Sunday, August 23, 2009

Jangan terburu-buru - Barrichello



VALENCIA - Pemandu Brazil, Rubens Barrichello mendesak agar rakan senegaranya, Felipe Massa tidak terlalu terburu-buru untuk kembali beraksi dalam perlumbaan Formula Satu (F1).



Terdahulu, Massa terpaksa menjalani pembedahan selepas mengalami keretakan tempurung kepala berikutan kemalangan yang dialaminya pada Grand Prix (GP) Hungary bulan lepas.

Pemandu Ferrari itu bagaimanapun mendedahkan dia mungkin akan kembali beraksi pada GP Brazil, Oktober depan.

Namun, Barrichello berkata, Massa memerlukan masa yang lebih panjang untuk benar-benar bersedia untuk kembali memandu jentera F1 meskipun proses pemulihannya berjalan lancar.

"Sebagai kawan, memang saya boleh katakan dia sudah bersedia untuk kembali berlumba," kata pemandu Brawn GP itu.

"Masih terdapat kesan jahitan di kepala tetapi dia sudah bersedia.

"Namun jika melihat dari sudut perubatan pula, saya rasa dia perlu bersabar dan menunggu masa yang lebih sesuai untuk kembali.

"Dia juga tidak boleh menjalani latihan berat dan saya yakin, dia perlu memandu jentera go-kart sebelum kembali dalam F1.

"Disebabkan itu, saya tidak pasti sama ada dia mampu bersedia untuk beraksi di Brazil nanti."

Ketiadaan Massa menyaksikan Luca Badoer menggantikannya pada GP Eropah.

No comments: