Saturday, May 23, 2009

Terbaru daripada Alfa Romeo

Kehadiran empat model jenama Itali ini menjadi berita baik buat ramai peminat Alfa Romeo.




SIME Darby Auto Connexion Sdn. Bhd. (Auto ConneXion) yang bertanggungjawab menguruskan jenama Alfa Romeo di Malaysia melancarkan empat model Alfa Romeo ter baru ke pasaran Malaysia.

Pengenalan model 159 sports sedan, GT coupe berspesifikasi tinggi, Brera coupe dan Spider cabriolet itu dibuat sempena pembukaan pusat jualan, servis dan alat ganti (3S) terbarunya di Petaling Jaya.


KEHADIRAN Alfa Romeo Brera pasti disambut gembira oleh para peminatnya.


Auto ConneXion juga dijadual memperkenalkan model MiTo 'hot hatch' dua pintu pada hujung tahun ini.

Sememangnya kehadiran empat model jenama Itali itu menjadi berita baik buat ramai peminat Alfa Romeo yang telah menunggu sejak sekian lama. Lebih menarik lagi, Auto ConneXion menetapkan harga yang sangat kompetitif bagi kesemua model tersebut.

Model 159 sports sedan rekaan Giorgetto Giugiaro dibekalkan dengan enjin 2.2 liter twin-cam empat silinder sebaris JTS (uniJet Thrust System).

Mampu menjana sehingga 185 bhp, unit enjin kenderaan itu dipadankan dengan kotak gear Selespeed automatik manual enam kelajuan. Alfa Romeo 159 sports sedan ditawarkan pada harga RM188,888 (tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans).


BAHAGIAN kokpit Alfa Romeo GT Blackline.


Sementara itu, GT Blackline coupe model terbaru dengan spesifikasi tinggi pula boleh anda miliki pada harga RM218,888. Dilengkapi dengan enjin 2.0 liter JTS berkuasa 165 bhp dan kotak gear Selespeed automatik manual lima kelajuan, GT Blackline mendapat sentuhan daripada pereka terkemuka, Bertone.

Brera coupe dengan segala nilai keunggulan kereta sports Itali pula ditawarkan pada harga RM308,888. Menggunakan kuasa enjin JTS 185 bhp 2.2 liter, (sama seperti model 159 sedan), Brera menawarkan prestasi dan daya kendalian yang hebat.


RIM aloi lima jejari menyempurnakan lagi penampilan bergaya GT Blackline.


Selain itu, model yang mendapat paling banyak perhatian sudah tentulah Spider cabriolet. Ditawarkan pada harga RM318,888 seunit, ia mewarisi legenda model Giuletta Spider dan Duetto. Spider cabriolet merupakan hasil kerjasama antara Alfa Romeo Styling Centre serta dua nama yang cukup terkenal, Giugiaro dan Pininfarina.

Kesemua model Alfa terbaru itu boleh dilihat dan dipandu uji di Bilik Pameran dan Pusat Servis Auto ConneXion Alfa Romeo Petaling Jaya, 19 Jalan 13/2 Petaling Jaya.

No comments: