Saturday, May 23, 2009

Jualan Proton MPV Exora meningkat, tempahan 11,000

Jualan Proton MPV Exora, mendapat sambutan hangat dengan jumlah tempahan semakin meningkat mencecah 11,000 unit dalam tempoh sebulan.

Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata sambutan terhadap kenderaan itu amat positif walau pun Exora baru dilancarkan dalam tempoh sebulan. "Dalam keadaan kegawatan ekonomi dunia sekarang, tempahan terhadap Proton Exora amat menggalakkan.

"Dengan tempahan yang begitu tinggi, ianya adalah satu pencapaian terbaik bagi kenderaan Exora," katanya pada karnival Proton bersama rakyat di perkarangan R&R Gemang di sini, hari ini.


Beliau berkata, sambutan yang menggalakkan itu adalah hasil usaha Proton dalam mempromosikan model tersebut secara intensif kepada pengguna.


Pada peringkat permulaan pelancaran model itu, Syed Zainal Abidin berkata, wujud sedikit kesangsian di kalangan pembeli seperti kemampuan enjinnya dengan bentuk kenderaan yang besar.

"Namun selepas bakal pembeli memandu uji model kita, kesangsian mereka terhakis dan mereka memilih untuk mengambil model Exora," katanya.

Sehubungan itu, Proton mengambil inisiatif untuk mempromosikan model terbarunya termasuk model yang lain melalui karnival Proton yang diadakan di seluruh negara.

Beliau berkata, karnival itu akan dilakukan di seluruh negara dan daerah Jeli di Kelantan menjadi pilihan karnival yang pertama diadakan.

Pada karnival itu, Proton turut membawa model kereta terbaru, pendedahan pembangunan kaji selidik Proton dalam membangunkan kenderaannya, persembahan kajian dan tahap keselamatan kenderaan Proton.

Beliau berkata, karnival itu akan memperlihatkan usaha Proton dalam membawa teknologi terkini dan kualiti terkini kepada pengguna.

No comments: