Wednesday, June 17, 2009

Jentera 'kaki trek'

MINGGU ini penulis berpeluang memandu uji Toyota, jentera ala perlumbaan iaitu Vios TRD versi manual.


Transmisi manual memang kurang diminati tetapi masih ada peminatnya terutama mereka yang berjiwa perlumbaan atau 'kaki trek'.

Toyota melalui Toyota Racing Development (TRD) menjadikan model Vios versi J transmisi manual sebuah jentera lumba jalanan yang sporty.

Unit pandu uji kali ini berwarna merah berbelang putih dengan logo TRD dan Toyota, warna rasmi bagi jentera lumba Toyota TRD yang didatangkan khas dari Thailand.

Negara Gajah Putih itu memang terkenal dengan perlumbaan daripada jentera Vios yang dikenali sebagai One Make Race.

Melihat warna merah berbelang putih itu sudah cukup membuatkan sesiapa sahaja kagum dengan penampilan Vios TRD yang ekstrem.

Terdapat beberapa perbezaan antara versi automatik dan manual tetapi jentera manual mendapat lebih suntikan perlumbaan.

Antaranya, sistem suspensi Tein boleh laras menjadikan kereta itu direndahkan 45mm.

Pusat graviti yang rendah membolehkan Vios TRD mengambil selekoh dengan lebih yakin, selain keutuhan suspensi Tein.

Malah, penulis merasakan ini 'set-up' suspensi untuk perlumbaan dan bukan untuk kegunaan harian atau di jalan awam.

Tetapi bagi mereka yang mahu melayan selekoh demi selekoh, ia memang agresif.

Sistem suspensi itu tidak sesuai bagi kegunaan keluarga kerana terlalu keras dan penumpang pasti merasai bagaimana 'peritnya' apabila tayar melalui jalan tidak rata atau terlanggar lubang.

Luaran Vios TRD didatangkan dengan bodykit penuh tetapi Toyota terpaksa membuang spoiler depan bagi unit pandu uji ini kerana terlalu rendah.

Model ini masih menggunakan enjin 1NZ-FE yang menghasilkan 109PS pada 6,000rpm.

Bagaimanapun, penggunaan penapis udara TRD menjadikan jentera lebih ringan ditambah pula transmisi manual lima kelajuan cukup serasi dengan modifikasi yang dilakukan.

Sebelum pandu uji di jalan awam, penulis sudah mengujinya di Litar Sepang.

Ruang dalamannya masih sama seperti model Vios lain tetapi sepasang kerusi perlumbaan Recaro TRD yang padat menjadikannya sangat eksklusif.

Penggunaan stereng Momo tulen memudahkan kawalan roda dan memberi cengkaman tangan maksimum terutama ketika mengambil selekoh.

Sentuhan lain TRD termasuk pedal brek dan minyak daripada TRD serta tuil gear bersalut kulit menarik dan kemas.

Semua aksesori tulen ini menepati piawaian ketat Toyota selain mendapat jaminan daripada pengeluar.

Bagi penulis, Vios TRD transmisi manual menarik dan bakal mendapat sambutan terutama 'pelumba muda'.



SPESIFIKASI

Toyota Vios TRD 1.5 J Manual

Enjin: Empat silinder selari, DOHC, 16 injap, VVT-i

Kuasa Maksimum: 109 PS pada 6,000rpm

Tork Maksimum: 141Nm pada 4,200rpm

Transmisi: Manual lima kelajuan.

Ciri keselamatan: ABS, EBD, BA

Aksesori TRD: Skirting, Spoiler, Suspensi Tein boleh laras, kerusi Recaro TRD, stereng Momo, pedal dan tuil gear TRD

Tayar yang dicadangkan

Dunlop Formula D1 175/50R15


ihsan Harian Metro

No comments: