LOTUS EVORA lebih besar daripada model Lotus yang lain. |
Struktur harga jualan di pasaran tempatan masih dikaji
LOTUS Evora, yang sebelum ini dilancarkan bagi pasaran United Kingdom, akan dijual di pasaran tempatan menjelang akhir bulan depan depan, kata Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd, Datuk Syed Zainal Abidin Mohamed Tahir.
Beliau berkata, Proton sedang menunggu pengeluaran kumpulan baru kereta sports itu dilancarkan di negara ini.
"Ini disebabkan oleh struktur cukai Malaysia yang lebih tinggi dari di UK. Kami belum memutuskan harganya, kami masih membuat perkiraan. Kami cuba menjadikannya berdaya saing seperti dalam pasaran UK.
"Kami masih berbincang dengan kerajaan selain mengkaji struktur harga," katanya pada sidang media di ibu pejabat Lotus di Hethel, UK kelmarin.
Lotus Evora, yang pada mulanya dibangunkan di bawah projek yang diberi nama 'Project Eagle', dilancarkan pada British Motor Show pada Julai 2008.
Kereta itu lebih besar daripada model Lotus yang lain seperti Elise dan Exige.
Mengenai rakan kongsi strategik untuk Proton yang disebutkan dalam ucapannya pada majlis makan malam sebelumnya, Syed Zainal Abidin enggan menjelaskan lebih lanjut dan berkata masanya terlalu awal untuk membuat pengumuman.
"Perbincangan bukan saja membabitkan Volkswagen tetapi juga Mitsubishi dan Renault bagi mengkaji kerjasama dalam beberapa bidang, iaitu enjin dan komponen.
"Kami menyasarkan kerjasama yang luas skopnya, itulah tahap perbincangan kami dengan pihak berkenaan," katanya.
Terdahulu, Syed Zainal Abidin berkata, Proton telah menyenaraikan beberapa produk bagi lima tahun akan datang termasuk elektronik dan kuasa enjin.
"Kami sedang memajukan enjin campro turbo yang boleh didapati menjelang akhir tahun ini atau paling lewat menjelang awal tahun depan. Ini bakal menjadi ciri bagi semua kereta kami," katanya.
Selepas 25 tahun beroperasi, Syed Zainal Abidin berkata, Proton berhasrat menceburi arena antarabangsa dan Geneva Motor Show adalah langkah pertama ke arah itu. � Bernama
No comments:
Post a Comment