Wednesday, March 3, 2010

Naza Kompak

COMEL...Picanto disasarkan kepada golongan wanita urban.
COMEL...Picanto disasarkan kepada golongan wanita urban.


BESAR...ruang barang mampu memuatkan barang peribadi atau beg dengan selesa. MUDAH...kedudukan unit penghawa dingin. KEMAS...papan pemuka kemas dan menarik. LUAS...kerusi penumpang belakang luas dan selesa. JIMAT...enjin SOHC 12 injap dengan 63 hp menawarkan penjimatan minyak.
Bentuknya lebih kecil berbanding model Picanto menjadikannya comel dan sesuai untuk pemanduan di kota.

Malah, ketika pelancarannya pada Oktober tahun lalu, model ini disasarkan kepada golongan wanita bekerja di bandar besar yang sering dihimpit kesesakan jalan raya dan ruang parkir terhad.

Lampu hadapan berbentuk bujur telur, gril lebih besar manakala lampu belakang bulat selain lampu isyarat dan mengundur berkongsi perumah sama.

Spoiler belakang, lampu isyarat membelok pada cermin sisi dan rim aloi bersaiz 15 inci menambahkan lagi rupa sporty model ini walaupun slogannya lebih kepada si jelita.

Imej kompak yang ada tidak terasa ketika menerjah ke ruang dalaman yang dihias dengan latar warna gelap.

Kerusi dengan fabrik gelap juga menjadikan ruang tampak bersih manakala susun atur butang kawalan pada papan pemuka yang sedikit nampak kemas.

Paling menarik, terdapat konsol terbuka dan tertutup di penumpang hadapan membolehkan pelbagai barangan diletakkan dengan sempurna.

Ruang lega kaki dan kepala bagi pemandu dan penumpang cukup selesa sama ada di hadapan atau belakang.

Ruang menyimpan barang juga luas dan jika mahu ruang lebih besar, baringkan saja kerusi belakang.

Ciri hiburan diambil kira apabila Picanto ini dibekalkan pemain cakera padat (CD) tunggal dilengkapi dengan port USB.

Gaya urban terserlah melalui cermin sisi dengan kawalan elektronik dan tingkap berkuasa untuk semua pintu.

Picanto dijana enjin 1.1L dengan transmisi automatik empat kelajuan bersama butang 'Over Drive' menjadikannya jentera seronok dipandu.

Dengan kuasa kuda setinggi 63hp pada 5,500 rpm dan tork 96Nm pada 2,800 rpm, Picanto menawarkan pemanduan ideal sebagai kereta urban.

Reaksi pedal sangat responsif dan kereta meluncur laju sebaik ditekan menjadikannya model mantap kegunaan di bandar yang memiliki banyak lampu isyarat.

Ciri kendaliannya sangat baik dan mudah dengan bantuan stereng berkuasa serta sistem suspensi lembut memastikan setiap penumpang berasa selesa sepanjang perjalanan.

Dua beg udara SRS untuk pemandu dan penumpang hadapan sudah cukup memadai bagi jentera kompak ini.Harga ditawarkan ialah RM46,800 dan ia pilihan berbaloi.

SPESIFIKASI
Kia Picanto EX 1.1L
Enjin: 1,088cc SOHC empat silinder 12 injap
Kuasa maksimum: 63hp pada 5,500rpm
Tork maksimum: 96Nm pada 2,800rpm
Transmisi: Automatik empat kelajuan dengan 'Over Drive.'
Harga: RM46,800
Tayar yang dicadangkan
Formula D01
175/50R15 75H

No comments: