Sejak tiga tahun setia memegang stereng Proton Perdana V6 miliknya, Lan Kristal sudah menghabiskan lebih daripada RM10,000 untuk melakukan modifikasi keretanya.
|
|
SELAIN rambut panjangnya yang ditatang bagai minyak yang penuh, vokalis kumpulan Kristal, Mohd. Razlan Mohamed Yusof atau lebih dikenali sebagai Lan begitu menjaga kereta Proton Perdana V6 miliknya.
Kalau Lan sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk menjaga rambutnya yang berwarna perang muda itu, maka tidak hairanlah apabila kereta yang dibeli sejak tiga tahun lalu itu juga mendapat 'belaian' yang sama daripada tuannya.
Menurut pemuda yang berusia 24 tahun itu, kereta Proton Perdana V6 itu ada signifikan tersendiri sekali gus banyak berjasa kepada diri dan kehidupannya.
"Kalau saya sanggup menjaga rambut ini sejak bertahun-tahun lamanya, maka begitulah juga saya sayangkan kereta ini.
"Saya anggap kereta ini sebagai keluarga dan sebahagian daripada nyawa saya kerana ia banyak membantu memudahkan aktiviti seharian saya dan anggota Kristal yang lain.
"Terlalu banyak pengorbanan kereta ini untuk dijelaskan kepada peminat. Masakan tidak, saya berulang-alik dari rumah ke studio hampir setiap hari dan menjayakan undangan pentas di sekitar Kuala Lumpur dengan memandu kereta Proton Perdana V6 ini.
"Oleh kerana masa saya banyak dihabiskan dengan kereta ini, saya amat mengambil berat soal kebajikannya agar ia tidak meragam dan sentiasa berada dalam keadaan baik.
"Tiada salahnya, kalau saya memperuntukkan sejumlah wang dan masa demi melihat kereta ini sentiasa elok di pandangan mata," katanya ketika ditemui Kosmo! di pekarangan Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Banyak juga modifikasi yang dilakukan ke atas kereta itu. Antaranya menukar cat daripada warna perak kepada hitam, membeli rim kereta baru dan menggelapkan cermin kereta.
"Diam tak diam lebih RM10,000 jugalah wang saya keluarkan untuk mencantikkan bahagian dalaman dan luaran kereta ini sejak beberapa tahun lalu.
"Lagipun, bukan selalu saya ubah suai kereta ini. Kalau rambut boleh dibelai dengan baik maka tiada salahnya kalau saya lakukan perkara yang sama terhadap kereta ini," jelas Lan yang dilahirkan pada 11 Jun 1985.
Sambung anak kelahiran Taiping, Perak itu, kalau sesetengah individu lebih teruja dengan kereta mewah buatan luar negara, namun lain pula halnya dengan Lan.
"Saya tidak pernah malu, malah saya begitu bangga dapat memandu kereta buatan Malaysia ini sejak tahun 2006.
"Bukan itu saja, Proton Perdana V6 juga merupakan kereta buatan negara kita yang paling mahal harganya. Jadi, tidak timbul isu saya sebagai artis kena memandu kereta mahal yang diimport.
"Kereta ini bersesuaian dengan bajet dan kemampuan saya. Lagipun, buat apa kita hendak berlagak tidak tentu pasal kalau setiap bulan pemiliknya menderita untuk membayar ansuran kereta.
"Asalkan kereta sedia ada ini dapat mengangkut saya, tunang, keluarga dan kawan-kawan ke mana-mana saja, ia sudah cukup menggembirakan hati saya," jawab Lan yang mula merancakkan industri seni bersama kumpulan Kristal pada tahun 1999.
Sebelum memandu Proton Perdana V6 itu di atas jalan raya, Lan pernah menggunakan kereta Proton Wira yang dibelinya ketika berusia 18 tahun.
Jangan mudah menilai orang
Dengan imej klise penyanyi rock yang berambut panjang, memiliki raut wajah bengis dan berpakaian koyak-rabak, pasti ada sesetengah pihak yang awal-awal lagi sudah membuat penilaian negatif terhadap mereka sebagai pemandu.
Personaliti Lan ketika membuat persembahan di pentas tidak dinafikan jauh berbeza dengan Lan yang berada di alam realitinya.
"Kalau ada pihak anggap penyanyi rock sebagai pemandu yang tidak berhemah dan melanggar peraturan lalu lintas, maka lebih baik mereka lupakan persepsi buruk ini.
"Penyanyi rock memang sudah terbiasa dengan tanggapan tidak elok masyarakat. Pernah jugalah terdengar cakap-cakap belakang kononnya anggota Kristal terlibat dengan kegiatan rempit dan lumba kereta.
"Sedangkan mereka tidak mengenali kami dengan sedalam- dalamnya. Saya sendiri memandu kereta mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan mempunyai rekod bersih sebagai pemandu.
"Jauh sekali untuk terlibat dalam perlumbaan haram. Bukan hendak cakap saya baik sangat. Memang ada jugalah saya pecut apabila berada di lebuh raya atau terlambat ke satu-satu destinasi atau perjumpaan seperti yang dijanjikan. Itupun boleh dibilang dengan jari.
"Tetapi terus-terang, saya dan ahli Kristal lain tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram atau rempit. Jangan lekas membuat kesimpulan bahawa kami sebagai penyanyi rock mengamalkan aktiviti yang tidak sihat dalam kehidupan," jelas Lan yang akan muncul di pusat beli-belah Ampang Point, Kuala Lumpur pada pukul 3 petang ini (20 Jun 2009) sempena Pameran Pengantin 2009.
No comments:
Post a Comment