Biarpun harganya agak mahal, namun kereta yang dicipta dengan DNA Suzuki Motorsport ini dikhaskan kepada mereka yang inginkan sesuatu yang berbeza.
BEBERAPA bulan lalu, seorang teman saya bertanya kereta apa yang harus dia beli selepas menjual Myvi miliknya. Kereta itu mestilah tidak terlalu besar, berkuasa dan yang pentingnya berharga di bawah RM100,000.
Saya mencadangkan Nissan March Impul, Integra DC5, EP3 (Civic Type R generasi ke-7) Mitsubishi Colt yang semuanya versi terpakai. Mengambil kira model yang mempunyai karakteristik seperti yang dikehendaki oleh teman saya tadi, satu-satunya kereta baru yang ada di pasaran mungkin Suzuki Swift.
Namun saya tidak fikir dia meminati kereta yang dicadangkan kerana jentera itu kurang berkuasa berbanding dengan senarai awal yang saya beri. Sehinggalah kami bertemu tidak lama selepas itu di sebuah restoran mamak.
Memandu uji
"Cukup-cukup bajet jer... Baii," katanya sambil menunjukkan Suzuki Swift Sport (Swift Sport) yang baru dibelinya.
Kereta Swift Sport ini mungkin berada dalam senarai underrated bagi piawaian kereta kompak di Malaysia. Benar, model Swift 1.5 pemasangan tempatan (CKD) mungkin jauh lebih dominan.
Swift 1.5 yang diubahsuai kepada kit badan Swift Sport juga jauh lebih banyak daripada versi asal Swift Sport. Faktor harga mungkin menjadi penghalang. Meskipun pada hakikatnya, tiada kereta dalam spesifikasi serupa dalam kategorinya.
Program Adventure Hunt ke Tasik Kenyir, Terengganu anjuran DRB-Hicom baru-baru ini memberi peluang kepada wakil media memandu pelbagai jenama kereta di bawah subsidiari DRB-Hicom. Salah satunya adalah Swift Sport varian automatik.
Melalui jalan kampung yang bergelombang dan bertampal-tampal, ia bukanlah sesuatu yang anda harapkan ketika memandu kereta kompak ini. Mujurlah, saya hanya membawa seorang penumpang di sebelah.
Suspensi kereta ini ditala jauh lebih keras daripada versi jentera Swift yang biasa . Nampaknya ia begitu tipikal dengan kereta-kereta talaan untuk prestasi yang tahap pengendaliannya menjadi perkara pokok, selaras dengan kuasa enjin.
Ia seperti membandingkan Mini Cooper One dan Mini Cooper S. Model S atau Civic 2.0 dengan Civic Type R yang jauh lebih rigid dan membenarkan enjin dikerah ke tahap maksimum. Keadaan jalan raya yang bengkang-bengkok menjadi kegemaran bagi sesiapa sahaja yang memandu kereta ini. Tekan sahaja pedal minyaknya, gear automatik turun dengan pantas tanpa dipaksa.
Secara fizikalnya, badan Swift Sport ini berukuran 5mm lebih panjang berbanding Swift 1.5. Namun, ia mudah dikawal. Sterengnya juga mudah dijangka dan titik lurusnya berada tepat sebagaimana yang anda kehendaki.
Panduan putarannya kemas dan breknya cemerlang. Malah, saya cuba memasuki selekoh dengan cuba membrek lewat dan mengharapkan brek enjin untuk membantu.
Secara teorinya, adalah keterlaluan meletakkan harapan tinggi pada gear tiga bagi transmisi automatik untuk membrek kemas berbanding dengan versi manual. Tetapi ia mengagumkan. Tahap 'gigitannya' boleh dijangka. Enjin tidak mengaum tinggi, walaupun jarak penukaran gear terlalu pendek.
Pada kelajuan 120km/j - 140km/j di jalan-jalan kampung, keselesaan menjadi perkara terakhir yang boleh anda harapkan daripada kereta ini.
Prestasi enjinnya memang memuaskan, terutama apabila mengambil kira bahawa kereta ini seberat 1,090 kilogram. Di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), pada putaran 5,200 rpm pada gear akhir, enjin masih memiliki kuasa mendaki yang menakjubkan.
Saya percaya, enjin M16A ini adalah yang terbaik pernah dicipta Suzuki dengan pengalaman luas mereka dalam Junior WRC (World Rally Championship). Dengan kuasa 125ps pada 6,800 rpm dan tork puncaknya pada 148 Nm @ 4,800 rpm, ia memang sebuah enjin dinamik pada sebuah kerangka yang bagus. Susunan gear versi automatiknya jauh lebih baik daripada sesetengah kereta manual hari ini.
Enjin-enjin Suzuki dalam rangkaian model prestasi memang terkenal dengan keupayaan putaran enjin tinggi (high revving). Terima kasih pada pembangunan enjin M16A yang terdiri daripada omboh tempa, aci sesondol dengan bukaan tinggi, pegas injap yang diperkuatkan dan tidak dilupakan sistem VVT itu sendiri.
Lazimnya, enjin Normal Aspirated (N/A) tidak akan dibina sebegini tanpa sebab yang kukuh kerana kosnya bukanlah murah. Enjin ini juga mengingatkan saya ketika memandu Swift Cultus Gti (G13B tahun 1991) atau bahasa pasarnya 'vtec 1.3'.
Uji kelajuan maksimum
Perjalanan di LPT sedikit terganggu dengan hujan lebat yang turun di persimpangan Gambang, Pahang. Sebaik hujan berhenti, saya terus memecut untuk menguji kelajuan maksimum yang mampu dicatat.
Teman di sebelah hampir tidak percaya apabila jarum meter sedang mencium angka 200km/j sambil dia memegang brosur Suzuki. Dalam katalog, kelajuan maksimum yang dicatat ialah 170km/j.
Sebaik melepasi persimpangan Gambang, jalan semakin sibuk dan mustahil untuk memecut pada kelajuan itu. Ketika sedang asyik memandu, tiba-tiba kami terdengar satu letupan yang agak mengejutkan.
Bunyi seakan-akan sebutir skru terkena badan kereta. Beberapa saat selepas itu, kereta mula bergegar dan kami bernasib baik kerana hentian rehat Maran hanya beberapa ratus meter di hadapan.
Tayar belakang pancit sepenuhnya. Inilah perkara terakhir yang anda harapkan berlaku pada model Sport. Kereta ini tidak didatangkan dengan tayar ganti. Ia sama seperti model-model Sport moden seperti Volvo C30, Mini Cooper S dan sesetengah model up line BMW.
Banyak sebab yang membuatkan pengeluar mengambil keputusan untuk melupakan tayar ganti. Selain mengurangkan beban berat (purata tayar ganti ialah 28kg), ia juga membolehkan pelbagai aksesori lain yang lebih berfaedah dimuatkan.
Dalam sesetengah kes, memang tiada ruang untuk tayar ganti, khususnya pada kereta kecil. Ruang asalnya telah diambil alih oleh sistem sambungan suspensi dan kerangka untuk mengoptimumkan pengendalian.
Sebagai ganti, kereta-kereta tanpa tayar ganti ini (seperti Cooper S), dipasangkan dengan tayar run flat. Ia membolehkan kenderaan dipandu sejauh 290km untuk sampai ke bengkel berhampiran.
Memandangkan kos tayar run flat lebih mahal, sesetengah kereta tanpa tayar ganti seperti Swift Sport ini didatangkan dengan kit pembaikan. Malah saya juga mendapat maklumat bahawa Proton Exora juga pernah dicadangkan untuk dipasangkan teknologi sebegini. Namun ia tidak sampai ke meja kelulusan.
Tiada tayar ganti
Menjadikan perjalanan kami lebih menarik pada hari itu ialah repair kit yang sepatutnya terletak dalam but tiada di tempatnya. Yang tinggal hanyalah jek dan spanar pembuka tayar.
Melihat kepada hub roda, kami bercadang untuk meminjam tayar daripada kereta konvoi lain kerana kereta ini dipasangkan dengan hub lima lubang. Secara logiknya, ia mungkin bersaiz 114.3mm X 5 yang kebanyakan tayar ganti dari kereta konvoi kami adalah sama.
Mungkin offset tidak sama, tapi lebih baik mencuba bukan? Namun, walkie talkie yang dibekalkan gagal dijawab oleh sesiapa yang berada dalam radius berhampiran. Seterusnya, kami berhubung dengan pasukan teknikal (yang sebenarnya sudah tiba di Kuala Lumpur!)
Daripada maklumat yang diterima, krew teknikal tersebut tidak menjangka untuk membawa tayar ganti. Mereka terpaksa mengambilnya di Kuala Lumpur dan berpatah semula ke Maran.
Ini bermakna, kami terpaksa menunggu tiga hingga empat jam lagi. Mujurlah pasukan sokongan kedua berada tidak jauh di hadapan. Dengan Triton yang sarat dengan muatan, mereka berpatah balik, meninggalkan seorang krew untuk menjaga kereta Swift tersebut dan terus membawa kami pulang ke ibu kota.
Berbalik kepada pengalaman memandu kereta ini, mungkin ramai yang tertanya-tanya berbaloikah kalau kereta ini dibeli? Berharga RM103,000 (varian automatik) dan RM97,000 untuk manual, ternyata ia bukanlah satu pelaburan murah untuk sebuah kereta yang boleh dikatakan paling kecil dalam kategorinya.
Namun, kereta yang dicipta dengan DNA Suzuki Motorsport ini dikhaskan kepada mereka yang inginkan sesuatu yang berbeza. Keseronokan memandunya memang tidak terbatas.
No comments:
Post a Comment