Walaupun sudah dua tahun memandu Vios hasil kemenangannya dalam program AF4, namun sehingga kini Lotter masih belum mahir dengan selok-belok jalan di Kuala Lumpur. Dia sanggup keluar lebih awal kerana bimbang tersesat dan terlewat tiba ke destinasi.
KALAU orang lain perlu membayar ansuran kenderaan setiap bulan, tetapi ada sesetengah individu yang tidak perlu risau bila tiba hujung bulan.
Begitu juga dengan pemuda bertuah Lotter atau nama sebenarnya Lotter P. Edwin Edin. Namun, jangan silap kenderaan milik Lotter bukanlah ditaja oleh individu tertentu sebaliknya, ia adalah hadiah selepas pemuda itu berusaha gigih dalam rancangan realiti, Akademi Fantasia musim keempat (AF4).
Menjadi pemenang kedua membolehkan anak muda berusia 26 tahun itu, pulang dengan kereta Toyota Vios berwarna hitam yang berharga RM78,000.
Anak kelahiran Mambakut, Sabah itu memberitahu, dia bersyukur apabila diumumkan sebagai pemenang tempat kedua AF4 walaupun kemasukannya dalam rancangan popular itu pada awalnya sekadar menguji bakat dan tuah diri.
"Bersyukur sangat dengan pemberian yang begitu berharga ini. Kalau orang lain perlu fikir bayar duit ansuran bulanan kereta tetapi saya tidak kena bayar apa-apa.
"Sebab itu saya tidak pernah lupa jasa dan budi peminat yang sebelum ini mengundi saya untuk memastikan saya mencapai kejayaan dalam AF4," katanya ketika ditemui di pekarangan tempat letak kereta pejabat Utusan Melayu, Chan Sow Lin, Kuala Lumpur minggu lalu.
Lotter memberitahu, kereta miliknya diperoleh setelah lima bulan keluar daripada AF4 iaitu pada Mac 2007.
Tidak mahir jalan
Dalam kegembiraan Lotter memandu kereta baru, dia berdepan dengan masalah lain. Bukan anak jati Kuala Lumpur, Lotter kadangkala sukar bergerak kerana tidak mahir jalan di ibu kota.
|
|
"Tengah seronok memandu, tiba-tiba saya jadi bingung sebab lain tempat hendak dituju lain pula destinasi yang sampai.
"Bayangkan sampai hari ini, walaupun sudah dua tahun tinggal di sini tetapi saya masih belum faham selok-belok jalan di ibu kota.
"Saya hanya mahir dengan jalan di sekitar Bangsar, Putrajaya dan Damansara. Yang lain kadang-kadang, memang saya boleh menangis tidak berlagu jawabnya," seloroh Lotter lalu tertawa terbahak-bahak.
Penulis sendiri punya pengalaman dengan Lotter yang ingin menghadiri sesi fotografi di pejabat Utusan Melayu beberapa bulan lalu. Fotografi sepatutnya dimulakan pada pukul 3 petang, tetapi Lotter sudah menghubungi penulis seawal pukul 8.30 pagi untuk bertanya jalan ke Chan Sow Lin.
Untuk ruangan Inimobilku minggu ini juga, sesi fotografi sepatutnya bermula pukul 11.30 pagi tetapi Lotter tiba satu jam awal. Rupa-rupanya Lotter keluar sejak awal pagi lagi kerana tidak mahu tersesat.
Begitulah ragam Lotter yang hingga ke saat ini mengakui masih belajar untuk memahami jalan raya Kuala Lumpur.
Kisah Lotter dan adik-beradiknya
Bagaimanapun, kereta Toyota Vios itu kata Lotter kini tidak hanya mengangkut dirinya seorang. Tiga adik-beradiknya iaitu Lister, 24, Luther, 23 dan Leill Petrus Edwin Edin, 18, menjadi penumpang setia Vios tersebut.
Gara-gara cubaan Lotter secara solo tidak memperlihatkan impak positif, maka dia dan tiga saudara kandungnya itu nekad menubuhkan kumpulan dengan nuansa pop alternatif, The Devine Masters sejak setahun setengah lalu.
Toyota Vios itu kini menjadi kenderaan rasmi anggota The Devine Masters untuk ke pertunjukan pentas, sesi fotografi bersama media, bersantai dan aktiviti seharian ahli kumpulan itu.
"Sebelum ini kereta Toyota Vios ini hanya berkhidmat untuk saya kini, tugasnya makin bertambah.
"Nasib baik badan kami kecil-kecil, kalau tidak, kasihan jugalah Toyota Vios ini hendak bawa empat orang sekali gus setiap masa.
"Itu belum lagi dikira dengan pelbagai alat muzik yang perlu dibawa bersama.
"Boleh tahan sesak jugalah keadaan kereta ini apabila kami naik berempat dengan membawa bermacam-macam benda.
"Kalau buat persembahan di luar Kuala Lumpur, lagi sesak kerana kami juga perlu bawa beg pakaian," ungkap Lotter sambil disahut hilaian tawa oleh tiga adik-beradiknya.
No comments:
Post a Comment