Thursday, August 13, 2009

GP Singapura kekal lama


PERLUMBAAN GP Singapura mencipta sejarah tersendiri apabila dilangsungkan pada waktu malam.

LONDON - Pemilik Formula Satu (F1), Bernie Ecclestone memberi jaminan bahawa perlumbaan Grand Prix (GP) Singapura akan kekal dalam kalendar sukan berprestij itu untuk tempoh yang lama.

GP Singapura yang dilangsungkan buat pertama kali tahun lalu telah mencipta sejarah tersendiri apabila muncul perlumbaan pertama dalam sukan F1 yang dilangsungkan pada waktu malam.

Untuk rekod, perlumbaan yang berlangsung di litar jalan raya di Teluk Marina itu mempunyai kontrak selama lima tahun menerusi perjanjian antara Formula One Management (FOM) dan Ecclestone.

"Kami tidak akan membiarkan perlumbaan ini (GP Singapura) terkeluar daripada sukan F1... itu yang pasti," jelas Ecclestone kepada Today Online.

"Selagi mana negara Singapura itu wujud, maka selagi itu kami (perlumbaan F1) akan berada di sana.

"Saya boleh katakan bahawa semua pasukan dan pemandu gembira dengan perlumbaan tersebut. Saya juga tidak pernah melihat destinasi perlumbaan sehebat di Singapura.

"Apabila kamu pergi ke negara itu, kamu benar-benar akan menemui destinasi terbaik dan tempat itu adalah lokasi yang indah buat semua orang."

Sementara itu, perlumbaan F1 telah mengalami perubahan ketara apabila beberapa venue baru diperkenalkan termasuklah Singapura yang menggantikan beberapa lokasi utama di Eropah.

"Kita mahukan perubahan baru dalam sukan ini dan ia bukan semata-mata kerana faktor perniagaan," tambah Ecclestone. - Agensi

No comments: