Thursday, August 13, 2009

Impian peminat punah angkara Schumacher



LONDON - Keputusan Michael Schumacher (gambar) untuk tidak beraksi dalam perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini telah 'menghancurkan' impian sukan berprestij itu.

Demikian komen daripada bekas pemilik pasukan F1 Jordan, Eddie Jordan mengenai tindakan pemandu Jerman itu yang menarik balik keputusannya untuk kembali ke F1 ekoran masalah kesihatan.

Menurut Jordan yang pernah mengetuai pasukan Jordan dari tahun 1991 hingga 2005, tindakan itu adalah sesuatu yang sukar diterima oleh seluruh peminat F1 yang begitu dahagakan aksi Schumacher.

Sebelum ini, Schumacher yang juga juara dunia tujuh kali bersetuju untuk membuat penampilan bersama bekas pasukannya, Ferrari bagi menggantikan tempat Felipe Massa yang mengalami kecederaan pada GP Hungary lalu.

Namun, legenda F1 itu menarik balik keputusannya itu selepas gagal pulih sepenuhnya daripada kecederaan leher ekoran terlibat dalam kemalangan motosikal Februari lalu.

"Lance Armstrong (legenda lumba basikal) tidak akan kembali beraksi dalam Jelajah Perancis jika dia tidak pulih 100 peratus. Begitu jugalah situasi yang dialami Schumacher," jelas Jordan kepada agensi TalkSport.

"Begitupun, saya terkejut kerana dia (Schumi) mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan ini (tidak beraksi).

"Dia mungkin masa memiliki kepantasan pemanduan, tetapi saya rasa dia tidak memiliki cukup kemampuan untuk beraksi selama dua jam di litar perlumbaan.

"Mungkin ini adalah satu khabar buruk buat semua peminat F1 yang merasakan bahawa semangat mereka telah hilang." - Agensi

No comments: