|
|
Pemandu McLaren berusia 24 tahun itu meraih petak pertama buat pertama kali musim ini dan yang ke-14 dalam kariernya selepas mencatat masa terpantas 1 minit, 39.498 saat di litar jalan raya Valencia.
Rakan sepasukannya, Heikki Kovalainen dari Finland pula mencatat masa kedua terpantas dengan catatan 1:39.532s.
"Kejayaan ini memang cukup menggembirakan saya dan seluruh pasukan terutama Kovalainen," kata Hamilton.
"Kami memang ingin memberikan prestasi terbaik dalam setiap perlumbaan dan sudah lama kami mengidam untuk menguasai sesi kelayakan bagi memulakan perlumbaan di petak pertama dan kedua.
"Kejayaan ini membuktikan bahawa McLaren kini sudah kembali selepas berdepan dengan pelbagai kesukaran di awal musim."
Untuk rekod, kali terakhir Hamilton meraih petak hadapan ialah pada GP China di Shanghai tahun lepas.
Kini, dia mempunyai keyakinan untuk kembali memberi saingan secara kompetitif khususnya kepada pasukan Brawn GP dan Red Bull yang mendominasi di awal musim.
"Sudah jelas kami memang cukup kompetitif," tambah Hamilton yang meraih kejuaraan pertamanya musim ini pada GP Hungary bulan lepas.
"Semua krew kami juga menjalankan tugas mereka dengan cemerlang."
Pemandu Brawn GP, Rubens Barrichello bakal memulakan aksi di petak ketiga selepas mencatat masa 1:39.563s dihadapan pemandu Red Bull, Sebastian Vettel dan pendahulu keseluruhan yang juga rakan sepasukannya, Jenson Button.
Pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen di tempat keenam tetapi rakan sepasukannya, Luca Badoer yang menggantikan Felipe Massa bakal bermula di petak terakhir. - Reuters
No comments:
Post a Comment