MODEL sedan wagon memang popular suatu masa dahulu dan kehadiran pelbagai model van moden yang dikenali sebagai Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) dan utiliti sport (SUV) menenggelamkan model wagon sebagai kenderaan penumpang praktikal.
Bagi mereka yang pernah memiliki model wagon atau estate, jentera berkenaan banyak memberi manfaat terutama ciri pemanduan lebih baik berbanding MPV.
Pengeluar kenderaan gergasi Sweden, Volvo yakin masih ada pengguna masih meminati jentera wagon dan kehadiran model V50 bakal menggamit kegemilangan model itu suatu masa dulu.
Peluang memandu uji Volvo V50 meyakinkan penulis bahawa jentera Wagon lebih selesa berbanding MPV.
Wagon V50 2.4i boleh dikategorikan estate premium bagi memikat kehendak golongan eksekutif muda yang mahukan kenderaan sedan yang menawarkan keluasan optimum.
Dari sudut luaran, V50 hampir menyamai model S40 di mana lentur aerodinamik kelihatan jelas di sepanjang susuk tubuhnya yang panjang.
Gril berpalang yang menjadi ciri korporat jenama Scandinavia itu membuatkannya mudah dikenali selain sering menjadi perhatian pemilik kenderaan mewah dari Jerman.
Bahagian belakang dengan padanan lampu menegak dan sekali imbas ia hampir menyamai model SUV XC90 tujuh penumpang.
Perkataan Volvo yang terpampang pada bahagian belakang lebih besar dan jelas, mungkin sebagai satu peringatan mengenai gaya, kuasa serta keselesaan.
Ruang dalamannya luas dan selesa dan menerusi cermin pandang belakang, jelas kelihatan ruang barangan yang mampu memuatkan sebuah peti televisyen bersaiz 29 inci dengan mudah.
Padanan warna gelap kerusi pemandu dan penumpang hadapan dengan kawalan elektrik menjanjikan keselesaan ketika memandu.
Malah, sistem memori tempat duduk menjadikan pemanduan V50 mudah dan tidak menyukarkan pemandu untuk menetapkan semula posisi memandu kepada asal.
Ruang kokpit berkotak menjadikannya unik dan ruang menyimpan barang di belakang unit kawalan audio dan pendingin hawa menjadikannya sebagai lokasi selamat untuk meletak telefon bimbit atau syiling.
Alat kawalan audio dan penyaman udara tersusun kemas memudahkan pemandu untuk menetapkan suhu kenderaan selain mendengar alunan muzik digemari.
Situasi ini dibantu sistem audio lapan pembesar suara dengan penukar enam CD terbina yang berupaya menghasilkan bunyi mengikut kemahuan pemandu dan penumpang.
Balutan kulit hitam bermutu tinggi buatan Eropah memenuhi hampir keseluruhan ruang dalaman termasuk pintu, stereng dan pemegang brek tangan.
Panjang keseluruhan kenderaan itu adalah 4,522mm tetapi hasil kejuruteraan terbaik Volvo, ruang dalamnya mampu memuatkan lima penumpang dewasa dengan selesa.
Selain tegap serta gagah dari luar hasil kejuruteraan Sweden, ruang dalamannya memaparkan ciri mewah serta kehalusan kerja tangan sejajar dengan imej Volvo.
Ruang kargo menjadi lebih luas sekiranya semua tempat duduk penumpang dilipat rata.
Menceritakan mengenai kuasa, enjin lima silinder sebaris menawarkan gegaran minimum tetapi berupaya menghasilkan kuasa tork yang tinggi ketika pecutan.
Enjin V50 mampu menghasilkan kuasa maksimum 170 hp pada 6,000 rpm dan tork maksimum 230 Nm pada 4,400 rpm, dipadankan dengan transmisi automatik lima kelajuan Geartronic.
Jentera ini boleh mencapai kelajuan 100 km/j dalam tempoh sembilan saat dengan pecutan maksimum sehingga 215 km/j.
Sistem suspensi mantap dan tidak terasa membuai ketika mengharungi selekoh pada kelajuan tinggi walaupun keadaan fizikalnya yang panjang.
Mengagumkan apabila tahap penggunaan minyak ketika memecut di lebuh raya hanyalah setinggi 6.6 liter per kilometer (l/km), jauh lebih rendah daripada model premium lain.
Volvo sememangnya terkenal sebagai jentera yang selamat dengan mengadaptasikan keselamatan pencegahan dan perlindungan.
Antaranya sistem keselamatan WHIPS (Whiplash Protection System), SIPS (Side Impact Protection System) dan IC (Inflatable Curtain) sebagai ciri standard V50.
Kesimpulannya, V50 menawarkan pakej sempurna sebagai kenderaan penumpang luas, selesa, mewah dan paling penting, selamat.
SPESIFIKASI
VOLVO V50 2.4i
Enjin: Lima silinder 2,435cc
Kuasa maksimum: 170hp pada 6,000 rpm
Tork maksimum: 230Nm pada 4,400 rpm
Transmisi: Automatik lima kelajuan dengan Geartronic
Ciri keselamatan: Beg udara, ABS, EBD, STC, EBA, Whips, IC.
Harga: RM185,950.00 tanpa insurans
Tayar yang dicadangkan
ContiSportContact 2
205/55 R16 91V
No comments:
Post a Comment