Thursday, May 28, 2009

Generasi terbaru iDrive

PENGELUAR kenderaan mewah terkenal, BMW Malaysia mengumumkan model BMW 5 Siri paling laris jualannya di pasaran, kini didatangkan dengan generasi terbaru iDrive.

Teknologi terbaru itu membolehkan pemandu mengaktif dan mengawal sistem hiburan, komunikasi dan fungsi navigasi dengan lebih mudah.

Terdahulu, BMW mula memperkenalkan konsep kawalan iDrive pada 2001, menjadikannya pembuat kereta pertama di dunia menawarkan sebuah sistem membolehkan pemandu mengawal fungsi utama kenderaan, hiburan, navigasi dan telekomunikasi melalui satu pusat kawalan.

IDrive biasanya ditempatkan di bahagian tengah konsol yang memaparkan kawalan pelbagai fungsi di panel peralatannya.

Pada generasi kedua iDrive, BMW menawarkan Paparan Kawalan berukuran 8.8 inci melangkaui batasan semua jenis paparan pemuka dalam sesebuah kenderaan.

Pengarah Urusan BMW Malaysia, Geoffrey Briscoe, berkata BMW 5 Siri adalah model paling laris jualannya bagi Kumpulan BMW di negara ini.

"Walaupun tercetusnya kegawatan ekonomi pada tahun lalu, jualan kami tahun lalu meningkat tujuh peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Kami yakin iDrive terbaru ini membantu mengekal dan meningkatkan kelebihan daya saing bagi BMW 5 Siri," katanya.

Menurutnya, iDrive itu juga didatangkan bersama lapan butang kegemaran di tengah konsol bagi membolehkan pengguna menyimpan program kegemaran mereka seperti stesen radio, nombor telefon, dan navigasi destinasi termasuklah senarai kepada semua peralatan sedia ada yang boleh dipamer secara mudah melalui iDrive.

"Bagi model seperti 523i SE, 525i Sports, 530i, 540i Individual dan M5, Sistem Navigasi Profesional bersaiz 80GB digunakan untuk meningkatkan kelajuan operasi dan penyimpanan data navigasi.

"Daripada saiz ini, sejumlah 8GB adalah khas bagi pengguna untuk menyimpan fail muzik kegemaran mereka merangkumi lebih kurang 2,000 lagu," katanya.

Satu lagi inovasi kepada konsep kawalan itu adalah penggunaan empat butang pilihan terus di Pusat Kawalan yang akan mempamer pilihan senarai peralatan yang paling kerap digunakan.

Pemandu secara spontan berupaya untuk menukar penggunaan cakera padat (CD), radio, telefon dan fungsi navigasi dengan cepat dan berkesan, menjadikan keseluruhan sistem lebih mudah dipelajari dan diingati.

"BMW iDrive merevolusi sistem pengawalan dan operasi sesebuah kenderaan dengan penuh bermakna dan memberikan kesan berkekalan.

"Dan kini, BMW iDrive mengekalkan kedudukannya sebagai asas pengukuran kepada semua jenis sistem seumpamanya," katanya.

Rangkaian baru BMW 525i Sport turut dilengkapi bumbung kaca gelungsur dengan kawalan elektronik melalui sentuhan untuk mengawal pergerakan bumbung kaca.

Harga pasaran pelbagai model dilengkapi iDrive bermula dari RM 343, 800 hingga RM 898,000 seunit.

No comments: