Saturday, June 20, 2009

Lebih rela naik LRT

Walaupun bergelar selebriti, Nine lebih senang menjalani hidup seperti orang biasa, menaiki kereta kecil dan LRT.


INILAH harta yang dimiliki Nine hasil titik peluhnya setelah tujuh tahun bergelar anak seni.

BARANGKALI ada peminat yang pernah terserempak dengan penyanyi muda Zulqarnain Jaafar atau lebih dikenali sebagai Nine sewaktu menaiki pengangkutan awam di sekitar Kuala Lumpur.

Persoalannya, mengapa Nine yang juga vokalis kumpulan Coco itu sanggup bersesak-sesak menaiki kenderaan awam?

Pasti ada banyak mata yang terkejut dan melontarkan pandangan sinis melihat penyanyi yang wajahnya sering muncul di kaca televisyen menaiki kereta api sistem transit aliran ringan (LRT) sambil meredah ribuan manusia lain.

Itu hakikat yang tidak mampu dipertikaikan lagi. Pemuda berusia 27 tahun itu sebelum ini tanpa segan silu mengakui rela menaiki LRT bagi memudahkan pergerakannya ke sesebuah tempat.

"Walaupun bergelar artis sejak tahun 2003 tetapi saya tetap merasakan diri masih sama macam orang lain. Tiada yang bezanya dengan orang lain.

"Saya tidak malu untuk menaiki pengangkutan awam, apatah lagi sebelum ini saya tidak mempunyai kenderaan sendiri.

"Lagipun lebih mudah kalau saya naik LRT atau monorel untuk ke mana-mana. Ia cepat dan tidak membuatkan saya berasa penat," katanya ketika ditemui di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.


IPOD merupakan gajet wajib yang dibawa setiap hari.

Beritahu anak kelahiran Kedah itu, kebiasaannya dia akan menaiki LRT dari stesen Cheras untuk ke sekitar Kuala Lumpur.

"Ada juga peminat yang menegur dan tidak terkecuali yang tengok saya dengan pandangan pelik tetapi saya buat biasa sahaja," jelas Nine yang menyertai rancangan realiti televisyen One In A Million musim ketiga (OIAM3) baru-baru ini.

Kancil senang 'menyelit'

Selang beberapa tahun menjadi pengguna setia pengangkutan awam, baru-baru ini Nine sudah memiliki kenderaan sendiri yang dapat membawanya ke mana jua.

Berkat kesabaran dan gigih menyimpan duit akhirnya Nine dapat membeli sebuah kereta Perodua Kancil sejak setahun lalu.

"Kereta yang bersaiz kecil memudahkan saya untuk menyelit kalau berlaku kesesakan lalu lintas di kota raya yang sentiasa sibuk.

"Saya suka dengan reka bentuk kereta Kancil, ia cukup dengan bajet yang ada ketika itu.

"Siapa yang tidak mahu membeli kereta besar dan mewah tetapi biarlah saya bermula dari bawah dengan memandu kereta tempatan.

"Asalkan ada kereta yang dapat mengangkut saya ke mana-mana, ia sudah cukup membahagiakan," ungkap Nine yang selalu membawa teman rapatnya bersiar-siar dengan keretanya.


GITAR kesayangan ini merupakan penumpang setia Kancil Nine.

Fizikal Nine yang agak tinggi membuatkannya kelihatan canggung apabila berada dalam kereta tersebut.

Biarpun begitu, Nine tidak menjadikan perkara itu sebagai satu masalah kerana dia sudah dapat membiasakan diri memandu Kancil.

"Saya cuma perlu menarik kerusi pemandu ke belakang sedikit bagi memberikan keselesaan semasa memandu.

"Jadi senanglah untuk kaki saya yang panjang ini menekan pedal minyak dan brek. Alah biasa tegal biasa," akui Nine.

Bercakap tentang pengalaman memandu kereta kepunyaannya Nine memberitahu, dia pernah membawa kereta tersebut untuk perjalanan jauh dengan penghawa dingin yang tidak berfungsi.

"Waktu itu saya ingin pulang ke kampung halaman saya di Kedah. Walaupun keadaan agak panas dan tidak berapa selesa tetapi syukurlah dapat juga sampai ke destinasi yang dituju dengan selamat.

"Berpeluh jugalah satu badan sebab bukan satu dua jam perjalanannya," jelasnya yang selesa dengan gaya hidup sederhana tanpa mahu menunjuk-nunjuk.

Setia dengan LRT

Sehubungan itu, walaupun sudah memiliki kereta sendiri, namun Nine mengaku masih menaiki kenderaan awam untuk ke mana-mana sahaja terutama di Kuala Lumpur.

"Buat apa hendak malu sedangkan saya juga manusia biasa yang seboleh-bolehnya ingin melarikan diri daripada kesesakan lalu lintas di ibu kota.

"Biarlah saya terus naik LRT asalkan saya tidak perlu rasa tertekan semasa memandu.

"Masyarakat boleh terus bercakap bukan-bukan tentang saya yang naik LRT tetapi tiada salahnya kalau artis ingin bersama-sama pengguna lain untuk menaiki kenderaan awam," jawab Nine.

Selepas melangkah kaki keluar dari OIAM3, Nine kini sedang sibuk menyiapkan mini album terbarunya bersama Coco sebelum boleh menjadi penghibur.

No comments: