KUALA LUMPUR - Pengguna Lebuh raya Utara-Selatan yang ingin kembali ke Lembah Klang pada Sabtu dan Ahad ini selepas cuti perayaan Tahun Baru Cina, dinasihatkan supaya mematuhi Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi memastikan perjalanan yang lebih selesa dan lancar.
Ketua Pegawai Operasi PLUS Expressways Berhad (Plus), Nik Airini Nik Jaffar berkata, ini kerana jadual yang dikeluarkan pada Hari Raya Aidilfitri lalu terbukti berjaya mengurangkan kesesakan trafik di lebuh raya.
"Kami menasihatkan orang ramai yang ingin pulang semula ke Lembah Klang pada 20 dan 21 Februari ini supaya mematuhi jadual yang disediakan,'' katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurutnya, jadual perjalanan yang dicadangkan untuk pengguna ke Lembah Klang dari utara iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang ialah sebelum pukul 1 tengah hari, manakala dari Taiping, Kuala Kangsar dan Ipoh antara pukul 3 dan 6 petang, Tapah, Bidor, Slim River dan Tanjung Malim sebelum pukul 10 pagi dan antara pukul 8 dan 11 malam.
Bagi perjalanan dari selatan pula jadual yang dicadangkan bagi Johor ialah sebelum 1 petang manakala Simpang Ampat dan Ayer Keroh antara 3 dan 6 petang, Seremban, Port Dickson dan Senawang sebelum pukul 10 pagi dan antara pukul 8 dan 10 malam, dengan perjalanan dari tempat-tempat lain dicadangkan selepas pukul 11 malam.
No comments:
Post a Comment