Saturday, June 20, 2009

Generasi ketiga Clio

Menjadi sebahagian daripada kenderaan yang dibina berdasarkan inspirasi jentera F1, Clio Renault Sport (RS) menawarkan kuasa dan prestasi yang tiada bandingan.




MODEL berprestasi tinggi dua pintu keluaran Renault ini merupakan generasi ketiga dalam keluarga Clio. Sejak diperkenalkan pada tahun 1990, Clio menjadi model penting bagi jenama Renault sekali gus mengukuhkan reputasinya selaku pengeluar kenderaan di Eropah.

Dibangunkan oleh pasukan Renault Sport, Renault Clio RS ini dilihat sebagai lebih daripada sebuah kenderaan yang membawa individu dari titik A ke B. Sama ada gaya atau prestasi, jentera ini memiliki segala-galanya.

Berinspirasikan jentera F1, hot hatch ini menjadi indikator terhadap keupayaan sebenar Renault mengubah sebuah model untuk pasaran dan menjadi model yang sarat dengan DNA perlumbaan ciptaan Renault.

Dari segi penampilan, Renault Clio RS mempunyai bahagian hadapan yang tidak jauh bezanya dengan model yang lebih berkuasa, Renaultsport Megane 230 F1 Team R26.

Bezanya, cuma lampu utama yang bersaiz lebih besar berbanding model R26 yang menggunakan lampu sedikit nipis. Dipadankan dengan gril radiator yang mengapit emblem Renault, bumper hadapannya juga dilengkapi dengan sepasang lampu kabus.

Di bahagian sisi kiri dan kanan (berhampiran roda hadapannya), terpasang unit extractor. Extractor ini berfungsi untuk mengurangkan tahap halangan, selain membantu pengedaran keluar udara panas dari enjin secara lebih efisien.

Pada masa yang sama, saluran udara ini mengarahkan laluan angin di bahagian sisi kereta bagi menambah peningkatan prestasinya.

Bahagian belakang model ini dipasang dengan unit air diffuser yang diaplikasi pada model F1. Sedia maklum bahawa air diffuser ini berperanan memberikan daya kestabilan dan membuatkan jentera seakan melekat di atas jalan ketika dipandu laju.

Sistem ini mampu mengurangkan kemungkinan bahagian belakang kereta terangkat, selain tidak berkompromi dengan aspek aerodinamik yang terdapat pada setiap inci rekaan Renault Clio RS.


RUANG kabin yang sarat dengan ciri-ciri sebuah kenderaan Eropah.



Extractor ini bukan bersifat kosmetik, sebaliknya membantu pengedaran udara panas dari enjin dengan lebih berkesan.





Kuasa Clio RS ini diekstrak daripada unit enjin bersesaran dua liter yang telah mengalami proses penambahbaikan secara ekstensif. Enjin ini menerima inlet tracts baru, selain kedudukan injap, aci engkol (crank shaft), aci sesondol (camshaft) dan omboh yang lebih dinamik.

Hasilnya, enjin ini mampu menjana kuasa sehingga 197 hp pada putaran enjin 7,250 rpm dan tork maksimum 215Nm @ 5,550 rpm.

Harus diakui bahawa sukar sekali untuk saya memandu perlahan ketika memegang stereng Clio RS. Kuasanya yang dapat dirasa sewaktu setiap gear ditukar membuatkan pemanduan menjadi satu pengalaman yang menyeronokkan.

Nisbah gear enam kelajuannya yang pendek, membantu setiap pemandu merasa kuasa tork sebaik sahaja klac dilepaskan dan pedal minyak ditekan.

Namun begitu, anda memerlukan jarak yang agak jauh untuk merasai kuasa enjin sepenuhnya dan melihat jarum rpm melangkau garisan merah. Jika anda beranggapan jentera berprestasi tinggi kurang selesa kerana setting sistem suspensinya yang keras, keadaan itu tidak berlaku di dalam kabin Clio RS.

Penggunaan sistem suspensi double axis strut pada roda hadapan dan roda belakang dipasang dengan sistem torsion beam, sememangnya menawarkan tahap pemanduan yang cukup memuaskan, terutama sewaktu melalui permukaan jalan yang tidak sempurna.

Sama seperti model jenama Eropah yang lain, Clio RS menampilkan rekaan ruang kabin yang minimalis. Mengambil warna hitam sebagai latarnya, bahagian papan pemuka yang menempatkan sistem audio, butang kawalan pendingin hawa dan paparan meter dibina menggunakan material berkualiti tinggi.

Imej sporty diserlah menerusi stereng bersalut kulit dan jahitan benang berwarna merah, selain tempat duduk Renault Sport yang direka khas bagi memberikan keselesaan maksimum ketika memandu.

Lebih menarik lagi, Clio RS menawarkan penggunaan petrol yang menjimatkan. Renault mendakwa, jentera ini berupaya mencecah sejauh 33.2 kilometer (km) bagi setiap liter petrol yang ada di dalam tangkinya.

Bagi satu tangki penuh, jentera ini boleh mencecah perbatuan hampir 600km tanpa sebarang masalah. Angka itu sebenarnya mungkin lebih tinggi jika anda memandu dalam keadaan yang lebih waras.

Clio RS didatangkan dengan empat warna pilihan iaitu merah, putih, hitam dan kelabu. Pada tanda harga RM189,039 seunit dengan jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sehingga 100,000 kilometer, Renault Clio RS pasti tidak akan mengecewakan.

No comments: