LONDON - Bekas pemandu F1, Luciano Burti memberi kredit kepada FIA serta pengeluar kerana berjaya mencipta helmet yang lebih selamat.
Bekas pemandu Brazil berusia 34 tahun itu pernah mengalami kemalangan serius di Spa Francorchamps pada 2001, insiden hampir sama seperti yang terjadi kepada pemandu Ferrari, Felipe Massa pada GP Hungary bulan lepas.
Massa terpaksa menjalani pembedahan akibat keretakan tempurung kepala selepas terkena serpihan besi yang melayang dari kereta pemandu Brawn GP, Rubens Barrichello.
Begitupun menurut Burti, Massa cukup bernasib baik kerana menggunakan helmet yang lebih bermutu berbanding yang pernah digunakannya lapan tahun lepas.
"Selepas kemalangan yang melibatkan Massa di Hungaroring, saya dapat lihat evolusi helmet yang terjadi sejak saya mengalami kemalangan di Belgium pada 2001 lalu," kata Burti.
"Jika helmet yang saya gunakan dulu diperbuat daripada gentian karbon seperti sekarang, pasti saya tidak mengalami kecederaan yang lebih teruk.
"Ini menunjukkan usaha positif telah dilakukan oleh FIA serta pengeluar helmet bagi memastikan keselamatan pemandu."
Burti berada di Budapest ketika Massa mengalami kemalangan tersebut dan dilaporkan merupakan antara individu terawal yang melawat rakan senegaranya itu di hospital.
No comments:
Post a Comment