ISMAIL AHMAD yang berusia dalam lingkungan separuh abad itu begitu khusyuk menggilap kereta merahnya tanpa sedikit pun rasa bosan. Sinar mentari yang membahang juga tidak mengganggu tumpuannya.
Apa yang pasti, kereta model Mitsubishi Colt 1974 buatan Jepun itu mempunyai nilai sentimental kepada dirinya. "Inilah kereta yang saya gunakan sejak 36 tahun laluharganya pada masa itu cuma RM2,500. "Pada masa itu, saya bekerja sebagai buruh kasar di sekitar Kuala Lumpur," imbas lelaki yang lebih mesra dengan panggilan Pak Uban itu.
Ironinya, Mitsubishi Colt milik Pak Uban mempunyai sistem pemanduan di sebelah kiri seperti di Eropah. Jadi, bukan sesuatu yang menghairankan jika kenderaan itu sukar diperoleh apatah lagi dilihat di atas jalan-jalan raya di negara ini.
Pada peringkat awal, Pak Uban terasa janggal memandu kenderaan tersebut apatah lagi sistem pemanduan di negara ini di sebelah kanan. Menurut lelaki yang menetap di Setapak Jaya, Kuala Lumpur itu antara faktor beliau membeli Mitsubishi Colt ialah reka bentuknya yang menarik, penggunaan minyak yang menjimatkan dan lebih murah berbanding kereta buatan Eropah atau Amerika Syarikat (AS).
Walaupun Pak Uban sekadar membeli kereta terpakai, namun dia bangga kerana model itu baru sahaja beberapa bulan dilancarkan di Malaysia. Apatah lagi pada masa itu, kereta tersebut boleh dianggap sebagai kenderaan mewah.
Pak Uban juga tidak mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi untuk mengubah suai keretanya.
"Saya hanya habiskan sekitar RM10,000 untuk proses penjagaan enjin seperti servis, menukar alat ganti, proses mengecat dan kos menambah beberapa aksesori kecil sahaja," jelas bapa kepada tiga orang anak lelaki hasil perkongsian hidup dengan isterinya, Munah Salam, 63.
Walaupun sering menggunakan Mitsubishi Clot setiap hari termasuk untuk perjalanan jauh pulang ke kampung halamannya di Kedah, kereta kesayangannya itu tidak pernah meragam.
Apa yang penting katanya, dia akan memastikan air radiator, air bateri dan minyak enjin mencukupi atau diganti mengikut waktunya. Bagi memastikan warna asalnya kekal, Pak Uban menggilap Mitsubishi Coltnya setiap hari.
Kereta Jepun di Malaysia
|
|
Kepada Pak Uban, kereta itu mempunyai nilai sentimental yang tinggi kerana ia dibeli hasil keringatnya. "Selagi saya hidup, kereta ini tetap berada di samping saya. Namun, jika saya sudah tiada, terpulang kepada anak-anak sama ada untuk mewarisi atau menjualnya," ujar Pak Uban.
Sejarah industri automobil di Jepun dipercayai bermula pada awal abad ke-20. Ia menyaksikan penciptaan kereta pertama dikenali sebagai Takuri yang diilhamkan daripada kereta buatan Perancis Darracq.
Kejayaan itu bagaimanapun tidak banyak membantu industri automotif Jepun malah kemunculan beberapa syarikat pengeluar kereta seperti Daihatsu (1907), Isuzu (1910), Mitsubishi (1917) dan DAT (1914) yang kemudian dikenali sebagai Datsun dilihat gagal memberi persaingan kepada kereta buatan Eropah dan AS.
Bagaimanapun sekitar tahun 60-an, kebanyakan jurutera di Jepun mula beralih kepada reka bentuk yang lebih moden, menjimatkan petrol, tahan lasak dan menepati selera masyarakat antarabangsa.
Di AS misalnya, model Datsun Sports Roadster keluaran 1963 dan Toyota Corona (1965) menjadi dua model terlaris serta berjaya membuktikan kemajuan teknologi yang digunakan pada kereta Jepun.
Tempiasnya turut dirasai di negara ini. Kemunculan beberapa model sekadar menyebut seperti Toyota Celica Siri TA (TA22, TA23, TA27, TA28 TA35), Datsun Fairlady, Datsun Skyline, Mazda siri RX (R100, RX2, RX3), Honda Civic begitu digilai sekitar tahun 70-an.
Bagaimanapun, tidak semua orang berpeluang melihat model-model kereta lama, sama ada pemiliknya sudah tiada atau ia sudah dijual kepada peniaga besi buruk.
Justeru, Kelab Kereta Lama (KKL) mengambil inisiatif untuk mempopularkannya semula. Karnival kali kedua yang dianjurkan itu berjaya mengumpul lebih 120 peminat kereta lama di sekitar Lembah Klang termasuk dari utara tanah air yang berusia di antara 17 hingga 61 tahun.
Antara aktiviti yang dijalankan oleh kelab itu ialah pertandingan kenderaan paling unik, paling cantik, sesi fotografi, car boot sale, sukaneka dan sebagainya.
Selain merapatkan hubungan sesama ahli, aktiviti itu bertujuan memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai sejarah dan nilai sesebuah kereta lama.
"Syarat untuk menjadi ahli kelab ini ialah memiliki kenderaan yang dikeluarkan sebelum 1984.
"Untuk perjumpaan ini, setiap ahli dikenakan bayaran sebanyak RM20 untuk baju-T dan hamper," kata Presiden KKL, Mohd. Shuhaizad Hassan.
Selain karnival itu, pihaknya juga mengadakan pertemuan pada malam minggu secara eksklusif di sekitar Kuala Lumpur di samping merancang aktiviti berkonvoi.
Setia hingga akhir hayat
|
|
Kata beliau, arwah bapanya cukup teliti dalam penjagaan kereta, pantang ada kotor, pantas kereta tersebut dicucinya malah jika ada bahagian kereta yang tercalar dia akan menghantar kereta itu ke kedai cat.
Dia dan adik-beradiknya juga tidak berpeluang memandu kereta tersebut walaupun mereka mempunyai lesen memandu. Sewaktu ibu bapanya menunaikan haji pertengahan tahun 90-an, bapanya bukan berpesan menjaga rumah atau adik-beradik tetapi kereta.
"Sebaliknya, ayah berpesan supaya enjin kereta dipanaskan bagi mengelak baterinya lemah dan angin tayar seimbang.
"Malah dia turut meninggalkan duit untuk tujuan itu maka itulah pengalaman kali pertama saya berpeluang memandu kereta kesayangan ayah di atas jalan raya," ujar Ahmad Fairuz.
Walaupun terdapat model-model kereta baru yang dikeluarkan di pasaran namun bapanya tetap setia dengan kereta berkenaan sehingga ke akhir hayatnya.
Menurut bapa Ahmad Fairuz, Corolla is the best kerana ia bersifat tahan lasak dan mudah dijaga, malah dengan kereta itu juga dia pernah menjelajah hampir ke seluruh negara ketika bertugas sebagai kakitangan kerajaan.
Selepas bapanya meninggal dunia, Ahmad Fairuz melakukan beberapa pengubahsuaian dengan membelanjakan sebanyak RM8,000 bagi memastikan ia sentiasa kekal cantik.
Walaupun memiliki beberapa kenderaan lain seperti Proton Gen2 dan Perodua Kancil, Ahmad Fairuz tetap membawa kereta itu jika mempunyai kelapangan khususnya pada hujung minggu.
Sementara itu, Ahmad Yusree Mohd. Hamdan, 34, pula berkata, sebelum membeli Datsun B110 Driving School kira-kira setahun yang lalu, beliau pernah memiliki sebuah kereta lama Datsun 160J.
Bagaimanapun kereta itu sudah dimodifikasi secara ekstrem dari badan kereta sehingga ke enjin menyebabkan identiti asalnya juga hilang.
Beliau juga sanggup mengeluarkan modal membeli sebuah kereta lama pada harga RM3,000 dengan melakukan pengubahsuaian di peringkat asas.
Selain minat, faktor lain yang menyebabkan dia teruja memiliki kereta lama ialah tidak perlu menanggung hutang atau bayaran ansuran kereta setiap bulan.
"Harganya murah, boleh terus dibeli secara tunai, lagi pun ke mana saja saya pergi, orang sudah mengecam kereta saya walaupun orang lain yang memandunya," kata Ahmad Yusree yang berkongsi minat sama dengan adiknya, Ahmad Zaki, 29.
Ahmad Yusree yang memandu selama sepuluh jam dari Gurun, Kedah ke Kuala Lumpur semata-mata bagi menyertai karnival itu mengakui untuk mendapatkan alat-alat ganti keretanya bukanlah sesuatu yang sukar. Sehubungan itu, kepada mereka yang berminat menyertai Kelab Kereta Lama (KKL) boleh melayari http://keretalama.freeforums.org
No comments:
Post a Comment