Saturday, May 23, 2009

Porsche GT3 RSR paling berkuasa

SELEPAS beberapa generasi Porsche 911, model berkenaan menerima satu lagi ahli keluarga baru edisi perlumbaan, GT3 RSR.

Hasil kajian terperinci selama beberapa tahun oleh jurutera Porsche, kelahiran GT3 RSR tepat pada masanya dan diiktiraf jentera paling berkuasa dalam ahli keluarga 911.

Perkara berkenaan terbukti apabila Porsche 911 GT3 RSR beraksi cemerlang dalam perlumbaan 24 jam American Le Mans Series, baru-baru ini.

Dalam perlumbaan kelas GT2 yang memerlukan pelumba menghabiskan jarak paling panjang, Porsche 911 GT3 RSR melepasi halangan berkenaan dengan mudah.

Kejituan dan ketahanan jentera berkenaan dibantu rekaan semula sistem masukan udara lebih besar pada bahagian hadapan GT3 RSR.

Selain itu, faktor berat lebih ringan menjadikan GT3 RSR lebih berkuasa dari segi pecutan dan kuasa tork dapat digunakan secara maksimum.

Malah, sistem aerodinamik GT3 RSR turut dipertingkatkan apabila pemecah angin belakang dilebarkan bagi memberi lebih cengkaman pada tayar dan kawalan lebih stabil di selekoh.

Dari sudut keselamatan, sistem brek juga dipertingkatkan apabila penggunaan bahan berkualiti tinggi membolehkan jentera menjadi lebih ringan dan secara automatik daya membrek menjadi singkat dan cekap berbanding model sama sebelum ini.

Porsche 911 GT3 RSR dibekalkan dengan enjin Boxer enam silinder 4.0 L yang berupaya menghasilkan 450 kuasa kuda maksimum pada 7,800 RPM.

Malah, kuasa tork turut dipertingkatkan apabila Porsche 911 GT3 RSR berjaya mencatat sehingga 430 Nm pada 7,250 RPM.

Paling menarik, enjin Boxer terbabit mampu diperah sehingga melepasi 9,000 RPM yang mengekalkan kelajuan enjin disamping penggunaan bahan api terkawal.

Ruang dalaman Porsche 911 GT3 RSR dilengkapi skrin pelbagai fungsi pada bahagian atas papan pemuka selain transmisi gear lebih mudah.

Untuk kegunaan litar, Porsche 911 GT3 RSR mudah diselenggara apabila dibekalkan dengan 'Air-Jack System' serta penukaran penapis minyak pada bahagian belakang memudahkan mekanik membuat penukaran lebih pantas.

Selain GT3 RSR, Porsche Motorsport turut mengeluarkan dua lagi versi perlumbaan iaitu GT3 Cup dan GT3 Cup S.

No comments: