun saya boleh katakan ia berjalan dengan baik,’’ katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknikal Lotus F1, Mike Gascoyne berkata, isu stereng akan diatasi hari ini dan pasukan itu kini sibuk mempersiapkan jentera bagi ujian kedua.

"Dengan jentera yang tiada masalah besar dalam isu daya tahan dan hanya beberapa gangguan timbul seperti masalah enjin cepat panas , selebihnya jentera meluncur tanpa masalah,” kata Gascoyne.

Pemandu utama pasukan dari Finland, Heikki Kovalainen akan mengambil alih tugas pada dua hari uji pandu berikutnya, diikuti Jarno Trulli dari Itali esok. yang hebat,” katanya.

Fauzi akan melakukan ujian sekali lagi di Litar Barcelona, minggu depan.

No comments: