Di sebalik kesuraman ekonomi dunia, syarikat-syarikat automotif terkemuka tetap ghairah mengeluarkan jentera-jentera baru dalam usaha memikat selera pembeli.
BULAN Mei dan Jun sebenarnya menjadi bulan yang agak sibuk buat para wartawan pemotoran. Di sebalik kemuraman ekonomi dan jualan kenderaan yang perlahan, situasi itu nampaknya tidak langsung menjejaskan keghairahan banyak pihak untuk menawarkan produk baru mereka kepada orang ramai.
Justeru, tidak hairanlah sepanjang tempoh itu, lebih daripada lapan majlis pelancaran model terbaru telah berlangsung. Lebih menarik lagi, ada di antara pemain industri tersebut memperkenalkan lebih daripada satu model.
Terdiri daripada pelbagai segmen seperti SUV dan sedan, beberapa jenama terkemuka telah mengambil bahagian dalam memeriahkan industri automotif tempatan termasuklah Alfa Romeo, Audi, Porche, Chery Alado, Mitsubishi, Mazda, Ford dan Toyota.
Minggu ini, ruangan pemotoran Kosmo! menyenaraikan secara ringkas beberapa model sebelum laporan penuhnya menyusul, apabila saya berpeluang memegang stereng unit pandu uji yang disediakan kelak.
Porsche
BIARPUN audiennya sangat kecil, namun minat orang ramai terhadap jenama mewah dari Jerman ini tidak pernah padam. Mahu menghargai para peminat setianya, pengedarnya Jaseri Automotive Group memperkenalkan generasi baru siri Porsche 987 iaitu Porsche Boxster dan Porsche Cayman.
Bertemakan Power.Play, kedua-dua jentera berprestasi tinggi itu memberikan keseronokan pemanduan yang tiada bandingannya. Selaku jenama premium, harga untuk model-model ini bermula daripada RM515,000 sebuah.
Audi Q5
DISIFATKAN sebagai SUV untuk generasi baru, Kumpulan DRB HICOM Berhad (Euromobil Sdn. Bhd.) memperkenalkan Audi Q5 pada pertengahan Mei lalu.
Menggabungkan teknologi dan kualiti, jentera ini mendapat pengiktirafan sebagai antara model baru terbaik tahun 2009 oleh lebih daripada 150 wartawan pemotoran terkemuka dari Jerman, Austria dan Switzerland untuk anugerah TOP Autors 2009.
Audi Q5 merupakan SUV berprestasi tinggi yang mengaplikasikan ciri dinamik sebuah sport sedan. Dengan sistem pacuan empat roda quattro sepanjang masa dan suspensi termaju, jentera ini memiliki pakej terbaik untuk anda beraksi di laluan biasa mahu pun off-road.
Sambutan yang diterimanya cukup baik. Buktinya, sebelum pelancaran rasminya, sebanyak 50 unit tempahan telah diterima. Model ini ditawarkan menerusi dua varian iaitu unit biasa (RM299,000) dan S Line (RM325,200).
Mitsubishi Pajero Sport
AKHIRNYA, model yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Meletakkan satu tanda aras baru dalam segmen SUV mewah, Mitsubishi Pajero Sport menawarkan keselesaan dan prestasi tanpa berkompromi dengan keupayaan untuk mengharung laluan off-road.
Dengan tanda harga RM158,609 seunit (di atas jalan raya tanpa insurans), Pajero Sport ini menggunakan enjin diesel 2.5 liter penuh kuasa yang sama pada model trak pikap Mitsubishi Triton.
Pajero sememangnya bukan satu nama asing. Mula menjengah pasaran kenderaan pacuan empat roda sejak tahun 1980-an, Pajero dilihat sebagai sebuah jentera yang tahan lasak dan boleh diharap.
Kali ini, Pajero Sport serba baru menampilkan kapasiti tujuh tempat duduk dan ruang kargo lebih luas. Biarpun bahagian hadapannya saling tidak tumpah dengan model Triton, buah tangan terbaru daripada Mitsubishi Motor Malaysia Sdn. Bhd. ini pasti tidak akan mengecewakan anda.
Chery
MENJADI pengeluar dan pengedar jenama kenderaan buatan China paling dominan di pasaran Malaysia, Chery Alado menampilkan dua buah model baru dalam barisan produknya.
Keterujaan itu dimulakan dengan model sedan eksekutif yang dikenali sebagai A520. Dilengkapi dengan unit enjin Acteco bersesaran dua liter, Chery Alado dilihat cuba untuk menawarkan sebuah produk mewah pada harga yang disifatkannya sebagai berpatutan.
Dijual pada harga RM95,888 seunit, model import sepenuhnya dari China ini mengetengahkan semua ciri yang ada pada sebuah sedan mewah. Ini termasuklah dari aspek keselamatan, keselesaan pemanduan, prestasi, selain pakej penampilan luaran dan dalaman yang menarik.
Tidak cukup dengan itu, Chery Alado turut menambah varian model SUV keluarannya. Setelah berjaya menarik minat orang ramai menerusi model Tiggo 1.6 liter bertransmisi manual, kini Chery melangkah satu tapak lagi ke hadapan dengan pengenalan Tiggo bersesaran dua liter yang dipasang tempatan (CKD).
Merupakan model keluaran Chery paling popular di pasaran luar negara, Tiggo versi terbaru ini tampil dengan pelbagai pembaharuan. Selain unit enjin yang lebih besar dan bertenaga (Acteco dua liter), ia telah dipadankan dengan transmisi manual empat kelajuan.
Mazda3 Sport
BERSAING dalam segmen B dan C, Mazda3 Sport ini menepati piawaian Euro 4 yang rigid. Di pasaran Eropah, jentera ini dilihat cukup berjaya dan mampu menyaingi jenama terkenal lain di sana.
Menerima penambahbaikan yang drastik, anda boleh melihat perbezaan itu sama ada pada penampilan luaran, mahu pun ruang kabinnya. Dibekalkan dengan unit enjin petrol 1.6 dan 2.0 liter, ia dipadankan dengan kotak gear empat dan lima kelajuan automatik.
Sempena dengan pelancaran ini, sebanyak 100 orang pembeli terawal layak menerima promosi harga istimewa iaitu RM108,000 (versi 1.6 liter) dan RM128,000 bagi 2.0L. Diimport sepenuhnya dari Jepun, Mazda3 Sport hadir dalam lima warna pilihan iaitu merah, putih, hitam, kelabu dan perak.
No comments:
Post a Comment