Tuesday, March 9, 2010

UM kekurangan petak parkir

KAWASAN parkir yang terhad yang dikhususkan pentadbiran universiti untuk pelajar-pelajar perubatan sehingga mendatangkan masalah kepada mereka di Universiti Malaya Kuala Lumpur.


ISU kekurangan tempat letak kereta di Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur semakin meruncing. Tahun demi tahun para pelajar di fakulti berkenaan asyik berhadapan dengan masalah yang sama.

Walaupun sudah beberapa kali kumpulan pelajar memanjangkan isu tersebut kepada pihak pengurusan fakulti, jawapan yang diterima tetap sama dan masalah itu berlarutan tanpa ada jalan penyelesaian.

Rata-rata yang ditemui melahirkan rasa kecewa dengan jumlah tempat letak kereta yang terhad dan sentiasa penuh pada kebanyakan masa.

Kawasan parkir itu bagaikan tidak mampu menampung jumlah pelajar, tenaga pengajar, staf fakulti, kumpulan doktor mahupun jururawat yang bertugas di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), yang turut meletakkan kereta di parkir fakulti.

Selain terpaksa datang awal untuk merebut tempat parkir situasi berkenaan turut mendorong warga fakulti meletakkan kereta di bahu jalan dan di sebarang kawasan yang mempunyai ruang kosong berhampiran fakulti.

"Tolonglah faham masalah kami. Kami agak tertekan setiap kali menghadiri kuliah gara-gara isu kekurangan parkir. Sebelum ini kawasan tempat letak kereta masih berada di tahap yang memuaskan tapi malangnya ia semakin kritikal sejak tiga tahun kebelakangan ini.

"Tapak parkir yang sedia ada terpaksa ditutup kerana pihak universiti memberi laluan pada projek pembangunan fakulti dan dewan serbaguna. Seharusnya pihak universiti fokus dan menitikberatkan soal kemudahan awam para pelajar," luah calon doktor falsafah, Hafiz Mohd., 33.

Tambah Hafiz, lebih merumitkan keadaan apabila pihak fakulti menggesa para pelajar meletakkan kenderaan di tasik yang terletak kira-kira satu kilometer dari fakulti perubatan.


KENDERAAN terpaksa diletakkan di tepi jalan kerana ruang parkir yang tidak cukup serta jauh.

Masalahnya kini sebahagian calon doktor pakar dan doktor falsafah bukan sekadar perlu menghadiri kuliah. Pada masa yang sama mereka melaksanakan tuntutan sebagai doktor di hospital atau klinik yang ditetapkan.

"Apa yang membimbangkan adalah sekiranya berlaku kes-kes kecemasan ketika kami bertugas dalam waktu bersiap sedia (on-call). Dalam keadaan demikian kami terpaksa meninggalkan kuliah dan bergegas ke hospital. Respons kami diperlukan dalam kadar segera tetapi terpaksa mengambil masa kerana kami perlu bergegas ke tempat parkir di tasik. Itu belum lagi dalam keadaan hujan lebat.

"Bagaimana pula dengan keadaan pelajar wanita mengandung yang terpaksa meletakkan kereta jauh dari fakulti? Tidakkah situasi ini membebankan mereka," jelas Hafiz hampir berputus asa.

Sementara itu, seorang lagi pelajar yang hanya ingin dikenali sebagai Ani, 33, melahirkan rasa tidak puas hati mengenai masalah tersebut.

Dia yang mengandung sewaktu belajar pernah merayu kepada pihak pentadbiran fakulti supaya diberi kelonggaran meletakkan kereta di sekitar fakulti tetapi tidak dilayan. Sebaliknya, dia pula diperli pihak pentadbiran: 'Kenapa mengandung pada tempoh sedang belajar?'

"Sewaktu mengandung saya turut mengalami komplikasi kesihatan. Sudahlah tidak larat berjalan sejauh satu kilometer, untuk sampai ke fakulti saya kena mendaki bukit pula. Kadangkala pada satu tahap saya minta suami yang hantarkan ke fakulti atau menaiki teksi kerana tidak sanggup lagi hendak berjalan.

"Lagipun kawasan parkir di tasik tidak luas dan memerlukan kami meletakkan kereta di celah-celah pokok. Bila parkir di sana sudah penuh, kami terpaksa meletakkan kereta di kawasan parkir yang memerlukan saya turun dan naik tangga yang curam. Saya cukup bimbang menuruni tangga tersebut apatah lagi ia tidak mempunyai susur pemegang," ujar Ani.

"Pernah juga kami diperli pihak pentadbiran yang mengatakan: 'pelajar tidak digalakkan memandu kereta'. Adakah itu logik? Wajarkah jawapan seperti itu? Kami bukan pelajar semester satu, majoriti kami ialah siswazah yang bekerjaya," tambah Hafiz.


LALUAN menuruni tangga yang curam tidak mempunyai susur tangan ini menjadi laluan ke Pusat Perubatan.


Bagi Alif Azwan, 32, memberitahu hampir tiga tahun menuntut di fakulti perubatan tiada satu pun perkhidmatan bas pergi balik disediakan dari fakulti dan tempat parkir. Sekurang-kurangnya jika diwujudkan bas berkenaan setiap 45 minit, ia dapat meringankan beban pelajar yang meletakkan di tempat kereta yang jauh.

"Bas tidak disediakan langsung. Bila kami meletakkan kereta di bahu jalan atau kawasan yang tidak sepatutnya kereta kami pula dikunci oleh pihak sekuriti.

"Bila diperhatikan, aktiviti mengunci tayar kenderaan ini semakin menjadi-jadi seolah-olah denda sebanyak RM50 merupakan sumber pendapatan utama pihak pentadbiran. Sedangkan mereka tidak menyediakan pilihan.

"Saya berharap pihak universiti mendengar keluhan kami dan mengambil inisiatif membina tempat letak kereta bertingkat bagi menampung jumlah warga fakulti perubatan yang ramai.

"Lagipun, parkir di PPUM juga sudah dipenuhi dengan kehadiran pelawat, staf dan doktor. Ia juga dikenakan caj," tegas Alif.

No comments: