UNTUK memahami evolusi Porsche 911 Turbo, anda harus mengimbas kembali apa yang berlaku pada Paris Motor Show tahun 1974. Ketika itu, ramai yang keliru dan tertanya-tanya kenapa Porsche mengambil keputusan untuk membina sebuah kereta super sports pada saat dunia berdepan zaman sukar.
|
|
Mereka menganggap model tersebut sebagai sebuah kereta yang salah dan dibina pada waktu yang tidak tepat. Namun, semua keraguan itu akhirnya terjawab apabila ia dilihat berjaya mengoptimumkan nisbah antara input dan output dengan efisien.
Kini, konsep efisien dan prestasi itu diterjemahkan dalam cara lebih pintar menerusi model yang mengangkat nama sama, Porsche 911 Turbo terbaru. Ia meletakkan satu penanda aras yang baru dalam segmen kereta
super sport dengan inovasi teknologi terbaik, merangkumi talaan baru serta penambah baikan dari aspek reka bantuknya.
Semua ciri utama 911 Turbo dipertingkatkan secara signifikan, termasuklah penjimatan bahan api, lebih ringan, laju dan dinamik pemanduan yang diperhebat.
Menyentuh aspek penggunaan bahan api dan prestasi dinamik, model terbaik dalam keluarga 911 yang dihasilkan di kilang Porsche di Zuffenhausen Jerman itu sebenarnya sudah berada dalam generasi ketujuh. Debut pertamanya ialah di Frankfurt Motor Show, Jerman pada September tahun lalu.
Enjin turbo
Ciri utama yang mesti diperkatakan pastinya unit enjin bersesaran 3.8 liter yang baru dan mampu menjana kuasa sehingga 500 bhp. Enjin turbo serba baru itu merupakan yang pertama dalam tempoh 35 tahun didatangkan bersama ciri termoden seperti suntikan bahan api secara langsung, pendesak turbo eksklusif Porsche dengan geometri turbin boleh ubah dan VarioCam Plus.
Sebagai satu opsyen, enjin enam silinder itu boleh dipadankan buat pertama kalinya dengan kotak gear klac berkembar (Doppelkupplungsgetriebe, PDK) Porsche tujuh kelajuan. Model-model yang dilengkapi PDK turut dipasang dengan stereng rekaan baru bersama paddle shifter sebagai pengganti kepada sistem butang yang digunakan sebelum ini.
|
|
Dalam perkembangan lain, Porsche Asia Pacific Pte. Ltd. telah menandatangani surat niat (Letter of Intent) untuk melantik Sime Darby selaku pengimport tunggal dan eksklusif untuk kereta-kereta Porsche di Malaysia.
Kerjasama tersebut menggariskan bahawa Sime Darby akan bertanggungjawab sepenuhnya atas aspek pengimportan, pengedaran, jualan, pemasaran perhubungan awam dan perkhidmatan selepas jualan untuk jenama itu. Sime Darby juga mempunyai hak melantik pengedar dan pusat servis.
Syarikat itu dijangka mengambil tanggungjawab secara rasmi daripada Jaseri Automotive Group Sdn. Bhd. menjelang akhir suku pertama tahun ini. Menurut Pengarah Urusan Porsche Asia Pacific, Christer Ekberg, pihaknya berbesar hati untuk mengalu-alukan rakan baru ke dalam keluarga Porsche Asia Pacific.
|
|
Porsche Centre Glenmarie juga akan kekal sebagai pusat untuk aktiviti jualan dan servis, manakala penambahan pusat-pusat servis Porsche dibuat demi memberi perkhidmatan terbaik buat pelanggan sedia ada dan baru.
"Sime Darby teruja kerana berpeluang untuk menambah Porsche dalam barisan jenama kereta kami. Malaysia akan menjadi wakil kali kedua buat Porsche memandangkan kami mewakili jenama sama dengan Pusat Porsche di New Zealand," kata Timbalan Presiden Eksekutif Motors Division Sime Darby, Datuk Lawrence Lee.
No comments:
Post a Comment