Monday, June 22, 2009

Red Bull garang di Silverstone


VETTEL (depan, gambar kecil) mengetuai rakan sepasukannya, Mark Webber untuk menguasai saingan GP Britain di Litar Silverstone semalam.


SILVERSTONE - Pemandu Jerman, Sebastian Vettel mengetuai kedudukan 1-2 buat pasukan Red Bull pada Grand Prix (GP) Britain semalam.

Vettel yang memulakan aksi di petak pertama, langsung tidak digugat sepanjang saingan sebelum menamatkan perlumbaan dalam masa satu jam, 22 minit dan 328 saat, 15.188s di hadapan rakan sepasukannya, Mark Webber.

Pemandu Brawn GP, Rubens Barrichello pula menduduki tempat ketiga tetapi rakan sepasukannya yang juga pendahulu keseluruhan, Jenson Button sekadar menduduki tempat keenam.

Ini merupakan kemenangan kedua Vettel musim ini selepas kali pertama muncul juara pada GP China April lalu.

Dia juga merupakan satu-satunya pemandu yang berjaya meraih kemenangan musim ini selain Button yang menjuarai enam daripada lapan perlumbaan.

"Terima kasih kepada semua dan kemenangan ini bagaikan mimpi jadi kenyataan," kata Vettel.

"Ini merupakan impian saya sejak kali pertama menyaksikan perlumbaan Formula Satu (F1) di Litar Silverstone di era Nigel Mansell pada tahun 90-an."

"Saya memiliki jentera yang hebat dan saya mampu untuk memandu dengan pantas. Rasanya kami kini berada di landasan yang betul untuk mengejar pendahulu."

Begitupun, Vettel kekal di tangga ketiga keseluruhan dengan mengumpul 39 mata, 25 mata di belakang Button dan dua mata di belakang Barrichello.

Dalam pada itu, juara dunia, Lewis Hamilton yang juga juara GP Britain tahun lepas, terus bernasib malang apabila sekadar menduduki tempat ke-16 manakala rakan sepasukannya, Heikki Kovalainen pula gagal menamatkan perlumbaan.

Ini merupakan kali keempat berturut-turut pasukan McLaren gagal untuk mengutip sebarang mata.

1 comment:

~Ain said...

apa benda laaa laki aku ni duk tengok racing? aku pun kureng faham laaaa.. hahahah