Sewaktu kejatuhan ekonomi dunia pada tahun 1998, syarikat automotif Korea Selatan bergabung untuk mengelak daripada muflis. Hari ini, dengan situasi yang lebih buruk,+ gergasi automotif dunia perlu mencari jalan terbaik untuk bangkit daripada kerugian.
DUNIA menghadapinya sekali lagi. Saat-saat sukar buat industri automotif hari ini dalam mengekalkan survival ketika bencana keruntuhan eknomi dunia belum menampakkan sebarang tanda pulih dalam masa terdekat.
Hampir kesemua pemain utama industri dunia mencatat kerugian sepanjang tahun lalu dan separuh pertama tahun ini. Walaupun ramai yang optimis pasaran akan kembali pulih, namun ia tidak akan dicapai dalam masa terdekat.
Carlos Ghosn, CEO Nissan menjangkakan pemulihan tahun 2010 adalah mustahil. Akio Toyoda, CEO Toyota pula gigih mengerahkan pasukannya untuk mengurangkan kerugian yang dialami mereka sejak tiga suku terakhir 2008 dan tahun ini.
Trend terhadap industri juga dilihat semakin berubah. Banyak syarikat kini mula melihat semula senario penggabungan industri automotif Korea Selatan ketika musibah melanda ekonomi Asia pada 1997.
Korea secara drastiknya menukar haluan posisi pasaran mereka dengan mengutamakan pasaran kereta penumpang yang ekonomikal.
Langkah yang sama bakal menjadi ikutan. Mungkin corak dan caranya sahaja yang sedikit berbeza.
Sejak keruntuhan GM dan Chrysler, apa yang mengejutkan pasaran ialah kebangkitan Asia.
Walaupun jumlah jualan menurun, Malaysia masih mencatat pertumbuhan memberangsangkan sepanjang tempoh ini. Lebih mengejutkan, kuasa ekonomi dunia baru, China mencatat kenaikan dalam pasaran automotif mereka.
Kereta kos rendah
Hampir kesemua pembuat kereta utama kini berhasrat untuk melancarkan produk asas. LCC (Low Cost Car) atau ULCC (Ultra Low Cost Car) merupakan salah satu daripada produk yang bakal mengumpul modal syarikat pada waktu yang sukar ini. Tindakan itu dijangka berkesan dalam menghadapi fenomena semasa dengan menurunnya kuasa membeli di pasaran.
Tata Nano sebagai contoh kereta dalam kategori ULCC yang dijual pada harga AS$2,000 (RM7,156).
Ia juga dikatakan berpotensi untuk diperkenalkan di negara maju dan negara membangun lain dengan penyesuaian tertentu. Pembuat kereta lain seperti Toyota pula memang tersedia dengan pasaran EFC (Emerging Family Car). Cuma sejak dekad terakhir, pasaran kereta murah itu seakan-akan dilupakan.
Jika anda masih ingat, sebelum model Vios muncul, pasaran ini sudah pun tersedia dengan model Soluna, khusus sebagai kereta penumpang murah yang mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah, selain penggunaan komersial seperti teksi dan transit.
Model itu terbukti berjaya di Thailand dan Indonesia. Jika melihat kepada keadaan hari ini, projek itu akan menjadi tuntutan paling utama dalam memastikan pasaran Toyota kembali agresif.
Oleh kerana itu pesaing Toyota, Volkswagen turut mengumumkan untuk menyertai kelompok LCC dengan nama projek NSF (New Small Family).
Pengeluar kenderaan terbesar Eropah itu menerima respons positif daripada subsidiari mereka, Audi yang berjanji akan turut membangunkan model dengan sasaran pasaran yang sama. Projek itu dijangka akan dimulakan selewat-lewatnya pada 2011 di kilang pemasangan VW di Bratislava, Slovakia.
LCC di Eropah telah lama dimonopoli oleh Dacia Logan dan Fiat Palio. Pada harga kurang 6,000 Euro (RM32,000), Logan sememangnya kereta yang direka untuk semua pembeli. Sama ada sebagai kereta kedua keluarga atau kereta pertama bagi mereka yang dahulunya menunggang motosikal. Idea Dacia Logan ini berdasarkan kejayaan Lada di Rusia.
Fiat Palio juga merupakan contoh super mini murah yang turut menempa kejayaan luar biasa. Ia diumum sebagai world car semasa dilancarkan. Ia dipasang dan dipasarkan di kebanyakan negara seperti Turki, Rusia, Korea Selatan dan Brazil.
Walaupun baru sahaja diperkenalkan di China beberapa tahun lalu dengan kerjasama Nanjing, Palio mula membanjiri pasaran tempatan.
Pasaran LCC dijangka akan terus melonjak bukan sahaja berdasarkan landskap ekonomi semasa, malah trend yang kini mula beralih kepada aspek pengguna dan kepenggunaan.
Sehingga kini, pasaran automotif di negara-negara utama dunia didominasi oleh pemain tegar yang telah lama dalam industri tempatan.
No comments:
Post a Comment