Saturday, February 27, 2010

VOLVO S80


Rupa bentuk dari arah belakang Volvo S80 juga lebih mantap, ditambah dengan saiz rim aloi 17 inci.








DENGAN chasis sport, Volvo S80 yang dibina berdasarkan platform Ford/Volvo EUCD, kini memberi lebih keseronokan pemanduan. Chasis sport tersebut adalah sama yang diguna pada Land Rover Freelander dan memberi kestabilan semasa meluncur, kawalan baik pergerakan badan dan tindak balas roda stering yang memberikan pacuan yang responsif.

Terdapat dua model yang ditawarkan di Malaysia, dengan S80 2.5T dipasang tempatan dan dijana oleh enjin 2.5 liter inline-5 turbocaj yang menghasilkan 200 kuasa kuda pada 4,800 revolusi per minit. Ia memiliki kuasa terjahan (torque) 300 Newton meters pada 1,500 rpm hingga 4,500 rpm. Harga tanpa insurannya ialah RM285,000 seunit.Model kedua ialah S80 3.2 yang diimport sepenuhnya dari Sweden. Harga tanpa insurannya ialah RM398,000.

Model ini menggunakan enjin 3.2 liter inline-6 yang mempunyai 238 kuasa kuda pada 6,200 rpm dengan kuasa terjahan 320 Nm pada 3,200rpm.Antara ciri facelift yang diberikan kepada S80 2.5T ini ialah sistem audio visual Berprestasi Tinggi iaitu amplifier 4x400W dengan pemain DVD dan enam penukar cakera padat serta boleh menyambungkan semua jenis peralatan muzik atau digital. Paparan LCD yang dipasang di belakang kerusi pemandu dan penumpang depan di mana penumpang belakang boleh menggunakan headphone yang pasti tidak menganggu pemandu.

S80 2.5T ini dipasang menggunakan rim aloi 17 inci Canicula dengan lebar tayar 225/50 R17 manakala model 3.2 liter menggunakan rim aloi 18 inci Venator dengan tayar 245/40 R18. Kerusinya semua dibalut dengan kulit termasuk roda stering dicampur dengan padanan kayu dan kulit. Kerusinya boleh dialih secara elektronik dan cermin sisi boleh dilipat. Ia menggunakan sistem penyalaan dan mematikan enjin tanpa kunci. Ia juga memiliki kawalan suhu elektronik yang merupakan ciri penting tatkala cuaca tropika di Malaysia yang tidak menentu ini.Walaupun terdapat sedikit perbezaan antara 2.5T dengan 3.2 liter, namun daripada sudut keselamatan, kedua-duanya dipasang cukup dengan ciri-ciri keselamatan yang menjamin penumpangnya.

Ini adalah sesuatu yang sememangnya menjadi moto dan keutamaan Volvo. DSTC atau Kestabilan Dinamik dan Kawalan Cengkaman membantu pemandu mendapatkan balik kawalan kereta semasa kecemasan. Lampu Bi-Xenon Aktif memaparkan ciri boleh beralih 15 darjah sama ada ke kiri atau ke kanan mengikut selekoh yang diambil. Kesemua model S80 mempunyai perlindungan beg udara yang lengkap iaitu dua peringkat beg udara bagi pemandu dan penumpang depan, beg udara sisi bagi pemandu dan penmpang selain beg udara bidai bagi penumpang di kiri dan kanan.

Kedua-dua model juga dilengkapi Komunikator Kereta Peribadi Volvo, versi canggih daripada sekadar tugas sebagai pembuka pintu tanpa kunci menggunakan alat kawalan jauh. PCC Volvo ini lebih maju. Dalam jarak antara 60 hingga 100 meter, PCC boleh memberikan petunjuk amaran sekiranya ada orang yang memecah masuk dan masih berada di dalam kereta. Alat ini boleh mengesan degup jantung manusia.

Kembali kepada aspek prestasi, Volvo 2.5T boleh dijadikan sebuah kenderaan yang selesa dipandu sama ada oleh lelaki yang gemar memandu laju atau wanita yang cermat. Selain itu, S80 juga sesuai dijadikan kereta keluarga kerana ruang dalamannya yang luas. Ini dapat dirasai juga menerusi ruang kaki. Tambahan lagi, berdasarkan reka bentuk luarannya, ia tidak memberi kekaburan daripada segi pemaparan imej. Volvo adalah kereta selamat dan lawa.Paling penting, dengan enjin 2.5 liter, cukai jalannya adalah dibawah RM1,000 setahun. Jadi ia tidaklah begitu membebankan.

No comments: