Saturday, June 20, 2009

Meraikan Hari Bapa


SEBAHAGIAN peserta bersama kereta masing-masing bergambar dengan pihak penaja program ini.

SEMPENA sambutan Hari Bapa yang jatuh pada 21 Jun ini, pelbagai pihak mempunyai inisiatif tersendiri untuk meraikannya.

Tidak terkecuali, Kelab Kereta MG yang tampil dengan cara tersendiri dengan penganjuran aktiviti pencarian harta karun bersama ahli kelab tersebut.

Program ini turut diadakan dengan kerjasama Amcorp Mall dan restoran Seri Melayu yang menaja jamuan makan tengah hari secara bufet berkonsepkan ala gerai di cawangan baru mereka iaitu Halaman @ 1 Conlay.

Menurut Presiden Kelab Kereta MG, Datuk Shamshul Baharain Sulaiman, ia merupakan program tahunan yang telah diadakan sejak empat tahun lalu.

"Ini merupakan cara kami untuk meraikan sambutan Hari Bapa. Sebanyak 30 buah kereta antik MG dan kereta vintaj yang lain turut serta pada program kali ini, sambil membawa bersama keluarga untuk memeriahkannya.

"Acara ini bermula dengan pencarian harta karun di Amcorp Mall dan juga pameran kereta antik di lokasi yang sama untuk orang ramai menyaksikan keunikan kereta klasik yang ada. Kemudian barulah kami berkonvoi menuju ke restoran Seri Melayu untuk sesi penyampaian hadiah dan jamuan makan tengah hari," jelas Shamshul ketika ditemui Kosmo! di Halaman @ 1 Conlay baru-baru ini.

Kelab Kereta MG mula ditubuhkan sejak tahun 1974 dan kini usianya telah pun mencecah 35 tahun. Sehingga kini, ia telah mempunyai ahli kelab seramai 30 orang.


MENIKMATI jamuan makan tengah hari yang ditaja oleh restoran Seri Melayu.

Malah, Shamshul berharap individu yang memiliki kereta antik MG tampil ke depan untuk menyertai kelab ini dan memberi sokongan kepada mereka.

Salah seorang ahli kelab dan juga peserta, Zulkifli Datuk Omar berkata, dia gembira kerana dapat mengikuti program tersebut bersama ahli keluarganya.

"Melalui program sebegini, ia mampu mengeratkan hubungan antara ahli Kelab Kereta MG. Sebagai bapa pula, saya gembira kerana dapat meraikan hari istimewa ini bersama teman-teman dan keluarga tersayang," ujar Zulkifli yang memiliki kereta vintaj MGYA 1947 sejak tiga tahun lalu. Selain itu, dia turut mempunyai empat buah kereta klasik lain iaitu Alvis 12/70 1939, Wolesley 8 1948, Mercedes 250CE 1969 dan Jaguar XJS 1988.


SALAH sebuah kereta klasik yang menyertai aktiviti ini.

Seorang lagi peserta yang juga pemenang keseluruhan aktiviti pencarian harta karun, Philomen Ryan, 72, berkata ini merupakan kali pertama dia mengikuti program anjuran Kelab Kereta MG.

"Saya mula menjadi ahli kelab setelah berjaya mendapatkan kereta MG Midget 1963 sejak setahun yang lalu. Jadi, kemenangan ini amat mengejutkan saya. Tetapi saya amat berpuas hati dan seronok dengan aktiviti menarik seperti ini.

"Jika masih mempunyai kesihatan yang baik, saya pasti akan menyertainya lagi pada tahun depan," jelas Ryan yang hadir bersama anak saudaranya dalam program tersebut.


ZULKIFLI bersama anak lelakinya turut serta dalam program ini.

Sementara itu, bagi Pengurus Operasi Restoran Seri Melayu, Abdul Haniff Sujudi, pihaknya berasa amat bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Kelab Kereta MG dan Amcorp Mall dalam penganjuran program ini.

"Majlis seperti ini merupakan salah satu aktiviti santai restoran Seri Melayu. Oleh itu, kami juga berharap pihak lain seperti kelab, syarikat atau pertubuhan tampil untuk bekerjasama dengan rangkaian restoran Seri Melayu dalam menganjurkan pelbagai acara dan majlis keraian yang diinginkan.

"Yang pastinya, cawangan terbaru Halaman @ 1 Conlay ini mampu memberi kepuasan kepada mereka yang mahu menikmati sajian istimewa tradisi dalam suasana santai yang mendamaikan," ujar Haniff.


PHILOMEN Ryan (baju hitam) selaku pemenang keseluruhan bersama kereta MG Midget kesayangan beliau.



1 comment:

~ain said...

bila laaa owang nak ucapkan Selamat Hari Bapa kat abang ni, kan....:(