Saturday, August 22, 2009

Kelainan personaliti

Selepas model mini i10, kini tiba pula giliran i30 Hyundai untuk menarik perhatian pengguna Malaysia yang gemarkan kelainan dan personaliti jentera dari Korea Selatan.



SETELAH membuat debut pada Hyundai Mega Motor Show yang berlangsung di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya pada bulan lalu, peluang untuk memegang stereng model terbaru daripada Hyundai-Sime Darby Motors Sdn. Bhd. (HSDM) akhirnya tiba.

Jaraknya tidaklah jauh. Namun, pengalaman menyusuri lebuh raya ELITE bermula dari Speedway PLUS Circuit, kawasan rehat USJ dan berpatah balik melalui susur keluar Ebor sudah memadai untuk mengetahui karakter jentera yang bernama Hyundai i30 ini.

Jika anda perasan, model-model baru Hyundai dimulakan dengan huruf 'i'. Sebenarnya, ia merujuk kepada perkataan Inspiration yang menjadi pemangkin kepada semua pembangunan produk baru di Hyundai Motor Company, Korea Selatan. Huruf 'i' juga membawa maksud pintar (intelligence) yang boleh diharapkan oleh pelanggan terhadap jenama Hyundai.

Sesi pandu itu melibatkan dua varian Hyundai i30, enjin bersesaran 1.6 liter dan 2.0 liter bertransmisi automatik. Dimulakan dengan penerangan teknikal i30, wartawan dibahagikan kepada dua kumpulan.

Perlumbaan

Kumpulan pertama memulakan hari yang panas terik itu dengan perlumbaan go-kart di litar berhampiran. Sementara kumpulan kedua pula bergilir-gilir memandu i30 di laluan yang ditetapkan.

Setelah agak lama menunggu, nama penulis dipanggil untuk menguji unit berkuasa 1.6 liter berwarna biru. Sebaik sahaja duduk di ruang kabinnya, perlu diakui bahawa i30 menampilkan rekaan papan pemuka yang kemas.

Mengambil hitam sebagai warna utama, anda boleh merasai bahawa material plastik yang digunakan tidak nampak murah. Stereng teleskopik yang boleh dilaras itu juga sedap dipegang.

Konsol tengahnya diletakkan dengan unit audio dan butang kawalan pendingin hawa automatik. Sementara tuil gearnya pula dipasang di dalam perumah gated shifter. Bagi keselesaan pemandu dan penumpang, i30 cukup pemurah dengan ruang meletak barang dan botol minuman.

Sebaik sahaja menekan pedal minyaknya, kuasa terus diestrak daripada enjin Gamma 1.6 DOHC CVVT (Continuously Variable Valve Timing). Enjin yang dibina menggunakan blok silinder aluminium dan dengan ciri-ciri seperti aplikasi rantai pemasaan (timing chain) ini dibina khas untuk model i30.


STERENG teleskopik yang boleh dilaras ini selesa dipegang.

Momentum

Dengan janaan kuasa mencecah 121 PS pada putaran enjin 6,200 dan tork maksimum 156 Nm @ 4,200, boleh dikatakan bahawa jentera ini cukup selesa untuk dipandu di bandar dalam keadaan santai.

Dipadankan dengan kotak gear automatik empat kelajuan, i30 bagaimanapun membuatkan pemandu terpaksa menunggu seketika untuk gearnya diturunkan dan mendapat momentum memotong kenderaan di hadapan.

Ketika memandu perlahan atau hendak memakir, pemandu akan menyedari bahawa stereng kuasanya begitu ringan. Namun, ia akan terasa lebih berat apabila kelajuan meningkat terutama sebaik sahaja melepasi takat 40 kilometer sejam.

Ciri tersebut terhasil berikutan penggunaan sistem MDPS (Motor Driven Power Steering) pada sterengnya. Sistem ini dikatakan dapat meningkatkan kualiti stereng, mengurangkan penggunaan minyak dan lebih mesra alam.

Dibina di atas kerangka yang diperkukuhkan, maka tidak hairanlah jika model ini mendapat penarafan ujian NCAP (New Car Assessment Program) lima bintang. Aspek keselamatan i30 ditambah dengan sistem brek ABS dengan EBD, ESP (Electronic Stability Program) untuk model 2.0 sahaja, selain dua beg udara SRS.

Jaminan

Model i30 dibawa masuk ke pasaran Malaysia dan negara Asia dalam bentuk import sepenuhnya (CBU) dari tanah kelahirannya, Korea Selatan. Sementara bagi pasaran Eropah, i30 dikilangkan di kilang Hyundai yang terletak di Republik Czech.

Harga dan kuasa enjin meletakkan i30 seakan-akan berada dalam segmennya yang tersendiri. Tidak menggantikan mana-mana model Hyundai sebelum ini, agak sukar untuk menentukan model manakah yang menjadi pesaing secara terus kepada i30. Jika hendak dibandingkan dengan Honda Jazz, jentera keluaran Honda itu hanya bersesaran 1.5 liter.


JANAAN enjin bersesaran 1.6 liter membolehkan jentera Hyundai i30 menjadi kenderaan ideal untuk dipandu di bandar.

Menerusi lima warna pilihan seperti biru, hitam, perak, kelabu dan putih, i30 ditawarkan pada harga RM97, 888 (1.6 automatik) dan RM112,888 (2.0 automatik) seunit di atas jalan.

Satu lagi perkara yang mungkin boleh membuatkan anda harus memilih i30 atau model-model lain Hyundai adalah pengenalan program jaminan Hyundai (Hyundai Assurance Programme, HAP).

Program ini membolehkan pembeli yang kehilangan kerja untuk memulangkan kembali kereta tanpa perlu lagi bimbang tentang bayaran bulanan. Namun begitu, pastinya HAP hadir bersama pelbagai syarat sewajarnya.

No comments: