Saturday, June 13, 2009

PEMOTORAN

Model baru MPV Perodua

Sama seperti model-model sebelum ini, indikasi paling jelas untuk MPV baru perodua ialah Toyota Passo Sette atau Daihatsu Boon Luminas.




DI mana-mana pun, orang sibuk memperkatakan tentang MPV tempatan, Proton Exora. Buat kali pertama dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran MPV begitu sensitif sehinggakan semua pengeluar kelihatan mahu mengambil bahagian.

Pembuat kereta terkemuka telah lama menyedari hakikat dan masa depan kenderaan pelbagai guna ini. Namun apa yang berlaku dalam pasaran hari ini adalah ia melebihi jangkaan sesiapa. Ia ibarat pasaran kenderaan pikap cab berkembar yang tiba-tiba meletup satu ketika dahulu.

Di Malaysia, Toyota Avanza dianggap sebagai penanda aras terhadap MPV kelas ekonomi yang berjaya. Diilhamkan di Indonesia yang memiliki pasaran MPV yang besar, Avanza telah diperkenalkan di Malaysia pada 2004 dan masih mendahului senarai jualan MPV di Malaysia.

Sehingga suku pertama tahun ini, sebanyak 1,332 unit Avanza terjual daripada 1,987 unit model keseluruhan Toyota untuk tiga bulan pertama 2009. Malah sehingga ke hari ini sebanyak 117,946 buah Avanza berjaya dijual dalam tempoh kurang lima tahun di pasaran.

Perodua sudah mengumumkan untuk menyertai pertandingan liga pasaran MPV ini. Setakat ini, ia hanya dikenali dengan kod nama D46T, masih dalam peringkat ujian dan akan dilancarkan pada suku ketiga tahun ini, sekitar bulan Julai hingga September. Pelancarannya bakal menambah satu lagi model dalam segmen MPV ekonomi kompak dalam segmennya.


WALAUPUN kompak, MPV ini masih menyediakan ruang sewajarnya kepada setiap penumpang.


Sama seperti model-model sebelum ini, Perodua kekal dengan polisi asal iaitu memasang kembali model Daihatsu/Toyota sebagai strategi pemasaran mereka.

Jika mengambil kira trend beberapa model terkini Perodua yang merupakan model terkini Daihatsu, maka indikasi paling jelas untuk MPV perodua ialah Toyota Passo Sette atau Daihatsu Boon Luminas.

Ia merupakan model baru, daripada platform Passo (MyVi) yang disesuaikan dengan jarak roda yang lebih panjang untuk memuatkan barisan tempat duduk ketiga, menjadikannya tujuh tempat duduk secara keseluruhan.

Malah di laman web berkaitan automotif yang sering memperoleh spyshot juga sudah mula kelihatan foto Sette ini diambil di jalan raya Malaysia.

Meskipun dilitupi pelekat hitam di bahagian hadapan dan belakang, lengkok badan dan bentuk lampunya memang dapat dicam sebagai Sette/Luminas.


BAHAGIAN paparan pemuka yang mungkin dipasang pada MPV pertama keluaran Perodua.


Di Jepun, versi Toyota dipanggil Toyota Passo Sette atau bermaksud Passo Seven atau Toyota Passo versi 7 tempat duduk. Sette bermaksud tujuh dalam bahasa Itali. Versi Daihatsu pula dipanggil Daihatsu Boon Luminas. Luminas membawa maksud kombinasi perkataan ruang dan sinar.

Spesifikasi asal menampilkan Passo Sette dan Boon Luminas dijana oleh enjin 1.5 liter 3SZ-VE yang berkuasa 109PS pada 6,000rpm dan tork pada 4,400rpm. Enjin ini merupakan versi baru, namun tidak dapat disahkan sama ada ia turut dipasangkan pada model Perodua.

Versi pacuan hadapan ini berupaya mencapai kadar 15.6 kilometer (km) untuk setiap liter bahan api setelah diuji di Jepun. Corak pemanduan pula boleh dipantau dengan mudah menerusi indikator pada papan pemuka yang akan memberitahu pemandu sama ada cara pemanduannya ekonomikal atau tidak.

Model kompak Toyota Passo Sette ini berukuran 4,180 milimeter (mm) panjang, 1,695mm lebar dan ketinggiannya adalah 1,620mm dengan 2,750mm kepanjangan titik rodanya untuk memaksimumkan ruang dalam sepanjang 2,550mm.

Boon Luminas CX dengan bodykit agak panjang sedikit dengan 4,195mm. Dimensi lain yang disediakan oleh Toyota termasuklah 1,630mm ruang di antara barisan tempat duduk hadapan dan barisan tempat duduk belakang.

Jarak pintu boleh dibuka bagi penumpang adalah sehingga 935mm lebar untuk keluar masuk dan bagi pemandu, kelebarannya adalah 630mm. Sungguhpun mempunyai wheelbase yang panjang, roda diletakkan di tempat yang strategik yang membolehkan model ini memiliki radius pusingan 5.2 meter.


MPV ini dilihat mampu menggugat penguasaan pengeluar MPV yang sedia ada.


Toyota telah menyediakan Toyota Passo Sette ini dengan pelbagai penampilan yang menarik termasuklah sistem hiburan bagi tempat duduk belakang dengan monitor selebar 177 mm, pemain DVD dengan kebolehan untuk memainkan media yang berasingan bagi ruang hadapan dan belakang. Ia juga terdapat pilihan tanpa kunci iaitu dengan menggunakan key fob.

Banyak lagi spesifikasi menarik yang ditawarkan kepada pembeli di Jepun sebagai model JDM (Japan Domestic Market). Boon Luminas dilengkapi dengan music server yang membolehkan anda menyalin 660 minit lagu-lagu daripada CD ke sistem hiburan kereta.

Jadi, anda tidak perlu bersusah-payah untuk membawa CD ke mana-mana di dalam kereta. Pilihan ini juga terdapat pada Toyota Passo Sette. Bagi spesifikasi Jepun, ia menawarkan ciri-ciri keselamatan yang mungkin juga terdapat pada spesifikasi Perodua kelak.

Secara keseluruhannya, Passo Sette dan Boon Luminas ini mempunyai enam SRS Airbags vehicle stability control (VSC), Dynamic Support Headrests dan sistem brek ABS.

Kepada anda yang berhasrat untuk membeli MPV, ini adalah salah satu pilihan yang bakal ada di pasaran tidak lama lagi.

Tidak salah menunggu beberapa bulan lagi demi membuat pilihan yang tepat untuk memastikan bahawa pembelian kita berbaloi dengan wang yang dilaburkan.



No comments: