. |
Kehadiran peminat kenderaan modifikasi tanpa mengira usia dan bangsa berjaya memeriahkan majlis yang pertama kali diadakan di negara ini.
Program yang dirasmikan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said bukan saja mendapat sambutan daripada peminat tempatan, malah turut menarik penyertaan dari luar negara seperti Thailand, Indonesia dan Singapura.
Perjumpaan gergasi terbabit juga turut memberi lembaran dan sejarah baru kepada dunia sukan permotoran tanah air apabila hampir 200 kereta yang sudah diubah suai secara ekstrem menyahut cabaran menyertai pertandingan bertaraf antarabangsa itu.
Kehangatan pertandingan memuncak apabila sebuah kereta yang diubah suai sehingga memiliki enam roda dinobatkan sebagai pemenang 'King of the Street' dengan keunikannya tersendiri.
Pemenang berkenaan dipilih sendiri barisan juri antarabangsa iaitu 'Big Daddy' diatas keunikan dan kehebatan seni mengubah suai yang ditunjukkan perekanya, AL Motorsports.
Pertandingan sengit antara jentera enam roda berkenaan dan model kereta BMW oleh B1 Bodykit menyukarkan juri memilih kenderaan terbaik untuk program sulung itu.
Xtreme International Autoshow menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM60,000 tidak termasuk trofi dan hadiah sampingan.
Malah, kehadiran kru Kustomizer dan 'Big Daddy' dari Amerika mewarnai acara berkenaan walaupun jentera kemegahannya (Big Daddy) tidak dapat dipertontonkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
Bagaimanapun, suasana tetap hangat dengan kehadiran kereta dari Thailand iaitu 'Bangkok Demon' yang mempunyai kehebatan tersendiri seperti melompat menggunakan teknik hidro (Hopper Dancer), sistem audio mencecah sehingga 200db, teknik semburan cat dan pengubahsuaian ekstrem berjaya memukau semua pengunjung.
Malah, ada pengunjung seakan-akan tidak puas melihat aksi menarik yang ditonjolkan pasukan dari negara Gajah Putih itu.
Turut serta memeriahkan majlis ialah 'Humther' rekaan 'Jakarta Monster' yang menonjolkan pengubahsuaian ekstrem iaitu pengstrukturan semula daripada model Isuzu Trooper sehingga menjadi Hummer H3.
Kereta berkenaan juga mempunyai kesenian yang tinggi dari sudut teknik penyemburan cat dan sistem hidro yang sempurna.
Acara menjadi semakin panas pada waktu malam apabila semua peserta menunjukkan belang dan kehebatan sistem audio kenderaan mereka termasuk ada di antaranya disulami lampu LED yang bercahaya serta berseri.
Tanpa disangka sekumpulan anak muda seakan-akan terpanggil dengan alunan muzik dimainkan sehingga menunjukkan aksi menari tarian 'hip hop' dan 'break dance'.
Selain itu, di satu sudut berlainan pula, pengunjung tertumpu kepada pertunjukan 'Spit-Fire' apabila suasana gamat dengan ledakan api dari muncung ekzos sehingga boleh diibaratkan seperti memasak sate.
Acara yang dinanti-nantikan itu sampai ke kemuncaknya selepas berlangsungnya acara 'Spit Fire Burn Down' apabila dua kereta dibakar menggunakan teknik 'Spit Fire'.
Ternyata Xtreme International Autoshow memberi satu perspektif baru kepada dunia permotoran, belia dan pelancongan di mengara ini.
Penganjur juga memberi jaminan akan mengulanginya lagi pada masa akan datang yang bakal dikenali sebagai Xtreme International 2.
Bagi mereka yang masih menanti aksi seterusnya, bolehlah melayari www.kelabautoshow.com / www.internationalxtreme.com untuk maklumat lanjut.
No comments:
Post a Comment